Poster vintaj Mickey Mouse dijangka raih ribuan dolar
Tujuh poster vintaj Mickey Mouse dijangka meraih beribu-ribu dolar di satu acara lelong sempena sambutan ulang tahun ke-90 kemunculan kartun popular itu.
LONDON: Tujuh poster vintaj Mickey Mouse dijangka meraih beribu-ribu dolar di satu acara lelong sempena sambutan ulang tahun ke-90 kemunculan kartun popular itu.
Kesemua tujuh poster itu yang dihasilkan antara tahun 1930-an hingga 1940-an dipamerkan di sebuah pameran peringatan di London sempena ulang tahun tersebut, yang dianjurkan oleh Disney.
Poster-poster berkenaan dilelong secara online menerusi laman web Sotheby yang akan berlangsung sehingga 26 November. Kenyataan yang dikeluarkan oleh jurulelong dan Walt Disney Co. UK & Ireland membayangkan bahawa penjualan poster-poster tersebut dijangka meraih lebih £130,000 (S$491,400).
"Kami menjangkakan minat yang tinggi... Ada ramai pengumpul yang mengumpul poster-poster animasi dari seluruh dunia dan Mickey Mouse adalah salah satu watak yang paling bernilai dalam kalangan watak animasi," kata konsultan poster filem Sotheby, Bruce Marchant, kepada agensi berita Reuters.
"Poster-poster itu jarang ditemui dan adalah dari England, Perancis dan Belgium. Dua daripada poster berkenaan cuma tinggal satu saja dalam bentuk asli manakala bagi tiga poster yang lain, poster-poster tersebut cuma tinggal kurang daripada lima di dunia."
Poster-poster seumpama itu digunakan semula beberapa kali di pawagam dan oleh kerana ia diperbuat daripada kertas, kebanyakannya terpaksa dibuang kerana tidak lagi dalam keadaan baik. "Disebabkan itu, poster-poster tersebut tidak dilihat lagi 80 atau 90 tahun kemudian" atau disaksikan sebagai karya seni, tambah Encik Marchant.
Pameran yang diberi nama "Mickey's UK Art Collective Exhibition" turut mempamerkan karya-karya baru yang diilhamkan daripada watak Mickey Mouse oleh artis-artis lama dan baru dari United Kingdom termasuk Jimmy C, Michael Bosanko dan Pal Kumar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.