Persiapan mudah, praktikal jelang Ramadan

(Gambar hiasan: Pexels)
Setiap kali tibanya bulan istimewa ini pasti kaum ibulah yang paling sibuk. Selain manfaatkan masa untuk memperbaiki ibadah, golongan ibu juga akan menghabiskan masa sebagai ‘orang kuat’ di dapur untuk siapkan juadah sahur dan berbuka buat keluarga tercinta.
Bagi ibu yang bekerja sepenuh masa, waktu anda pasti terbatas. Anda pasti rasa kelam kabut dan kesuntukan masa untuk siapkan juadah sejurus saja pulang dari pejabat. Untuk memastikan segalanya berajalan lancar, pastikan untuk membuat persiapan awal sebelum Ramadan.
10 PERKARA SEBELUM PUASA
Bersihkan peti sejuk
Inilah antara perkara yang tidak patut terlepas pandang. Cuba luangkan masa untuk mengemas dapur dan bersihkan peti sejuk sebelum Ramadan. Buang makanan dan bahan masakan yang sudah sampai tarikh luputnya.

Siapkan menu
Bagi ibu yang bekerja anda boleh lakarkan menu berbuka dan sahur untuk seminggu. Sebelum itu siapkan bahan-bahannya terlebih dahulu pada hujung minggu. Contohnya, jika membeli ikan atau ayam, pastikan ia sudah disiang dan dibersihkan dulu.

Kemudian lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit sebelum letakkan ke dalam plastik Ziploc yang bersih. Sebelum simpan di dalam peti sejuk anda juga boleh labelkan pada plastik - hari dan tarikh untuk dimasak. Cara ini pasti dapat mempercepatkan proses masakan anda.
Bahan mentah
Pastikan ayam, ikan dan daging yang dibeli sudah disiang dan dibersihkan terlebih dulu sebelum menyimpannya di dalam peti ais.
Pada masa yang sama, untuk menjimatkan masa anda juga boleh siapkan bahan-bahan utama atau rencah untuk menumis seperti bawang putih, bawang besar, halia dan sebagainya. Letakkan di dalam bekas kedap udara yang bersih dan simpan elok di dalam peti ais.
Makanan ‘instant’
Hidangan seperti kentang, nuget, ayam beku dan sebagainya merupakan antara sajian favorit untuk anak-anak. Pastikan untuk membuat persediaan awal untuk beli bekalan yang secukupnya kerana ia mudah disiapkan dan pastinya menjadi pembuka selera anak-anak semasa waktu buka dan sahur.
Kupas bawang
Jika ada masa sebelum berpuasa kisar bawang besar, bawang putih dan cili kering secara berasingan. Simpan bahan-bahan ini di dalam bekas kedap udara dan masukkan ke dalam peti sejuk. Cara ini pasti dapat menjimatkan masa bila ingin memasak. Tapi, usah kisar terlalu banyak untuk elakkan rasa kurang enak jika disimpan terlalu lama. Sebaik-baiknya bahan kisar ini elok untuk disimpan sehingga tiga hingga empat hari jika ingin kekal rasa yang segar.

Inilah antara ‘penyelamat’ bagi ramai ibu terutama pada bulan puasa apabila perlu bangun awal untuk siapkan juadah dan lauk pauk untuk sahur. Pelbagai pes segera mudah didapati di pasaran atau anda juga boleh buat sendiri dan bekukannya. Menjimatkan masa, pes-pes ini tidak memerlukan anda untuk mengupas bawang dan sebagainya.

Simpan air rebusan untuk memudahkan masakan sekiranya anda terasa untuk berbuka sajian mi sup atau mi kuah dan sebagainya. Air rebusan tidak kira sama ada rebusan tulang lembu atau ayam, ia juga boleh dibekukan dan jadikan ia seperti kiub ais. Memudahkan bila ingin menggunakannya anda hanya perlu ambil ketulan air rebusan dan masukkan dalam masakan.
Cara ini juga merupakan alternatif untuk serbuk atau kiub perasa yang sering digunakan.
Elak pembaziran
Usah berbelanja secara boros untuk membeli benda-benda yang tidak perlu. Namun pastikan bahan-bahan asas yang diperlukan seharian seperti beras, gula, garam, minyak dan sebagainya mencukupi sepanjang sebulan Ramadan.
Untuk barang basah pula, pastikan ia sesuai untuk disimpan dalam tempoh yang ditetapkan di dalam peti ais.
Lauk beku
Sajian lauk pauk seperti rendang dan kari, boleh disiapkan lebih awal dan bekukannya di dalam peti ais. Dengan demikian bila ingin menikmatinya semasa berbuka anda hanya perlu keluarkannya dari peti ais dan panaskan semula.
Sebelum itu semasa membuat persiapan, pastikan lauk dimasak dengan betul dan daging sudah empuk. Kemudian baru boleh alihkan ke dalam bekas yang tertutup sebelum menyimpannya di dalam peti ais. Jika ingin menikmatinya, keluarkan dulu dan biarkan pada suhu bilik sebelum panaskannya.
Sahur dan iftar
Pastikan untuk menikmati makanan yang sihat dan berkhasiat semasa berbuka dan sahur kerana ia dapat memberikan tenaga yang berpanjangan semasa bertugas dan beribadah. Antaranya, bijirin oats, kurma dan susu untuk sahur akan membantu untuk memberikan tenaga sepanjang hari. Ringkas tapi diperkaya dengan pelbagai khasiat.

Selamat menyambut Ramadan!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.