Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Projek Lagu' usaha terbaru cungkil bakat, warnai industri muzik tempatan

Lagu-lagu yang mempunyai unsur pop dan nilai artistik yang tinggi boleh menjana dan mewarnai industri muzik tanah air. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lagu-lagu yang mempunyai unsur pop dan nilai artistik yang tinggi boleh menjana dan mewarnai industri muzik tanah air.

Itulah yang dicari-cari dan cuba digali penyanyi, penerbit dan pencipta lagu Ramli Sarip dalam mengadili pertandingan mencipta lagu terbaru di saluran Mediacorp Suria.

Pertandingan "Projek Lagu" yang membuka tirainya itu pada Selasa (7 Sep) menampilkan 12 finalis yang akan berentap bagi gelaran 'Juara' dan hadiah wang tunai S$20,000.

Gambar: Mediacorp

(Gambar: Mediacorp)

"Usaha untuk mengadakan program ini adalah satu usaha yang sihat bagi saya. Itulah mudah-mudahan kita dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan dengan dengan apa yang kita lihat ada banyak potensi yang kita dengar, yang peserta-peserta dapat memberi kita sedikit sebanyak," kata Ramli Sarip.

Selain Ramli Sarip, karya-karya peserta "Projek Lagu" akan juga diadili juri profesional Mayuni Omar dan Daly Filsuf.

Hasil penilaian barisan juri akan membentuk 70% markah keseluruhan manakala 30% lagi markah peserta akan ditentukan oleh undian para penonton.

Para penonton boleh menyaksikan proses kreatif para peserta dan kerja-kerja di balik tabir menerusi pelbagai platform Mediacorp.

Para finalis terpilih daripada hampir 200 penyertaan yang diterima dan lagu yang melayakkan mereka menjadi 12 peserta terbaik akan dipersembahkan dalam pusingan pertama.

Bagi pusingan-pusingan seterusnya pula, mereka akan diberi tema dan perlu mencipta melodi, menulis lirik dan membuat susunan lagu untuk dipersembahkan.

Mereka juga diberi pilihan untuk menyampaikan lagu gubahan mereka sendiri atau bekerjasama dengan penyanyi lain.

TERUJA KONGSI KARYA DENGAN PENONTON YANG LEBIH LUAS

Bagi salah seorang finalis yang juga merupakan bekas peserta Anugerah, Wawan Husen, beliau teruja diberi peluang untuk berkongsi karyanya dengan jangkauan penonton yang lebih luas lagi.

Gambar: Mediacorp

(Gambar: Mediacorp)

Wawan, yang akan bertanding secara berkumpulan bersama Fairuz Rahim, akui bahawa mereka mempunyai banyak karya-karya yang sudah lama "tersimpan".

"Dahulu sewaktu kami sedang 'busking', sementara menunggu persembahan seterusnya, kami akan membuat lagu semasa waktu rehat atau masa makan," kata Wawan.

"Lagu demi lagu, kami meneruskannya sehingga kali ini, ternampak satu peluang untuk mempamerkan lagu-lagu yang tersimpan dalam peti bilik rumah," tambahnya lagi.

Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa pertandingan sebegini adalah baik untuk para pemuzik baru mahupun lama untuk mengetengahkan karya-karya mereka.

Meski mempunyai kelebihan sebagai seorang penyanyi dan dapat menyanyikan karya-karyanya sendiri, beliau berasa bahawa ia juga mempunyai cabarannya tersendiri.

"Kadangkala kita buat sesuatu lagu itu yang amat sukar untuk kita sendiri menyanyi. Jadi apabila nyanyian itu mencabar, kita perlukan suara yang lebih sesuai," menurut Wawan yang pernah menjadi finalis Anugerah 2009 dan SG Mania 2014.

Lantas, beliau dan rakan kumpulannya Fairuz, terbuka untuk menampilkan artis-artis lain untuk mempersembahkan karya mereka.

Sepanjang 10 minggu, para peserta Projek Lagu ini akan beradu kemahiran bagi mendapat tempat di pusingan akhir yang bakal berlangsung pada 9 November.  

Sumber : BERITAmediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa