Populariti BYD meningkat; pengguna SG tidak lagi pertikai kereta 'buatan China'
Kereta Seal 06 DM-i BYD dipamerkan di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing, atau Auto China 2024, di Beijing, China pada 25 Apr 2024. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)
Data Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan BYD menjual 3,002 kereta, membentuk 20 peratus jumlah kereta yang dijual di Singapura dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Ia mengalahkan Toyota sebagai kereta paling popular - pengeluar Jepun menjual 2,050 kereta dalam tempoh yang sama - dan jauh mengatasi pesaing EV utamanya Tesla, yang menjual 535 kereta.
Pada 2024, Toyota menjual 7,876 kereta di sini, lebih daripada 6,191 kereta BYD.
Namun pada 2020, BYD jual hanya tiga kereta di Singapura, menurut data LTA.
Angka ini meningkat kepada 89 pada 2021, 786 pada 2022 dan 1,416 pada 2023.
Hasil jualan Tesla juga meningkat, namun tidak sepantas kereta BYD.
UNTUK PASARAN LUAS
Satu faktor penentu utama bagi kebanyakan pemandu BYD ialah harga - yang mereka katakan secara relatifnya lebih rendah daripada kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) dan jenama EV lain.
Cik Ng Lay Peng, yang membeli model BYD Atto 3 awal tahun lalu, berkata kualiti dan harga kereta China itu meyakinkannya.
Beliau berkata walaupun kenderaan ICE yang dijual dalam lingkungan harga yang sama kelihatan "agak biasa",model BYD bagaimanapun melebihi jangkaannya.
Seorang lagi pemilik BYD, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Tan, berkata beliau membeli model M6 dengan harga kira-kira S$175,000 awal tahun ini.
Beliau berkata kereta ICE biasa dengan reka bentuk serupa akan adalah lebih mahal dan tidak akan disertakan dengan ciri-ciri BYD seperti tempat duduk yang ada pengaliran udara, kaca bumbung suria (sunroof) dan pemantau tekanan tayar.
Profesor Lawrence Loh berkata skala ekonomi yang dicapai pengilang China itu menyumbang kepada harga lebih murah yang ditawarkan syarikat tersebut.
“Ia sudah menjadi kereta terlaris di China dan kereta EV terlaris di dunia,” kata Prof Loh, yang merupakan Pengarah Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Oleh itu, EV dibuat untuk dikilangkan kepada pasaran luas, dan dianggap sebagai produk "peringkat permulaan", kata Profesor Madya Raymond Ong dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar di NUS.
"Jika anda bandingkan harga kereta peringkat permulaan (entry-level)BYD dengan Tesla ... BYD sangat kompetitif dalam penetapan harga, dan itu memberi kesan kepada bakal pembeli kereta dan seterusnya melonjakkan saham pasarannya," katanya.
NILAI JENAMA YANG MANTAP
Pengiktirafan jenama China yang semakin meningkat secara keseluruhan juga bantu melonjakkan BYD ke popularitinya baru-baru ini.
"iPhone anda, dron DJI anda, MacBook anda, semuanya dibuat di China, dan 'buatan China' mula diiktiraf sebagai berkualiti dari semasa ke semasa," kata pengulas kereta EV YouTube Daren Yoong.
Strategi pemasaran BYD juga telah berjaya, kata Prof Loh, sambil merujuk kepada percambahan bilik pameran dan pengedarnya di Singapura.
"Mereka terletak betul-betul di tengah-tengah daerah kewangan, anda pergi ke Suntec City, ada peniaga di sana," katanya.
“Kebanyakan pengedar berada berhampiran tempat kerja, ada yang berada di kawasan perumahan, anda boleh lihat strategi mereka (untuk menjadikannya) mudah untuk dibeli.”
Jenama ini telah menjadi ketara selama bertahun-tahun. Bas awam elektrik BYD juga telah mula melalui jalan raya Singapura.
Awal tahun ini, firma teknologi tempatan Grab mengumumkan rancangan untuk mengembangkan armada EVnya dengan sehingga 50,000 kenderaan BYD di seluruh Asia Tenggara.
PERTIMBANGAN PRAKTIKAL
Walaupun popularitinya semakin meningkat, BYD masih membuat pembeli berfikir dua kali.
Cik Ng, pemilik kereta BYD, berkata dia bimbang tentang nilai jualan semula BYDnya.
"Kami tidak begitu pasti berbanding kereta ICE," katanya.
Encik Yoong berkata berbanding pesaing EV utamanya Tesla, BYD mungkin tidak memperoleh nilai jualan semula yang baik pada masa ini.
"Tesla mempunyai jenama yang lebih mantap dalam industri EV, manakala BYD lebih baharu dan mempunyai kurang transaksi kenderaan bersejarah," katanya.
Walau bagaimanapun, akhirnya, harga dan keupayaan fungsi kereta BYD menjadi keutamaan dalam keputusan Cik Ng untuk membelinya.
Infrastruktur untuk pemilikan EV juga sudah bertambah baik sejak beberapa tahun, kerana Singapura menyasarkan semua pendaftaran kereta dan teksi baharu menjadi model tenaga bersih mulai 2030.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.