Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pesakit COVID-19 bukan hanya alami kemurungan, ada mungkin rasa resah, gangguan ingatan, angin ahmar

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menarik perhatian bahawa masalah kemurungan dan rasa resah meningkat 25 peratus pada tahun pertama pandemik COVID-19.

Penyelidik menemukan lebih banyak bukti bahawa koronavirus menyebabkan gangguan terhadap kesihatan mental.

Dalam satu kajian yang dijalankan pada 2021, lebih separuh orang dewasa di Amerika melaporkan gejala kemurungan serius selepas dijangkiti COVID-19.

Risiko mengalami gejala ini serta gangguan kesihatan mental yang lain kekal tinggi sehingga setahun selepas mereka pulih.

"Dapatan itu tidak mengejutkan kerana pandemik tersebut meninggalkan kesan yang besar," kata Dr Ziyad Al-Aly, pakar epidemiologi klinikal di Universiti Washington di St Louis dan ketua penyelidikan dan pembangunan di Sistem Penjagaan Kesihatan St Louis Hal Ehwal Veteran.

Kebimbangan kesihatan, rasa sedih akibat kehilangan orang tersayang, pengasingan sosial dan gangguan aktiviti seharian adalah punca kemurungan, terutama sekali pada awal pandemik.

Namun berbanding dengan mereka yang tidak dijangkiti, pesakit COVID-19 paling terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan mental.

"Ada sesuatu mengenai koronavirus yang menjejas otak," kata Dr Al-Aly.

"Sesetengah orang mengalami kemurungan, manakala ada yang diserang angin ahmar, keresahan serta gangguan ingatan dan deria."

Namun, ada yang tidak mengalami masalah neurologi atau psikiatri sama sekali, katanya.
Gambar hiasan.

SEBAB PESAKIT ALAMI KEMURUNGAN

Para saintis masih mengkaji bagaimana koronavirus mengubah otak pesakit dan kajian mula memberikan beberapa penjelasan.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa sistem imun terjejas ketika seseorang itu jatuh sakit. Pesakit akan mengalami keradangan pada seluruh tubuh dan juga di otak.

Ada juga beberapa bukti bahawa sel endothelial yang melapisi saluran darah di otak terganggu semasa jangkitan COVID-19 yang membolehkan bahan berbahaya masuk dan menjejaskan fungsi mental.

SIAPA YANG PALING BERISIKO?

Salah satu faktor risiko terbesar menyebabkan pesakit mengalami kemurungan selepas COVID-19 ialah didiagnos dengan gangguan kesihatan mental sebelum anda jatuh sakit.

Mereka yang mempunyai gejala teruk COVID-19 dan terpaksa duduk di hospital semasa jangkitan itu juga berisiko tinggi mengalami kemurungan, kata Dr Megan Hosey, ahli psikologi pemulihan yang bekerja dengan pesakit ICU di Hospital Johns Hopkins.

Menurut anggaran WHO, golongan muda juga berisiko membunuh diri dan menunjukkan tingkah laku mencederakan diri sendiri selepas jangkitan COVID-19.

Wanita lebih berkemungkinan daripada lelaki melaporkan masalah kesihatan mental selepas jangkitan COVID-19.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan fizikal sedia ada seperti semput, barah dan sakit jantung juga lebih berkemungkinan menunjukkan gelaja gangguan mental dengan selepas COVID-19.

(Gambar: pondsaksit/iStock)
PETANDA AWAL KEMURUNGAN

Jika keletihan dan perasaan tertekan berlanjutan selama dua hingga enam minggu selepas jangkitan COVID-19 dan mula menganggu kehidupan seharian anda atau menjejaskan hubungan anda dengan orang lain secara negatif, ia mungkin tanda kemurungan, kata Dr Hosey.

Beberapa orang dengan kemurungan juga mungkin mengalami kesedihan yang berlanjutan, mudah marah, perubahan dalam selera makan atau berat badan, masalah memberi tumpuan, rasa bersalah atau putus asa.

Mereka yang mengalami kemurungan yang teruk mungkin sering memikirkan tentang kematian dan berfikiran untuk membunuh diri.

BAGAIMANA RAWAT KEMURUNGAN SELEPAS COVID-19?

Jika anda bimbang tentang diri anda sendiri ataupun orang tersayang yang mengalami gejala kemurungan selepas jangkitan COVID-19, adalah penting untuk bertemu pakar perubatan atau kesihatan mental.

Kemurungan bukan sesuatu yang anda boleh tangani sendiri, kata Dr Hosey.

Kajian menunjukkan bahawa senaman dan meditasi boleh membantu menyembuhkan minda dalam beberapa kes.

Namun, jika perubahan tingkah laku tidak berkesan, seorang profesional boleh mengesyorkan terapi atau ubat, bergantung pada keperluan anda.

Belum jelas lagi masa yang diambil untuk sembuh daripada gejala kemurungan selepas COVID-19.
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan