Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pesta Buku Bahasa Ibunda tawar diskaun hingga 25%; anjur pelbagai kegiatan menarik secara fizikal dan maya

Buat julung-julung kalinya, Pesta Buku Bahasa Ibunda akan dianjurkan di Singapura dari 13 hingga 19 September ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Pesta Buku Bahasa Ibunda akan dianjurkan di Singapura dari 13 hingga 19 September ini.

Sepanjang tujuh hari itu, orang ramai boleh menikmati potongan harga sehingga 25 peratus bagi buku-buku yang dijual oleh 11 penerbit tempatan selain menyertai pelbagai kegiatan menarik termasuk sesi bercerita dan perbincangan buku dalam bahasa ibunda.

Menariknya, acara tersebut dikendalikan secara hibrid dengan pesta fizikal berlangsung di Program Zon 1, Bangunan Perpustakaan Negara dan Besmen 1 Perpustakaan Awam Central (CTPL), manakala program online boleh disertai melalui wadah media sosial Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA) dan penjualan online pula melalui www.bookbazaar.sg.

Antara kegiatan dalam bahasa Melayu adalah sesi perbincangan buku Oh! Kampungku bersama penulis Cik Josephine Chua dan editor Cik Nur-El-Hudaa Jaffar pada Sabtu (18 Sep), 1.30 tengah hari.

Selain itu, sesi bercerita dan kraf tangan bersama penulis buku Pensel Warna Kuning Mimi, Encik Muhammad Asyraf pula akan diadakan pada Ahad (19 Sep), 3.00 petang.

Disokong oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), pesta anjuran SBPA itu adalah sebahagian daripada gerakan membeli buku-buku tempatan, #BuySingLit dan bertujuan menyuntik minat dan menggalak tabiat membaca dalam bahasa ibunda.

"Kami mengundang semua orang untuk terus menyokong para penulis kita dengan membeli dan membaca karya-karya mereka, demi melestarikan bahasa ibunda kita agar ia terus mekar dan kekal relevan," ajak Presiden SBPA Max Chua sewaktu pelancaran pesta tersebut pada Isnin (13 Sep).

BUKU AUDIO BAHASA MELAYU

Sempena acara tersebut, beberapa buku bahasa ibunda juga akan dilancarkan termasuk buku audio Siri Feri.

Siri hasil kerjasama penerbit tempatan, Pustaka Nasional (PN) dan PT. Zikrul Bestari dari Indonesia itu menggabungkan lima kisah yang ditulis oleh para pemenang sayembara kanak-kanak dan disuarakan pula oleh bakat-bakat yang dicungkil daripada peraduan Mencari Suara Si Feri pada 2020.

Penerbit mapan Singapura itu turut mengumumkan pemeterian kerjasama dengan Storytel untuk memuat naik buku audio kanak-kanak dan beberapa buku sastera terbitan PN di aplikasi Storytel.

Lebih banyak buku akan menyusul dan pihak PN dijangka akan menawarkan lebih 60 tajuk menjelang tahun depan.

"Jadi pandemik ini tidak mengurangkan pengeluaraan kita malah mempercepatkan
pendigitalan kandungan untuk saluran maya," kata jurucakap PN sewaktu pelancaran buku audio Siri Feri.

Orang ramai dialu-alukan mengunjungi Pesta Buku Bahasa Ibunda secara fizikal mahupun online.

Butiran lanjut boleh didapatkan di wadah media sosial SBPA.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan