Pertunjukan cahaya ala kelip-kelip dan pameran orkid berskala besar di Taman di Pesisiran
Sempena sambutan SG60, Taman di Pesisiran melancarkan pameran popularnya, Orchid Extravaganza, di Flower Dome, serta menampilkan buat julung kalinya di Asia Tenggara, Spark – iaitu pemasangan lampu yang menyerupai kelip-kelip di langit malam.
Orchid Extravaganza (kiri) dan Spark di Taman di Pesisiran. (Gambar: Gardens by the Bay)
Pemasangan lampu yang percuma itu berlangsung setiap malam di Supertree Grove Lawn sehingga 3 Ogos. Ia dihasilkan oleh seniman terkenal antarabangsa dari Belanda, Daan Roosegaarde, dan disesuaikan secara khas untuk setiap bandar yang dikunjunginya.
Bagi Singapura, berat, corak pergerakan dan koreografi lampu Spark diubah suai secara khusus untuk menepati iklim tropika. Naik dan turun mengikut aliran udara semula jadi, ribuan percikan cahaya terapung biodegradasi menghasilkan persembahan unik dan sentiasa berubah-ubah setiap malam.
Antara yang dipamerkan termasuk bunga kebangsaan Singapura, Papilionanthe Miss Joaquim (Vanda Miss Joaquim), serta hibrid unik yang dinamakan sempena pelbagai lokasi dan institusi tempatan. Contohnya, Choa Chu Kang mempunyai orkidnya yang tersendiri iaitu Papilionanda Chua Chu Kang. Turut dipamerkan ialah Dendrobium Incredible NUHS Nurses dan Vanda KK Women’s and Children’s Hospital.
Pemegang tiket Flower Dome juga boleh menikmati kemasukan percuma ke Muzium Peranakan untuk tempoh terhad.
Orchid Extravaganza berlangsung sehingga 31 Ogos.
“Taman di Pesisiran bukan sekadar taman kebangsaan tetapi juga Taman Rakyat; ruang hijau untuk masyarakat berkumpul dan berinteraksi di tengah-tengah kalendar acara tahunan yang kaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Taman di Pesisiran, Felix Loh.
“Sempena sambutan bersejarah SG60, kami sudah menggandakan usaha untuk mengisi bulan Ogos dengan rangkaian aktiviti istimewa yang kami harap dapat menghimpunkan rakyat Singapura dari pelbagai lapisan masyarakat untuk memperingati ulang tahun negara.”
Antara acara lain dalam rangkaian program SG60 pada bulan Ogos di Taman di Pesisiran termasuk Konsert Hari Kebangsaan tahunan Taman di Pesisiran dan Mediacorp pada 3 Ogos, serta Perayaan Hari Kebangsaan NDP 2025 @ Gardens by the Bay pada 9 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.