Skip to main content

Gaya Hidup

Pilih sabun mandi yang sesuai bagi elak kulit rosak

Sebelum membeli atau memilih sabun, penting untuk kenali terlebih dahulu jenis kulit yang dimiliki sama ada ia sensitif, kering, berminyak dan sebagainya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilih sabun mandi yang sesuai bagi elak kulit rosak

(Gambar: Pexel/Unsplash)

SINGAPURA: Setiap individu mempunyai citarasa sendiri apabila membeli sabun mandi atau pencuci muka yang digunakan setiap hari. Bukan setakat bau wangi sahaja, pemilihan sabun juga harus disesuaikan dengan jenis kulit.

Selain membantu membersihkan kotoran dan mengharumkan tubuh, sabun berperanan membunuh kuman dan bakteria yang menempel pada kulit.

Maka itu, sebelum membeli atau memilih sabun, penting untuk kenali terlebih dahulu jenis kulit yang dimiliki sama ada ia sensitif, kering, berminyak dan sebagainya.

Jika tersalah pilih sabun yang digunakan ia boleh meninggalkan kesan kulit yang tidak diingini. Ada kalanya perubahan kulit dapat dilihat serta merta selepas menggunakannya dan ada yang hanya menyedari sabun yang digunakan tidak serasi selepas berbulan-bulan lamanya.

KENALI 5 JENIS KULIT

Jika anda ketahui jenis kulit yang dimiliki, padankan dengan sabun yang bersesuaian. Ia pasti dapat memberikan penampilan kulit yang lebih sihat untuk jangka panjang dan bebas dari sebarang masalah yang tidak diingini.

KULIT NORMAL

Beruntung jika anda mempuyai kulit jenis ini. Ia tidak mempunyai banyak masalah dan sangat versatil bila menggunakan apa juga jenis sabun. Ciri-ciri kulit normal termasuk lembap, lembut, halus dan segar.

Jika mempunyai kulit jenis ini pilihlah sabun mandi yang dirumus dengan bahan seperti kamomil, lavender dan minyak zaitun. Kajian menunjukkan tindak balas bahan-bahan itu amat baik untuk kulit normal.

Namun anda harus cuba menghindari daripada menggunakan sabun yang dikhususkan untuk kulit kering dan berminyak kerana ia akan menjejas mutu kulit anda dan kemungkinan mencetuskan masalah jika penggunaannya berterusan.
Related article image
(Gambar: Pexel/Unsplash)
KULIT SENSITIF

Mereka yang mempunyai jenis kulit ini selalunya mudah terdedah pada kerengsaan seperti gatal-gatal dan kemerahan jika menggunakan sabun yang tidak bersesuaian. Untuk mengelakkan daripada masalah ini, anda digalakkan untuk menggunakan sabun mandi yang bebas pewarna dan pewangi.

Sebaik-baiknya pilihlah sabun yang mempunyai kandungan pH yang seimbang atau yang tertera label 'pH balanced'. Sebagai alternatif, anda boleh memilih sabun yang dirumus dengan bahan-bahan organik yang bebas daripada bahan pengawet. Antaranya, sabun yang berasaskan ekstrak lidah buaya, koko, kamomil dan vitamin E didapati sesuai untuk kulit sensitif. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kesan sampingan pada kulit anda.

Apa pun tidak semua bahan dalam sabun yang dikhususkan untuk kulit sensitif sesuai untuk kulit anda kerana setiap manusia mempunyai kulit yang berbeza-beza. Jika anda melalui masalah kulit yang berlarutan, sebaik-baiknya dapatkan saranan dan rawatan dari pakar kulit.

KULIT BERMINYAK

Kulit jenis ini sering kelihatan berkilat dan berjerawat. Bagi yang mempunyai kulit berminyak ia juga boleh menjejas solekan atau mekap anda, membuatnya mudah luntur dan kulit menjadi melekit.

Anda disarankan untuk menggunakan sabun antibakteria yang mengandungi bahan lembut seperti gliserin. Ia diformulasikan khusus untuk kulit berminyak.

Selain itu pilihlah sabun yang mempunyai rumusan khas dari bahan seperti garam laut, bijirin, minyak tea tree, limau sitrus dan limau gedang. Sebaik-baiknya jenis sabun yang berlabelkan bebas bahan kimia dan minyak. Ia merupakan pilihan yang paling tepat.
 
Related article image
(Gambar: Pexel/Unsplash)
KULIT KERING

Mereka yang mempunyai kulit jenis ini akan tampil lebih kusam. Jika kulit kering, elakkan daripada menggunakan sabun bahan antibakteria kerana ia boleh mencetuskan masalah radang kulit dan sekaligus mengurangkan penghasilan minyak asli yang ada di kulit.

Selain itu, usah menggunakan air panas dengan kerap ketika waktu mandi.

Untuk mengatasi masalah kulit ini cuba sabun yang dirumus dengan bahan organik seperti minyak zaitun, lidah buaya, minyak kelapa dan jojoba, cocoa butter selain avokado.

KULIT KOMBINASI

Kulit jenis kering dan berminyak ini versatil dan serasi dengan penggunaan pelbagai jenis sabun. Yang penting, pastikan kandungan bahan-bahannya tidak mempunyai terlalu banyak kimia kerana ia akan memberi kesan yang berbeza-beza mengikut tekstur kulit anda.

Anda boleh menggunakan sabun yang mengandungi bahan benzoyl peroksida untuk kawasan kulit yang berminyak. Ia dikatakan dapat mencegah kemunculan jerawat yang tidak diingini pada bahagian tubuh yang lain.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita