Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pesta Kanak-Kanak Taman Di Pesisiran galak orang ramai derma mainan kepada kanak-kanak memerlukan

Bagi memupuk sikap memberi dan menggalak persahabatan dalam kalangan kanak-kanak, satu acara amal akan dianjurkan oleh Taman Di Pesisiran sempena cuti sekolah pada bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Kanak-Kanak Taman Di Pesisiran galak orang ramai derma mainan kepada kanak-kanak memerlukan

Orang ramai boleh menderma mainan di Pesta Kanak-Kanak 2019 Taman Di Pesisiran yang berlangsung antara 15 hingga 30 Jun. (Gambar: Gardens By The Bay)


SINGAPURA: Mainan lama anak anda jangan dibuang! Sebaliknya anda boleh mendermakannya kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Inilah peluang anda untuk melakukan kerja-kerja amal sempena musim cuti sekolah ini.

Bagi memupuk sikap memberi dan menggalak persahabatan dalam kalangan kanak-kanak, satu acara amal akan dianjurkan oleh Taman Di Pesisiran sempena cuti sekolah pada bulan ini.

Kempen mengumpul mainan itu akan diadakan di Supertree Grove di daya tarikan tersebut.

Menurut catatan Facebook Taman Di Pesisiran, sumbangan mainan baru atau terpakai yang didermakan itu akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak di bawah jagaan badan-badan kebajikan seperti Salvation Army, TOUCH Child Care di bawah naungan TOUCH Community Services dan Food from the Heart.

Orang ramai yang ingin menyokong kempen itu boleh membawa anak patung, set permainan, permainan papan, bahkan peralatan sukan seperti bola keranjang dan papan lungsur, ke lokasi acara yang bakal berlangsung di Supertree Grove.

Orang ramai boleh membuat sumbangan mulai Sabtu ini (15 Jun) hingga Ahad, 30 Jun 2019, dari 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Menurut pihak penganjur lagi, mainan lama boleh didermakan tetapi mesti dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan.

(Gambar: Pesta Kanak-kanak Taman di Pesisiran)

Pesta Kanak-Kanak Taman di Pesisiran

Pesta Kanak-Kanak 2019 yang berlangsung antara 15 hingga 30 Jun akan menyaksikan Supertree Grove di Taman Di Pesisiran bertukar wajah menjadi karnival berwarna-warni yang menawarkan permainan dan pelbagai kegiatan mesra keluarga, yang bertemakan filem Toy Story yang memaparkan watak-watak Buzz Lightyear dan Woody serta rakan-rakan mereka.

Tiada bayaran masuk dikenakan, menurut laman web Taman Di Pesisiran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan