Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pihak berkuasa dakwa Batu Caves berwajah baru tanpa kelulusan

Baru-baru ini, gambar tangga di Kuil Batu Caves yang berwarna-warni menjadi tular di media sosial. Ramai yang terpegun dengan pemandangan baru di tempat pelancongan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa dakwa Batu Caves berwajah baru tanpa kelulusan

Tangga di Batu Caves. (Gambar: malaysia.truly.asia/ Instagram)

Diterbitkan : 30 Aug 2018 01:32PM Dikemas Kini : 30 Aug 2018 09:21PM

MALAYSIA: Baru-baru ini, gambar tangga di Kuil Batu Caves yang berwarna-warni menjadi tular di media sosial. Ramai yang terpegun dengan pemandangan baru di tempat pelancongan itu.

Namun, menurut mStar, kuil berkenaan didakwa melakukan kerja-kerja ubah suai dan mengecat tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa, Jabatan Warisan Negara (JWN).

Kuil Sri Subramaniar Swamy terletak di puncak tangga tersebut yang merupakan tapak warisan negara, disenaraikan di bawah Daftar Warisan Kebangsaan. Maka itu, sebarang kerja-kerja pembangunan perlu diluluskan terdahulu oleh jabatan tersebut.

Pada 2015, dalam wawancara bersama StarMetro, Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, R Nadarajah berkata, tiga tapak merangkumi 6.6 hektar di Batu Caves sudah menjadi tapak warisan pada 2012.

Encik Nadarajah menambah, beberapa lokasi lain juga diwartakan, termasuk seluruh kompleks yang menjadi lokasi perayaan Thaipusam setiap tahun.

Aktivis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sentosa, G. Gunaraj memberitahu StarMetro bahawa penguasa pemuliharaan JWN kurang senang dengan perkara itu kerana kelulusan belum diperoleh daripada mereka sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 40 Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebelum pengubahsuaian dibuat.

"Saya diberitahu bahawa mengikut Akta Seksyen 40, pengurusan kuil perlu merujuk jabatan untuk mengenal pasti kaedah pemuliharaan yang terbaik apabila terdapat sebarang perkembangan atau kerja pengubahsuaian yang dilakukan berdekatan dengan tapak warisan negara.

"Ini bagi memastikan integriti dan warisan struktur warisan dikekalkan," kata Encik Gunaraj.

Jelasnya, pihak JWN memaklumkan bahawa kerja-kerja mengecat dan pengubahsuaian tidak seiring dengan persekitaran, yang boleh "menjejaskan" sesuatu tapak warisan.

PIHAK KUIL TIDAK LIHAT KEPENTINGAN DAPAT KELULUSAN JWN

Dalam pada itu, Encik Nadarajah ketika dihubungi mStar berkata, mereka mempunyai kelulusan yang diperlukan untuk meneruskan pengubahsuaian.

"Kerja-kerja mengecat tidak memerlukan kelulusan. Untuk pengubahsuaian, kami mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

"Oleh kerana kita tidak membina bangunan baru, kita tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada JWN," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak berkata, sudah lama tiada rekod kelulusan diberikan untuk kerja-kerja di Batu Caves.

"Malah, kami masih menunggu dokumen dan laporan teknikal yang sepatutnya diperlukan untuk membenarkan dari segi undang-undang mengenai struktur dan bangunan di dalam dan sekitar Batu Caves, yang dilakukan sejak lima tahun yang lalu," katanya.

Encik Nadarajah berkata, kerja-kerja pengubahsuaian di tapak Batu Caves bermula sejak awal tahun lalu.

Idea untuk tangga berwarna-warni itu dicetuskan oleh anaknya, N. Sivakumar, yang merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa itu.

Beliau menambah, tangga berwarna-warni itu akan menarik lebih ramai pelancong melawat kawasan itu dan pengubahsuaian akan menjadikan tempat tersebut lebih selesa untuk beribadat.

Sementara itu, sumber JWN berkata, mereka meneliti perkara tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurusan kuil bagi melihat apakah tindakan yang sewajarnya perlu diambil. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan