Pertama kali gagal dalam niaga F&B, Fatimah Mohsin bangkit dengan Loong Dimsum
Fatimah Mohsin bersama rakan-rakan kongsi Loong Dimsum
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Dua tahun selepas perniagaan makanan dan minuman (F&B) “555 Halal Thai” terpaksa ditutup, usahawan, Fatimah Mohsin bangkit semula dengan membuka Loong Dimsum di kawasan pusat perniagaan (CBD).
Menurut Cik Fatimah, beliau sedia maklum akan cabaran yang dihadapi peniaga F & B terutamanya sejak pandemik. Bagi beliau, kos sewa yang semakin mahal dan perubahan dalam pasaran adalah antara faktor restorannya di Kranji Gallop Resort yang berkonsep sajian Thai itu terpaksa ditutup.
“Saya bukan jenis yang mudah mengalah, tapi ketika itu, memang tiada pilihan. Bagaimanapun, saya tidak menganggapnya sebagai satu kegagalan. Saya percaya ia hanya menunggu masa dan tempat sesuai untuk kembali,” jelas beliau.
Berbekalkan semangat tidak menyerah kalah itu, Cik Fatimah, 49 tahun mengorak langkah bersama tiga rakan pengasas lain dalam usaha terbarunya ini.
Pandangan ramai bahawa setiap perniagaan atau projek yang diusahakan Cik Fatimah sentiasa berkonsepkan mewah dan eksklusif bukanlah sesuatu yang baharu.
Imej beliau sering dikaitkan dengan mutu tinggi serta jenama premium.
Namun, Cik Fatimah menegaskan bahawa faktor harga bukanlah keutamaan semata-mata.
Menurut beliau, apa yang lebih penting ialah memberikan pengalaman yang berbaloi daripada aspek mutu produk atau perkhidmatan.
“Saya sentiasa menawarkan harga yang kompetitif,” ujar usahawan itu, yang lebih dikenali dalam sektor perkahwinan Melayu dan dunia fesyen.
Dengan penekanan pada harga berpatutan dan mutu yang tinggi, Cik Fatimah mahu menepis tanggapan bahawa segala-galanya perlu berharga mahal untuk digelar ‘mewah.’
“Selepas begitu lama dalam industri ini, saya sedar bahawa saya tidak mahu melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan wang, tetapi kerana kualiti,” kongsinya kepada BERITA Mediacorp.
Peluang untuk membuka sebuah restoran sekali lagi tercetus apabila beliau dan rakan-rakan kongsinya berbincang mengenai konsep yang ingin diketengahkan.
Menyedari bahawa terdapat sekitar lima saja restoran dim sum halal di pasaran, mereka merasakan konsep ‘fine dining kasual’ adalah pilihan yang tepat untuk diterokai.
Lokasi di kawasan CBD pula, lebih tepat lagi di 10 North Canal Rd, menjadi pilihan kerana adanya banyak pejabat korporat serta mengambil kira majlis bulanan seperti makan malam bersama pasukan dan rakan kerja.
Beliau yakin faktor-faktor tersebut dapat membantu kelangsungan Loong Dimsum.
“Kami tidak mahu sekadar tular sekarang dan kemudian dilupakan begitu sahaja. Sebabnya saya turut serta kerana saya percaya dengan perniagaan ini, dan ia harus menjadi usaha berterusan yang sentiasa ditambah baik.” kongsi Cik Fatimah lagi.
Loong Dimsum menyediakan menu halal dengan cita rasa tulen Cina serta harga yang berpatutan.
Bermula dengan harga S$4.80 untuk setiap hidangan dim sum, Cik Fatimah menekankan pentingnya mengekalkan keseimbangan antara mutu dan kemampuan pelanggan.
“Bila orang makan dim sum, mereka suka berbual bersama kawan. Jadi, kami mahu suasana yang selesa, estetik dan bersih supaya pelanggan rasa berbaloi dengan apa yang dibayar,” katanya.
Loong Dimsum turut menyediakan ruang makan peribadi berkonsepkan ‘glasshouse’ di tingkat tertinggi restoran empat tingkat itu, yang mampu memuatkan sehingga 60 orang.
Menurut Cik Fatimah, ruang itu sesuai bagi majlis-majlis intim seperti majlis perkahwinan dan acara korporat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.