Skip to main content

Gaya Hidup

Pesta Taman Singapura kembali bagi edisi ke-10 dari 4 hingga 12 Jul

Ingin berehat sambil menikmati keindahan bunga-bunga yang memukau?

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Taman Singapura kembali bagi edisi ke-10 dari 4 hingga 12 Jul

(Dari kiri) "Floral Roller Coaster" dan sebuah instalasi di Singapore Garden Festival. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 02:58PM
SINGAPURA: Ingin berehat sambil menikmati keindahan bunga-bunga yang memukau? Kunjungi Taman di Pesisiran dari 4 hingga 12 Julai bagi menghadiri Pesta Taman Singapura (Singapore Garden Festival) atau SGF 2026 yang kembali untuk edisi ke-10.

Bertemakan "Carnival of Blooms", SGF 2026 menampilkan pertandingan gubahan landskap bunga, di samping pelbagai instalasi dan pengalaman interaktif.

Antara daya tarikan utama ialah pertandingan "Show Gardens: All-Stars Edition", yang menghimpunkan lapan pemenang anugerah "Best of Show" terdahulu, terdiri daripada pereka landskap tempatan dan antarabangsa yang pernah memenangi pelbagai anugerah, untuk bersaing bagi merebut Anugerah "Pinnacle".

Para pelawat boleh berkunjung ke "The Meadow" bagi meninjau-ninjau taman-taman yang dipertandingkan, masing-masing menampilkan pelbagai spesies tumbuhan menarik serta reka bentuk landskap yang kreatif.

Di lokasi yang sama, para pengunjung juga boleh meninjau-ninjau "Floral Roller Coaster", sebuah instalasi setinggi lapan meter bertemakan "roller coaster" yang dihiasi tumbuhan tropika dan bunga-bungaan di sepanjang lengkungan serta landasannya.
Related article image
"Floral Roller Coaster" pada waktu malam. (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Turut ditampilkan ialah "Floral Mirror Maze", sebuah pengalaman pagar sesat (maze) yang menampilkan lapan lampu gantung hiasan bertemakan bunga di bawah kanopi terbuka, selain deretan cermin di kedua-dua sisi laluan tersebut.
Related article image
"Floral Mirror Maze". (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Bagi pengalaman yang lebih mengasyikkan, para pengunjung boleh mengunjungi "Known by Flowers Light Installation" hasil rekaan pereka landskap terkenal China, Hu Shiyang, yang menggabungkan bunga gergasi, pencahayaan dinamik dan teknologi.
Related article image
Kawasan yang disebut sebagai "Known by Flowers Light Installation". (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Bagi mereka yang ingin menjana gambar-gambar dengan sentuhan misteri, "Floral Vortex" menawarkan gerbang-gerbang orkid yang dikelilingi kehijauan.
Related article image
"Floral Vortex" pada waktu siang. (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Tarikan lain di SGF 2026 termasuk pelbagai taman dan landskap bertema, selain ruang jualan yang menawarkan peralatan berkebun, cenderamata, barangan koleksi dan pelbagai produk lain.

Tiket boleh dibeli di kaunter tiket Taman di Pesisiran atau secara online menerusi laman web rasmi acara tersebut, dengan harga tiket dewasa bermula daripada S$12.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita