Skip to main content

Gaya Hidup

Persiaran 5 hari atas kapal Disney Adventure: Apa yang boleh anda jangkakan?

Anggaran Waktu Membaca:
Persiaran 5 hari atas kapal Disney Adventure: Apa yang boleh anda jangkakan?
Tempat bergambar terbaik di Disney Imagination Garden. (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Diterbitkan : 09 Mar 2026 11:44PM Dikemas Kini : 09 Mar 2026 11:45PM
SINGAPURA: Disney Cruise Line tiba di Asia dengan pelancaran Disney Adventure, yang akan belayar dari Singapura sepanjang lima tahun akan datang. Pelayaran sulungnya berlepas pada Selasa (10 Mac). Kapal yang sangat dinanti-nantikan itu menarik minat yang besar daripada peminat Disney, dengan pelayaran habis terjual dengan pantas sedang para pelancong teruja untuk mengalami keajaiban Disney di laut.

Tetapi adakah pelayaran itu dapat tepati 'Hype'?

Baru-baru ini wartawan Mediacorp menghabiskan masa lima hari empat malam di atas kapal semasa pratonton media, meneroka segala-galanya daripada roller coaster terpanjang di laut hinggalah pertunjukan gaya Broadway dan pertemuan dengan watak-watak Disney di sekitar kapal. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diketahui jika anda akan melakukan pelayaran, atau masih menimbangkan perjalanan tersebut.

SEBELUM NAIK: MUAT TURUN APLIKASI, BAWA TALI LANYARD

Sebelum tiba di Pusat Pelayaran Marina Bay, ada dua perkara yang perlu anda lakukan untuk memudahkan pergerakan atas kapal.

Pertama, muat turun aplikasi Disney Cruise Line dan masukkan nombor tempahan anda terlebih dahulu. Sebaik sahaja menaiki kapal, aplikasi ini menjadi panduan utama anda, menyenaraikan aktiviti harian, penampilan watak, waktu tayangan dan jadual makan. Anda juga memerlukannya untuk menempah pengalaman seperti roller coaster Ironcycle Test Run, kerana slot mungkin terhad.

Petua mudah lain ialah membawa tali lanyard. Kad "Kunci Dunia" anda berfungsi sebagai kunci bilik, pengenalan diri dan kaedah pembayaran di atas kapal, jadi anda akan membawanya ke mana-mana sahaja semasa pelayaran.

PANDANGAN PERTAMA: KAPAL YANG MEMUKAU

Setibanya di terminal pelayaran, mustahil untuk terlepas pandang kapal ini. Menjulang tinggi di pelabuhan, trek roller coaster Ironcycle Test Run berliku di sekitar dek atas.

Malah sebelum menaiki kapal, suasana Disney sudah rancak. Ramai tetamu tiba dengan memakai telinga Mickey, kemeja-T Disney dan aksesori bertema, mewujudkan tenaga yang serupa dengan memasuki taman tema Disney.

MENGINJAK KE ATAS KAPAL: BUNYI-BUNYIAN MEMBENTUK SUASANA

Sebaik sahaja tetamu melangkah masuk, muzik Disney memenuhi udara dan watak-watak yang dikenali muncul melalui mural, arca dan perincian reka bentuk di seluruh kapal.

Pada satu ketika, lagu tema The Lion King mula dimainkan, menarik hadirin untuk nyanyi bersama.

BILIK TIDUR: KABIN SELESA DENGAN SENTUHAN HALUS

Seperti kebanyakan kapal pelayaran, Disney Adventure menawarkan bilik dalaman, kabin pemandangan laut dan bilik yang mempunyai beranda. Setiap bilik menampilkan tema Disney yang halus yang diinspirasikan oleh watak-wataknya.

Bilik bertemakan The Little Mermaid dihiasi mural dinding dan karya seni yang masih terasa anggun walaupun untuk tetamu yang bukan peminat tegar Disney.

Kabin Deluxe boleh memuatkan sehingga empat tetamu berkat katil sofa dan pembahagi langsir. Bilik mandi dibahagikan kepada dua bahagian, membolehkan ramai orang bersiap-siap pada masa yang sama.

Bilik-bilik juga mempunyai banyak ruang penyimpanan dan soket pengecas, beserta TV yang dimuatkan dengan filem dan rancangan Disney.

MENCARI JALAN ANDA DI SEKITAR KAPAL
Related article image
MENCARI JALAN ANDA DI SEKITAR KAPAL

Bersedialah untuk banyak berjalan di kapal terbesar Disney Cruise Line.

Kapal ini dibahagikan kepada bahagian hadapan, tengah dan belakang, dan walaupun mudah diteroka selepas satu atau dua hari, anda mungkin masih boleh sesat.

Jika ragu-ragu, anak kapal yang ditempatkan di sekitar kapal sentiasa gembira untuk membantu.

TAMAN IMAJINASI: TARIKAN UTAMA KAPAL

Salah satu kawasan paling mengagumkan di atas kapal ialah Disney Imagination Garden, sebuah amfiteater yang diinspirasikan oleh taman yang menampilkan kehijauan dan pentas yang dibingkai oleh istana merah jambu.

Ia menganjurkan persembahan seperti pesta dek Let’s Set Sail dan Avengers Assemble, di mana adiwira Marvel muncul secara dramatik di seluruh ruang.

Satu lagi kemuncak ialah Remember, sebuah muzikal gaya Broadway di Walt Disney Theatre. Cerita ini mengikuti WALL-E dan Eve dalam usaha untuk memulihkan kenangan yang hilang, menampilkan watak-watak daripada Coco, The Little Mermaid dan Aladdin.

Segmen “Remember Me” daripada Coco amat menyentuh hati.

SPA DAN KEMUDAHAN UNTUK BERSANTAI

Kapal ini juga mempunyai kawasan spa dan kesejahteraan yang menawarkan khidmat urut, rawatan muka dan dandanan rambut.

Para tetamu boleh membeli akses untuk ke kawasan spa Rainforest, yang merangkumi jakuzi, bilik wap dan kerusi malas panas yang menghadap lautan.

Terdapat juga gimnasium dengan pemandangan lautan dari lantai ke siling.

NIKMATI BUNGA API DAN BERAMAH MESRA DENGAN WATAK-WATAK DISNEY

Anda boleh bertemu watak-watak Disney dalam pelayaran ini, dengan penampilan dijadualkan sepanjang hari di aplikasi Disney Cruise Line.

Satu lagi tarikan ialah pertunjukan bunga api Lion King yang diceritakan oleh Shah Rukh Khan, dengan bunga api menerangi langit malam sambil lagu tema ikonik dimainkan.

Melihat bunga api meletup di atas lautan sambil muzik beralun adalah cara terbaik menutup kegiatan sepanjang hari.

PENGEMBARAAN DISNEY YANG TERAPUNG
Related article image
Pelayaran ini kini menawarkan dua pilihan: pelayaran tiga malam bermula dari S$1,389 dan pelayaran empat malam bermula dari S$1,810.

Tidak seperti sesetengah pelayaran, Disney Adventure tidak berlabuh di destinasi lain — kapal itu sendiri adalah daya tarikannya.

Pelayaran itu pastinya merupakan impian bagi peminat Disney, tetapi mereka yang bukan peminat tegar mungkin akan menikmati pengalaman itu juga.

Pengalaman itu pasti dapat menggamit kembali kenangan beberapa filem lama Disney, selain mendorong anda menonton filem-filem baharu Disney yang belum anda tonton.

Dan itu, antara lain, merupakan keajaibannya.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita