Skip to main content

Gaya Hidup

Pesta Amal 'Sands for Singapore' kembali pada Ogos 2026 dengan persembahan percuma, pelbagai gerai makanan

Pesta 'Amal Sands for Singapore' anjuran Marina Bay Sands (MBS) akan kembali buat edisi ke-12 pada Ogos ini dengan pelbagai acara mengumpul dana bagi menyokong usaha kebajikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Amal 'Sands for Singapore' kembali pada Ogos 2026 dengan persembahan percuma, pelbagai gerai makanan

Pemandangan udara Marina Bay Sands, lokasi Festival Amal Sands for Singapore 2026. (Gambar: Marina Bay Sands)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 04:04PM Dikemas Kini : 22 Jul 2026 05:23PM
SINGAPURA: Pesta 'Amal Sands for Singapore' anjuran Marina Bay Sands (MBS) akan kembali buat edisi ke-12 pada Ogos ini dengan pelbagai acara mengumpul dana bagi menyokong usaha kebajikan.

Acara yang bakal berlangsung sepanjang bulan Ogos akan menampilkan program khas selama tiga hari, dari 28 hingga 30 Ogos, di Event Plaza, Marina Bay Sands.

Para pengunjung boleh menikmati pelbagai persembahan secara percuma, gerai makanan, permainan interaktif serta aktiviti untuk seisi keluarga.

Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan ialah penyanyi Singapura, Rriley, kumpulan muzik tempatan 53A serta THKMC Brave Hearts Ensemble, kumpulan seni inklusif yang dianggotai penghuni THK Home for the Disabled di Eunos.
Related article image
Penyanyi Singapura, Rriley, antara artis yang akan membuat persembahan sempena Pesta Amal 'Sands for Singapore 2026'. (Gambar: Marina Bay Sands)
Pesta itu turut menampilkan The Good Bites Market, yang menghimpunkan lima gerai makanan gourmet.

Hasil jualan daripada gerai tersebut akan disalurkan kepada pertubuhan bukan untuk keuntungan AWWA bagi menyokong program Enabled Living @ Bedok, yang membantu golongan kurang upaya menjalani kehidupan dengan lebih berdikari.

Para pengunjung juga boleh menyertai permainan interaktif 'Impact Match', yang membolehkan mereka menghasilkan pek kelengkapan sekolah secara digital.

Bagi setiap pek yang berjaya dihasilkan, Marina Bay Sands akan menyumbang satu pek kepada pelajar Sekolah NorthLight.

Selain pesta itu, para kakitangan Marina Bay Sands juga akan menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan sepanjang Julai dan Ogos bagi membantu keluarga berpendapatan rendah, warga emas, belia serta golongan kurang upaya.

Aktiviti-aktiviti tersebut termasuk membawa warga emas menaiki beca di sekitar Marina Bay bersama Cycling Without Age Singapore serta menyediakan 30,000 kit kebersihan untuk golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Operasi Marina Bay Sands, Paul Town, berkata syarikat itu berharap pesta berkenaan dapat menggalakkan lebih ramai orang menyokong usaha kebajikan sambil mengeratkan hubungan dalam masyarakat.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita