Skip to main content

Gaya Hidup

Pop-up Lego bertema Peranakan di Design Orchard tawar kegiatan kumpul setem dan set Lego percuma

Anggaran Waktu Membaca:
Pop-up Lego bertema Peranakan di Design Orchard tawar kegiatan kumpul setem dan set Lego percuma
Lego Shophouse Experience dianjurkan di Design Orchard sehingga 5 April. (Gambar: The Lego Group)
Diterbitkan : 17 Mar 2026 01:02AM Dikemas Kini : 17 Mar 2026 01:08AM
  • Lego Group melancarkan Lego Shophouse Experience di Design Orchard, Singapura, sebagai pameran pop-up bertema rumah kedai Peranakan.
  • Pameran ini berlangsung sehingga 5 April dan dibuka setiap hari, menawarkan masuk percuma kepada pengunjung.
  • Pengunjung boleh meneroka ruang dalaman tradisional, mencipta poskad, serta membina cenderahati Lego dengan jumlah terhad setiap hari.
  • Pendaftaran keahlian Lego Insiders di lokasi membolehkan pengunjung menerima set Lego percuma, meraikan warisan dan kreativiti Peranakan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Peminat Lego di Singapura mempunyai 'pop-up' baharu untuk diterokai.

The Lego Group melancarkan Lego Shophouse Experience di Design Orchard, suatu pameran mengasyikkan yang diilhamkan oleh rumah kedai Peranakan Singapura. Pop-up tersebut berlangsung sehingga 5 April, dan dibuka setiap hari, dari 11.00 pagi hingga 9.00 malam. Masuk percuma.
Related article image
Lego Shophouse Experience di Design Orchard. (Gambar: The Lego Group)
Pop-up itu mencipta semula susun atur rumah kedai Peranakan tradisional, membolehkan pengunjung bergerak melalui bilik-bilik berbeza – termasuk ruang makan dan tamu, bilik tidur, bilik belajar dan loteng berkembar – yang direka bentuk menggunakan kepingan Lego dan menampilkan hasil karya para peminat.

Pengunjung akan melihat ruang dalaman tradisional, seperti ruang legar dengan dinding berciri jubin yang direka sebagai latar untuk bergambar.

Beberapa objek harian termasuk pemain kaset retro, kalendar dinding, jambangan bunga matahari, koleksi mineral dan juga rekaan Lego diilhamkan karya seni Claude Monet.

Anda juga boleh mencipta poskad sendiri dengan mengumpul setem berwarna di sekeliling rekaan tersebut, yang secara bersama membentuk grafik yang diilhamkan oleh warisan Peranakan. Selepas melengkapkan poskad, anda boleh pergi ke zon runcit untuk membina cenderahati: Boombox Lego retro dari Isnin hingga Jumaat, atau jubin mozek Peranakan Lego pada hujung minggu. Jumlahnya terhad setiap hari.
Related article image
Pengunjung boleh menjelajah ruang yang dipenuhi dengan banyak barangan hiasan rumah yang dibina dengan kepingan Lego. (Gambar: The Lego Group)
Pengunjung yang mendaftar untuk Lego Insiders, program keahlian percuma jenama itu, di pop-up tersebut boleh menerima set Lego percuma. Untuk menebus ganjaran itu, anda boleh daftar melalui kod QR di Lego Shophouse Experience dan tunjukkan pengesahan anda.

Set diperuntukkan secara rawak dan tersedia atas dasar siapa cepat dia dapat setiap hari. Ia termasuk barangan seperti Grey Castle Set, Retro Tape Player atau Baby Gorilla Encounter.

"Kami teruja untuk memperkenalkan Lego Shophouse Experience kerana ia menandakan pameran pertama kami seperti ini," kata Agnes Molnar, Pengarah Pemasaran Kumpulan Lego untuk Singapura, Malaysia dan Runcit Perjalanan APAC. "Ia memberi penghormatan kepada warisan kaya Singapura dan meraikan cerita, tradisi dan kreativiti yang menghubungkan berbilang generasi."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita