Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pewarna makanan: apakah risiko dan alternatifnya?

Anggaran Waktu Membaca:
Pewarna makanan: apakah risiko dan alternatifnya?

(Gambar hiasan: Pexels)

SINGAPURA: Apabila melihat kek, agar-agar, minuman atau bijirin dan biskut berwarna-warni, tekak pasti rasa terliur dan teringin untuk menikmatinya. Apatah lagi kalau kanak-kanak yang nampak. Mereka pasti akan rasa lebih ghairah, tidak sabar untuk mencubanya.

Di pasaran terdapat banyak makanan yang diproses dan manisan yang mengandungi pewarna tiruan. Penggunaan pewarna atau bahan tambahan ini sudah wujud bertahun lamanya dan tujuannya adalah untuk membantu meningkatkan lagi mutu makanan, tekstur, warna, rupa dan juga rasa.

Cuba bayangkan jika pewarna makanan tidak wujud langsung. Pelbagai makanan yang dijual di kedai-kedai pasti akan tampil serupa, kurang menarik dan kurang enak. Sebab itu, pewarna digunakan untuk membuat makanan kelihatan lebih menarik selain membangkitkan selera makan.

Menurut kajian, pewarna makanan tergolong dalam salah satu bahan tambahan makanan yang selamat untuk dimakan. Ia sering didapati dalam jumlah yang kecil.

Kebanyakan pewarna makanan atau bahan tambahan ini sering didapati dalam makanan yang diproses, cemil-cemilan, snek serta manisan yang kurang berzat atau nutrisi. Contohnya kek, biskut, gula-gula, minumam manis, coklat, aiskrim dan sebagainya.
(Gambar hiasan: Pexels)


Walaupun sesetengah makanan jelas kelihatan pewarnanya dari luaran, tapi ada juga keadaan di mana kita tidak perasan kewujudan pewarna ini. Contohnya minuman yang disangka sihat seperti jus buah-buahan, susu berperisa dan juga minuman probiotik seperti tairu dan makanan bijirin.

KESAN PEWARNA TIRUAN PADA KESIHATAN

Pewarna makanan bukan sahaja digunakan dalam manisan. Tapi, juga dalam makanan seperti sosej, nuget dan banyak lagi. Walaupun pewarna merupakan bahan yang selamat, masih terdapat beberapa risiko dan kesan yang boleh berlaku pada kesihatan seseorang jika ia dinikmati secara kerap dan keterlaluan.

Menurut satu kajian, penggunaan warna dalam makanan sering dikaitkan dengan penyakit seperti hiperaktif, ADHD, perubahan perilaku, masalah tidur dan juga semput dalam kalangan kanak-kanak. Golongan ini didapati mengambil lebih banyak makanan yang mengandungi warna tiruan atau sintetik berbanding golongan dewasa.

Manakan tidak, kebanyakan makanan untuk kanak-kanak selalunya mempunyai warna yang menarik dan terang. Disebabkan lambakan produk yang mengandungi pewarna tiruan di pasaran, tanpa disedari, orang ramai tidak kira usia dianggarkan mengambil lima kali lebih banyak makanan yang mengandungi bahan pewarna.

Oleh itu, penting untuk membuat pilihan yang tepat agar anda dapat menikmati sajian yang lebih sihat untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang tidak diingini.

MENGESAN PEWARNA TIRUAN DAN ALTERNATIFNYA

Apabila ingin membeli makanan di pasar raya atau kedai, cuba luangkan masa sedikit untuk membaca labelnya. Pilih makanan yang menggunakan warna semula jadi seperti dari buah-buahan selain ekstrak sayuran.


Ada juga label yang memaklumkan nombor rujukan pewarna tiruan yang digunakan di peringkat antarabangsa. Sebagai pengguna, kita haruslah peka untuk membaca label dengan teliti sebelum membuat pilihan atau membeli sesebuah produk.

Selain daripada menggunakan pewarna makanan tiruan, penyediaan makanan di rumah juga boleh digantikan dengan pewarna asli. Ia bukan sahaja diperkaya dengan khasiat, tapi merupakan alternatif yang lebih baik untuk kesihatan. Banyak bahan-bahan asli seperti buah-buahan dan sayuran yang boleh dijadikan sebagai pewarna gantian dalam masakan.

 

(Gambar hiasan: Pexels)
Contohya, untuk memperolehi warna merah anda boleh gunakan beetroot atau jus delima. Sementara bunga telang pula sering digunakan untuk masak nasi yang berwarna biru atau ungu.
(Gambar: Pexels)
Selain itu, lobak merah yang dihiris dan dikisar juga dapat menghasilkan ekstrak warna oren sementara serbuk kunyit atau rempah saffron pula memberikan warna kuning terang.
(Gambar hiasan: Pexels)
Jika dibandingkan dengan makanan yang diproses tentunya makanan yang dimasak sendiri adalah pilihan yang lebih sihat dan berkhasiat untuk setiap golongan usia. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai penyakit dan juga kanak-kanak yang sedang melalui proses pembesaran.

Menurut satu kajian yang dilakukan di Australia, hampir 75 peratus ibu bapa dapat melihat perubahan pada perilaku anak apabila mereka mengurangkan pengambilan pewarna tiruan dalam makanan dan menggantikannya dengan pewarna gantian yang dihasilkan dari buah dan sayuran.

Oleh itu, anda juga boleh cuba untuk amalkan diet yang serupa dalam masakan. Walaupun tidak salah untuk menikmati hidangan yang sudah diproses sekali sekala. Tapi, haruslah berpada-pada dan pastikan anda sekeluarga tidak terlalu bergantung pada makanan yang diproses setiap hari.

Anda juga boleh mendidik dan menjelaskan kepada anak-anak mengapa makanan yang diproses atau makanan ringan dan berwarna tiruan bukanlah satu pilihan yang sihat untuk tubuh.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan