Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Petua galak anak berpuasa sama

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Memulakan sesuatu perkara yang baru bagi anak-anak tentunya memerlukan latihan dan galakan kuat daripada ibu bapa mereka. 

Apatah lagi dalam menunaikan ibadah puasa yang memerlukan mereka menahan rasa lapar dan dahaga untuk tempoh masa yang panjang. 

Memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi, anda mungkin ingin mempertimbangkan beberapa petua yang dikongsikan ini agar dapat berpuasa bersama anak anda... 

- Terangkan kepada anak anda tentang bulan Ramadan. 

"Adik cuba puasa ya. Nanti kita tak boleh makan siang selama 30 hari." 

Beritahu mereka yang jadual makan akan berubah kepada dua kali sahaja, iaitu sebelum waktu Subuh dan pada waktu Maghrib. Anda juga perlu memberitahu mereka berkali-kali dengan cara yang lembut untuk memastikan maklumat ini diingati dalam minda mereka. 

Selain itu, ajar mereka untuk menghormat orang yang berpuasa, seperti makan dengan senyap dan bukan di depan khalayak ramai. 

- Panggil mereka untuk turut bersahur. 

Semasa bersahur, anda boleh berborak-borak dan berbual bersama mereka. 

"Adik puasa ke hari ini? Ini waktu adik sahur ok." 

Walaupun mata dia terkebil-kebil, tidak mengapa, asalkan anda dapat menyampaikan kata-kata motivasi dan menerangkan tentang puasa kepada mereka. 

- Jadi contoh yang baik kepada anak anda. 

Anak-anak akan selalu memerhatikan tingkah laku ibu bapa mereka. Oleh itu, pada waktu Ramadan, mereka akan melihat bahawa rutin anda agak berbeza. 

Luangkan masa untuk membaca Al-Quran. Misalnya, pada waktu makan tengah hari, oleh kerana ibu tidak perlu lagi menyiapkan makanan, anda boleh mengambil wuduk dan terus membuka Al-Quran. 

Pada waktu malam pula, anda boleh mendirikan solat sunat seperti solat tarawih. Anak-anak anda akan meniru perbuatan anda. 

Ingatlah, dalam rumah yang dipenuhi dengan bacaan Al-Quran dan sering mengingati Tuhan, jiwa anda sekeluarga lembut dan mudah dibentuk. 

- Sediakan makanan berkhasiat. 

Ia tidak penting untuk memenuhkan meja dengan pelbagai hidangan. Satu atau dua lauk pun sudah cukup, sekiranya anda menyediakan makanan berkhasiat. Misalnya, anda boleh cuba meletakkan 'chia seed' dalam minuman mereka agar mereka bertenaga semasa berpuasa. 

- Tidur awal dan nyenyak. 

Makanan berkhasiat boleh menggalakkan tidur dan tenaga yang baik. Anda boleh cuba menyediakan minuman dan makanan seperti pisang dan susu untuk anda. 

- Kurang menonton telefon bimbit dan televisyen. 

Jika sebelum ini anda dan anak-anak anda akan menggunakan telefon bimbit atau menonton televisyen untuk berjam-jam, kurangkan sebanyak 30 minit. Luangkan masa untuk melakukan perkara yang berfaedah seperti membaca Al-Quran atau meluangkan masa dengan satu sama lain. 

- Jika anak anda beritahu mereka lapar, apa yang boleh anda lakukan? 

Anda boleh meminta mereka untuk menahan sedikit dahulu. Misalnya, beritahu mereka hanya 10 minit lagi. Mudah-mudahan, mereka akan lupa kelaparan mereka dalam masa 10 minit. Jika mereka bertanya lagi, anda boleh mengulangi alasan itu jika mereka kelihatan tidak berdaya. 

Sekiranya itu berlaku, berikan mereka air dahulu. Percayalah, lama-kelamaan, mereka sendiri tidak akan berasa selesa untuk makan kerana mereka sendiri tahu bahawa mereka sedang berpuasa. 

Hanya pada permulaan sahaja, mereka akan dihambat pelbagai cabaran yang mendorong mereka untuk ingin membatalkan puasa. 

- Buat aktiviti untuk menenangkan fikiran anak. 

Anda boleh bersama-sama lakukan aktiviti untuk menarik nafas, tahan seketika dan menghebuskan nafas. Ini boleh membuat anak anda lebih tenang dan tidak terlalu meragam. 

Kemudian, bayangkan diri anda kuat semangat dan bertenaga. Selepas itu, anda boleh melakukan aktiviti ini sekali lagi. 

- Beri ganjaran. 

Untuk setiap hari mereka berpuasa, beri mereka ganjaran secara intrinsik (pujian dan penghargaan) dan ekstrinsik (wang, mainan, makanan kegemaran).

Ganjaran ekstrinsik boleh diberikan khususnya pada waktu awal mereka mula mencuba berpuasa untuk membentuk sebuah rutin. 

Apabila rutin itu sudah disemai, anda boleh menerapkan kebaikan di sebalik amalan berpuasa ini.

Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan