Pulau Tuba permata tersembunyi Langkawi; destinasi pelancongan berpotensi
Tidak jauh dari Pulau Langkawi, sekitar lima kilometer dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu, terdapat sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan dianugerahi dengan pelbagai keindahan alam semula jadi.
LANGKAWI: Tidak jauh dari Pulau Langkawi, sekitar lima kilometer dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu, terdapat sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan dianugerahi dengan pelbagai keindahan alam semula jadi.
Pulau Tuba, nama yang mungkin janggal kedengaran buat pelancong, adalah sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai seluas kira-kira 17 kilometer persegi dengan sekitar 5,000 orang penduduk.
BERNAMA baru-baru ini berkesempatan mengunjungi pulau itu bersama 10 pengamal media dari pelbagai pertubuhan yang lain pada hari pertama program Ekspresi Media, anjuran Tourism Malaysia, untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat tempatan serta kegiatan harian mereka.
Untuk sampai ke pulau itu, pelancong perlu menaiki bot atau feri yang tersedia dengan harga sekitar RM10 (S$3) seorang bagi perjalanan pergi dan balik.
Setibanya di pulau itu, pengunjung boleh menaiki van atau motosikal sewa untuk bersiar-siar menikmati keindahan panorama perkampungan.
TAWAR PERCUTIAN BERMAKNA
Pemandu pelancong, Zamri Anuar, mengakui memang benar pelancong lebih mengenali Pulau Langkawi berbanding Pulau Tuba dan keadaan itu membuatkan ia agak kurang popular.
"Sebenarnya Pulau Tuba mampu menawarkan pengalaman percutian tidak kurang hebatnya. Ada pelbagai jenis motel dan vila untuk pelancong menginap dengan harga penginapan bermula serendah RM60 (S$19) satu malam.
"Malahan paling menarik, ada juga ditawarkan pakej percutian bersama keluarga angkat nelayan di rumah inap desa di sini," tambah anak kelahiran Pulau Langkawi itu.
Menerusi pakej percutian bersama keluarga angkat, pelancong berpeluang mempelajari cara menangkap hasil laut seperti bronok (sejenis hidupan laut seakan gamat), udang, ketam dan ikan seperti kebasi dan jenahak serta bersawah padi.
"Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian penduduk seperti menganyam beg dan tikar mengkuang. Harga pakej ini pula sekitar RM150-300 (S$50-S$100) sehari bergantung kepada jumlah pelancong yang terlibat," katanya.
Selain pakej aktiviti bersama keluarga angkat, pengunjung yang inginkan aktiviti lasak seperti pendakian boleh melakukannya di Gua Wang Buloh dan Gua Kelawar yang turut dilengkapi trek pendakian yang menarik namun mencabar.
Mereka yang ingin melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Licin, bagaimanapun, dinasihatkan untuk pergi bersama jurupandu hutan berlesen kerana trek masih belum tersedia di sana.
PULAU YANG MENAKJUBKAN
Pulau Tuba dikelilingi bukit-bukau jenis batu kapur yang terbentuk lebih 350 juta tahun dahulu dan pengunjung boleh singgah ke Bukit Kecik untuk melihat sendiri bagaimana formasi batu kapur terbentuk.
Menurut Encik Zamri, formasi batuan yang terbentuk di Bukit Kecik adalah sejenis batuan enapan yang terdiri daripada mineral kalsit dan arogenit.
"Terdapat tiga jenis batu kapur berlainan warna di sini. Antara yang mudah didapati ialah berwarna putih yang biasa terdapat di bukit batu kapur lain. Selain itu, terdapat warna seakan lumut kerana tidak terdedah kepada cahaya matahari dan yang terakhir, berwarna oren atau kekuningan. Uniknya batu kapur di sini terdapat ketiga-tiga warna ini pada satu batuan yang tidak terdapat di bukit batu kapur yang lain.
"Terdapat juga batu berjalur di Bukit Kecik yang terbentuk akibat fenomena tekanan dan pergerakan muka bumi sejak ribuan tahun dahulu. Batuan ini berwarna hitam dan hijau seakan warna lumut.
Terdapat juga beberapa batu kapur yang mempunyai bintik-bintik putih disebabkan kulit siput. Dipercayai kawasan itu pernah ditenggelami air laut yang sangat tinggi ribuan tahun dahulu sehingga menyebabkan terbentuknya formasi batuan ini," terang beliau denga terperinci.
Encik Zamri turut berkata beberapa pantai peranginan yang popular di sana - antaranya pantai Tanjung Pandan - yang terkenal dengan kejernihan airnya. Selain itu, terdapat pelbagai kedai makan mi udang serta pantai Bagan Asam yang dikelilingi hutan paya bakau dan formasi batuan batu kapur yang memukau mata.
Tidak cukup dengan itu, Pulau Tuba yang mendapat nama jolokannya dari Pokok Tuba yang tumbuh melata di sana juga turut dihiasi pelbagai tumbuhan eksotik yang tidak mungkin dilihat di tempat lain seperti tumbuhan Pandan Laut, Orkid Harimau serta pokok Bogok yang hanya tumbuh di batu kapur, manakala di dada langit pula gagah berterbangan burung helang jenis Lang Merah dan Lang Siput.
Encik Zamri menjelaskan mungkin ada pengunjung yang beranggapan bahawa Pulau Tuba tidak terdapat kemudahan yang lengkap dek kerana rata-rata penduduknya menjalani kehidupan ala desa.
Namun sebenarnya, penduduk di pulau itu turut sama menikmati kemudahan asas seperti sekolah dan klinik, malahan juga dilengkapi kemudahan capaian internet yang pastinya bermanfaat buat pengunjung.
MULA BERNAFAS KEMBALI
Sementara itu, salah seorang penyedia perkhidmatan van sewa di Pulau Tuba, Mohd Senafi Ishak, 63 tahun, berkata beliau kini mampu menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan baru-baru ini.
Menurut beliau, selepas pengumuman itu, semakin ramai pelancong mula datang ke pulau berkenaan.
Beliau menambah penduduk di pulau itu secara amnya amat bergantung kepada pelancong kerana tanpa mereka, ekonomi ekopelancongan dan pelancongan desa terjejas teruk.
"Seperti saya, antara penyedia servis van sewa di sini, memang terasa pendapatan saya berkurangan terutama ketika pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Namun kini jumlah pelancong kini mula beransur-ansur pulih dan semakin ramai.
"Servis yang saya tawarkan buat pelancong juga berbaloi, iaitu perjalanan mengelilingi Pulau Tuba selama empat jam pada harga RM100 (S$33) menaiki van besar yang boleh memuatkan sekitar 10 orang. Setakat sekarang, saya sudah mula mendapat satu atau dua trip sehari namun saya tetap berasa lega dan bersyukur," katanya yang juga dikenali sebagai Pak Ali.
Beliau menambah antara destinasi popular yang sering diminta untuk dikunjungi pelancong ialah jeti lama Pulau Tuba yang panjangnya sekitar 800 meter. Ia dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Ombak Rindu dan Langit Cinta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.