Pusat penginapan haiwan tawar khidmat jagaan haiwan eksotik
Memelihara dan menjaga haiwan terutama daripada kumpulan eksotik seperti kala jengking bukan satu tugas mudah, kerana ia memerlukan kesabaran dan pengetahuan mengenai haiwan itu.

Ular sawa, kala jengking dan burung merak antara haiwan eskotik yang menjadi pelanggan pusat penginapan haiwan Cheras. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Memelihara dan menjaga haiwan terutama daripada kumpulan eksotik seperti kala jengking bukan satu tugas mudah, kerana ia memerlukan kesabaran dan pengetahuan mengenai haiwan itu.
Paling sukar apabila pemilik haiwan eksotik terpaksa meninggalkan haiwan kesayangan untuk tempoh masa yang lama atas sebab-sebab tertentu.
Keadaan tersebut menyuntik idea kepada Suraya Abdullah, 43, untuk mewujudkan khidmat jagaan haiwan atau 'Pet Boarding' di Cheras yang merangkumi penjagaan semua jenis haiwan peliharaan, termasuk haiwan eksotik, sejak 13 tahun lalu.
"Memang banyak kedai haiwan yang ada di mana-mana sahaja, tetapi tidak banyak yang menyediakan khidmat jagaan haiwan terutamanya haiwan eksotik seperti kala jengking, ular, burung merak dan sebagainya.
"Jadi saya mengambil peluang ini untuk membantu menyelesaikan masalah pemilik haiwan kesayangan berkenaan, kerana proses jagaannya juga agak rumit dan penjaga haiwan perlu lebih berhati-hati berbanding menjaga haiwan peliharaan yang biasa, seperti kucing atau arnab," katanya ketika dihubungi agensi berita Bernama.
Menurut Cik Suraya, penjaga haiwan peliharaan seperti kala jengking perlu lebih berwaspada ketika memberi makanan kepada haiwan itu.
"Waktu makan kala jengking adalah pada waktu malam. Ia sangat aktif ketika itu. Jadi penjaga memang kena berhati-hati semasa memberinya makan, terutamanya ketika ingin membuka akuarium.
"Kebiasaannya, kita beri ia makan cacing dan cengkerik. Saya menggunakan penyepit panjang, untuk meletak cengkerik atau cacing dalam akuarium," katanya, yang juga Penyelaras Pendidikan Taman Burung Kuala Lumpur.
Berkongsi pengalamannya, Cik Suraya berkata hampir 300 orang pelanggan sudah menghantar haiwan peliharaan eksotik mereka. Beliau dan kakitangannya sudah beberapa kali digigit haiwan-haiwan berkenaan.
Haiwan peliharaan eksotik, menurut beliau, sebenarnya merupakan haiwan yang 'manja' jika ia sudah mengenali tuannya.
"Kalau jenis yang berbahaya atau berlesen seperti ini, kami akan ke rumah pelanggan untuk jaga dan kakitangan kita yang berpengalaman sahaja dibenarkan untuk jaga haiwan berkenaan," tambahnya.
Menurut beliau lagi, penjagaan ular sawa pula adalah lebih mudah dan tidak rumit.
"Sebagai contoh, kalau pemilik (ular sawa) mahu melancong selama seminggu, penjaga haiwan cuma beri ia makan anak ayam atau anak itik dalam lima ekor. Jadi, sepanjang tempoh itu, ia tidak aktif dan hanya berehat," jelasnya.
Cik Suraya berkata selain haiwan eksotik itu, mereka turut menyediakan khidmat jagaan haiwan lain termasuk kucing, anjing, arnab, sugar glider, kura-kura dan marmut.
Beliau berkata pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing ada kala meninggalkan haiwan peliharaan mereka sehingga sebulan.
Dikendalikan lebih 20 pekerja yang juga pakar mengenai haiwan, khidmat yang disediakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pencinta haiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.