Skip to main content

Gaya Hidup

Peruncit global berlumba-lumba rebut peluang kaut untung dari filem Barbie

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: Pelbagai barangan bertemakan 'Barbie' seperti anting-anting, minyak wangi dan pakaian dikeluarkan oleh para peruncit yang cuba mengaut keuntungan melalui tayangan filem Barbie pada Jumaat, yang menghidupkan semula kegilaan terhadap anak patung plastik dan alam semestanya yang dihiasi dengan labuci berwarna merah jambu.

Dengan ramai pengguna mengurangkan perbelanjaan di tengah-tengah tekanan kos sara hidup, para peruncit cuba memujuk para pembeli-belah supaya membeli barangan yang lebih mahal dan meningkatkan pendapatan mereka.

Mattel, yang memiliki jenama Barbie, menyasarkan filem itu untuk memperbaharui daya tarikan nostalgia anak patung tersebut, sambil cuba memasarkan Barbie kepada generasi peminat baharu.

"Saya tidak fikir kita pernah melihat kerjasama jenama sebanyak ini terjalin berdasarkan satu filem," kata Jo Ashdown, rakan pengurusan Mando-Connect, sebuah agensi kerjasama jenama yang merupakan sebahagian daripada WPP.

Koleksi Barbie Zara yang dilancarkan pada Isnin (17 Jul) menampilkan 17 pakaian dan aksesori kanak-kanak, termasuk baju renang merah jambu, beg galas dan kasut, tetapi pilihan untuk wanita adalah lebih luas, dengan 85 barangan.

Kaum lelaki juga boleh mengikuti trend itu dengan sut fuchsia, atau but koboi dan baju denim untuk dipadankan dengan pakaian yang digayakan oleh Ryan Gosling dalam peranannya sebagai teman lelaki Barbie, Ken.

Jenama pakaian dan kasut dari H&M hingga Primark, Gap, Superga dan Crocs, turut melancarkan koleksi Barbie.

Koleksi Zara Barbie, anting-anting gelung dan hoodie berwarna merah jambu sudah kehabisan stok menjelang Rabu di cawangan jenama tersebut di Britain. Blazer sut dua lapis untuk lelaki berharga 89.99 paun (S$116.04), juga kehabisan stok.

Hoodie Barbie Gap untuk wanita hanya ditawarkan dalam saiz XXS online, manakala sepasang Barbie Crocs, berharga $59.99 - $10 lebih tinggi daripada Crocs biasa - habis dijual di laman web Crocs. Jenama bagasi Beis pula menyaksikan senarai menunggu bagi ketiga-tiga saiz beg pakaian berwarna merah jambu Barbie, yang dijual pada harga premium berbanding harga warna biasa.

Walmart turut menjual anak patung Barbie dalam pelbagai warna kulit dan gaya rambut pada harga $45 kepada para pengumpul.

Bukan peruncit sahaja, malah hotel mewah seperti Hyatt Hotels dan Hilton turut menawarkan bilik suite yang bertemakan Barbie di bandar-bandar seperti Bogota, Colombia dan Kuala Lumpur, Malaysia.

Jumlah barangan yang banyak - dari permaidani Barbie hingga ke berus gigi Barbie - meningkatkan lagi kemungkinan jenama tersebut dipasarkan secara berlebihan, tetapi penekanan kepada kepelbagaian dan keterangkuman daripada Mattel, rakan kongsi runcit dan filem itu sendiri, boleh menyuntik kebaharuan untuk mengekalkan minat orang ramai.

"Semua orang boleh menjadi Barbie atau Ken," kata James Zahn, editor majalah perdagangan The Toy Book.

"Saya fikir ia telah membantu mengembangkan jenama Barbie tanpa memasarkannya secara keterlaluan."

Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita