Piala Dunia FIFA 2026: Peruncit giat dapatkan stok barangan di tengah gangguan bekalan
Dengan beberapa hari sahaja yang tinggal sebelum Piala Dunia FIFA 2026 bermula, para peruncit barangan sukan di Singapura sedang berusaha untuk memastikan stok tiba di kedai tepat pada masanya.
Penambahan jumlah pasukan daripada 32 kepada 48 turut menjadikan tugas para peruncit lebih mencabar kerana mereka perlu mendapatkan barangan daripada lebih banyak negara dan persatuan bola sepak. (Gambar: CNA)
Perkembangan tersebut berlaku sedang gangguan rantaian bekalan dan format kejohanan yang diperluaskan bagi kejohanan bola sepak itu menjadikan proses mendapatkan bekalan lebih mencabar.
Cabaran itu timbul sedang para peruncit membuat persiapan untuk menghadapi permintaan yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan lima minggu itu, yang bermula pada Khamis depan (11 Jun) dan menampilkan 48 pasukan buat julung-julung kalinya.
Salah sebuah rangkaian peruncit pakaian sukan, Weston Corporation, kini mengejar masa untuk membawa masuk lebih banyak pilihan barangan bagi para peminat.
Syarikat itu menyasarkan untuk menjual barangan daripada 43 daripada 48 negara yang bertanding, termasuk pendatang baharu Piala Dunia FIFA seperti Cape Verde dan Jordan.
Namun, mendapatkan barangan daripada lebih banyak pasukan bukanlah sesuatu yang mudah.
"Terdapat pelbagai isu logistik - mungkin kelengahan di kilang, mungkin juga disebabkan perang, barangan tidak tiba tepat pada masanya," kata Pengarah Jualan Bola Sepak Weston Corp, Ami Chopra.
"Sentiasa ada halangan tertentu, tetapi tidak terlalu teruk."
Beliau menambah bahawa sesetengah jersi sangat sukar untuk diperolehi, termasuk jersi pasukan Iran.
"Kami akan cuba mendapatkannya. Ia agak mencabar. Saya perlu menghantarnya melalui Turki, kemudian ke lokasi lain sebelum dibawa ke Singapura. Jadi, ia bukan sesuatu yang mudah."
Bertambahnya jumlah pasukan peserta daripada 32 kepada 48 juga meningkatkan cabaran, kerana para peruncit perlu mendapatkan barangan daripada lebih banyak negara dan persekutuan bola sepak.
"Ia memang mencabar ... pasukan saya perlu bekerja keras untuk mendapatkan bekalan. Ia benar-benar sukar," kata Encik Ami.
Minat juga semakin meluas, dengan permintaan terhadap kad koleksi dan album pelekat turut meningkat.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, peruncit itu menyatakan permintaan setakat ini amat menggalakkan dan lazimnya akan bertambah lagi apabila kejohanan bermula.
MINAT AWAL SEMAKIN MENINGKAT
Satu lagi peruncit, Crown Sports, berkongsi pihaknya mengalami kelengahan yang minimum selepas memulakan persiapan beberapa bulan lebih awal.
"(Kami) perlu membuat unjuran permintaan lebih awal, jadi jika anda terlepas peluang itu, anda mungkin tidak dapat memperolehi barangan tersebut lagi," kata pengarahnya, Gori Johal, kepada Mediacorp.
"(Kami) perlu membuat unjuran dengan tepat sebelum membuat pesanan. Kami meneliti semua butiran kecil ini dalam tempoh lapan hingga 10 bulan sebelum stok tiba. Banyak perancangan terperinci dilakukan sebelum kami menunggu stok tiba."
Daripada menyimpan stok bagi semua pasukan, kedai itu memberi tumpuan kepada pasukan-pasukan yang dijangka mendapat permintaan paling tinggi di Singapura, seperti Argentina, Perancis, England, Portugal dan Brazil.
"Seperti mana-mana kejohanan besar, permintaan biasanya tertumpu kepada negara-negara bola sepak yang mantap, pasukan yang dipacu pemain terkenal dan negara yang mendapat perhatian meluas media," kata Crown Sports dalam jawapan bertulisnya sebelum ini.
Syarikat itu menambah bahawa populariti pemain individu juga semakin mempengaruhi keputusan pembelian.
Menurut peruncit itu, minat mula meningkat lebih awal daripada jangkaan. Ia menambah bahawa jersi bola sepak kini semakin dibeli sebagai barangan fesyen dan gaya hidup, bukan sekadar pakaian bagi para penyokong.
"Walaupun lonjakan jualan paling besar biasanya berlaku apabila permulaan kejohanan hampir tiba, momentum awal ini menunjukkan jangkaan yang tinggi dalam kalangan peminat bola sepak tahun ini."
Crown Sports menjangkakan jualan akan terus meningkat pada peringkat akhir Piala Dunia FIFA.
"Kami menjangkakan pembelian secara spontan yang tinggi sepanjang kejohanan, khususnya apabila pusingan kalah mati bermula, kerana para pelanggan sering datang untuk mendapatkan jersi pasukan yang tiba-tiba menunjukkan prestasi cemerlang atau menjadi tumpuan utama berita," tambah syarikat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.