Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pusat penjaja S'pura yang pertama berdekatan Times Square, New York dibuka 28 Sep

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Tidak lama lagi, di New York juga akan ada pusat penjaja ala Singapura.

Pusat penjaja pertama Singapura di New York itu akan dibuka berdekatan Times Square pada 28 September.

Menurut catatan Facebook yang dimuat naik oleh Encik KF Seetoh pada Selasa (20 Sep), Urban Hawker akan dibuka sebagai pengenalan kepada umum pada 21 September di 135 West 50th Street, yang terletak hanya beberapa blok dari Times Square di Manhattan. Tarikh pembukaan rasmi pusat makanan tersebut ialah pada 28 September.

Urban Hawker dipelopori oleh pengasas Makansutra, yang lebih dikenali sebagai pakar dan duta makanan jalanan di Singapura, Encik Seetoh. Pusat penjaja tersebut merangkumi 17 penjaja, di mana 11 daripada mereka datang dari Singapura semata-mata untuk membuka gerai masing-masing di ruang seluas 14,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 200.

"Apabila sesuatu berlaku di bandar New York, dunia mengambil perhatian memandangkan para penjaja kami adalah kebanggaan kami dan patut ditonjolkan," kata Encik Seetoh kepada agensi berita New York Daily News.

Dalam satu wawancara dengan Men's Journal, beliau berkata bahawa ia merupakan satu cabaran untuk mendapatkan pasukan penjaja yang bersedia untuk ditempatkan di bandar New York. Beliau bagaimanapun berjaya menemukan pasukan tukang masak yang terbaik.

Encik Seetoh mendapat ilham untuk memulakan Urban Hawker menyusuli pertemuannya dengan mendiang cef selebriti Anthony Bourdain di Kongress Makanan Jalanan Sedunia di Singapura pada 2013. Encik Bourdain, yang meninggal dunia pada 2018, mengusulkan kepada Encik Seetoh untuk menubuhkan "Pasar Anthony Bourdain" di New York untuk mempamerkan makanan yang seringkali ditawarkan di pusat penjaja.

Encik Seetoh memberitahu portal online Secretnyc.co yang beliau sudahpun menghabiskan beberapa tahun mengusahakan Urban Hawker dan sekali gus bertekad untuk memperkenalkan tradisi popular warga Singapura ke seluruh dunia.

Menurut hantaran di laman Makansutra, para penjaja dari Singapura termasuk penjaja Dragon Phoenix yang mengusahakan Wok & Staple, penjaja Melayu Ashes Burnnit yang menjual hidangan burger, restoran Peranakan Daisy’s Dream; Hainan Jones yang menjual hidangan Nasi Ayam, kafe Melayu dan Indonesia Padi@Bussorah dan Mamak’s Corner yang menjual hidangan India.

Dalam pada itu, Urban Hawker ingin menampilkan pembukaan besar-besaran dan penuh bermakna.

Malah, Encik Seetoh memuat naik satu hantaran Instagram pada 19 September yang menyatakan bahawa penjaja Singapura di Urban Hawker sedang "mengalu-alukan mereka yang sedang mencari pekerjaan jika mereka berminat atau dibenarkan" untuk ke New York untuk bertugas di pusat penjaja tersebut.
(Gambar: Ginnie Teo)
Sumber : CNA/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan