Permintaan tinggi bagi lawatan bufet durian di Malaysia diketuai AP SG
Dengan tamatnya Pilihan Raya Umum, ahli parlimen Singapura kini kembali dengan rutin harian mereka.
Beberapa ahli politik Singapura, termasuk Encik Ng Chee Meng, dilihat mengetuai konvoi penduduk menyeberang tambak ke Johor Bahru dan Melaka untuk menikmati durian. (Gambar: Ng Chee Meng)
Ini termasuk jamuan durian bersama penduduk kawasan undi mereka, terutamanya ketika musim kemuncak durian dari Julai hingga Ogos.
Beberapa ahli politik Singapura seperti Ng Chee Meng dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), serta Pritam Singh dan Jamus Lim dari Parti Pekerja (WP), dilihat mengetuai konvoi penduduk menyeberang tambak ke Johor Bahru dan Melaka untuk menikmati raja segala buah itu.
Lawatan durian itu mendapat permintaan tinggi sehingga semua slot habis dijual — kecuali satu: lawatan akan datang oleh Ahli Parlimen Paya Lebar, Sylvia Lim, pada 2 Ogos ini (lawatan keduanya tahun ini disebabkan sambutan luar biasa). Berikut adalah tujuh lawatan durian ke Malaysia yang diketuai Ahli Parlimen Singapura untuk bulan Julai dan Ogos.
Lawatan durian sehari ke JB AP Jalan Kayu Ng Chee Meng
Harga: $110 seorang kanak-kanak/dewasa
Lawatan burmula seawal pukul 5.30 pagi, membawa penduduk dari kelab masyarakat Fernvale ke Johor Bahru. Selepas sarapan pagi, peserta menikmati bufet durian Mao Shan Wang tanpa had, lengkap dengan juadah tempatan seperti bihun, satay dan kari ayam.
Rombongan kemudian singgah untuk membeli-belah di beberapa lokasi popular seperti Toppen, IKEA dan Aeon, sebelum menamatkan hari dengan makan malam lapan hidangan di sebuah restoran Cina. Walaupun lawatan itu terbuka kepada semua warga Singapura, keutamaan diberikan kepada penduduk kawasan Jalan Kayu SMC.
Lawatan durian sehari ke JB bersama AP Eunos Pritam Singh
Harga: $95/dewasa ; $88/kanak-kanak
Tahun lalu, Encik Pritam tidak dapat menyertai lawatan tersebut kerana menghadiri persidangan daya bingkas iklim di Kuala Lumpur namun tradisi tahunan itu kembali pada 5 Julai 2025.
Lawatan itu merangkumi makan tengah hari bufet durian tanpa had (jenis durian tidak dinyatakan), bersama hidangan kegemaran ramai seperti nasi briyani dan satay. Lawatan itu turut diselitkan dengan persinggahan agak unik ke sebuah kedai beras perang, selain aktiviti mesra keluarga seperti membeli-belah di pusat beli-belah, dan makan malam di restoran Cina sebagai penutup hari.
Lawatan durian sehari ke JB Jamus Lim, Anchorvale AP
Harga: $110/dewasa; $95/kanak-kanak
Ini merupakan kali pertama AP WP Jamus Lim bakal menerajui lawatan seharian durian ke Yong Peng pada 26 Julai bagi penduduk kawasan Anchorvale (sebahagian GRC Sengkang). Meskipun harganya lebih mahal, programnya hampir sama dengan lawatan Encik Pritam, kecuali perbezaan bufet durian yang akan menampilkan beraneka Musang King (Mao Shan Wang) premium.
Perbezaan lain termasuk lawatan ke sebuah kedai manisan dan juga waktu rehat untuk minum petang. Tiket bagi lawatan ini sudah habis ditempah.
Lawatan durian 2 hari ke Melaka bersama AP Jurong Central Xie Yao Quan
Harga: dari $250/dewasa
Selepas memenangi kerusi tunggal di SMC Jurong Central, Encik Xie Yao Quan menyemarakan lagi semangat jalinan komuniti menerusi percutian 2 hari 1 malam ke Melaka. Berlangsung dari 12 hingga 13 Julai, lawatan ini menawarkan lebih daripada sekadar durian dan membeli-belah.
Ia boleh dikatakan sebuah percutian mini. Penduduk boleh menantikan lawatan bandar, pelayaran sungai, lawatan ke Muzium Baba, Gereja St Paul dan kuil-kuil bersejarah, serta menikmati hidangan di restoran tempatan Melaka. Hari kedua bermula dengan sarapan pagi di hotel di Melaka, sebelum perjalanan diteruskan ke Johor dengan "jamuan durian MS King berserta makanan ringan" di Tangkak, membeli-belah di JB, dan makan malam di restoran tempatan.
Kos penyertaan adalah $300 untuk bilik tunggal, dan $250 seorang untuk perkongsian bilik dua atau tiga orang. Disebabkan permintaan tinggi, empat buah bas penuh sudah ditempah dengan penduduk sudah pun mengesahkan penyertaan mereka.
Lawatan durian sehari ke JB Sylvia Lim AP Paya Lebar
Harga: $105/dewasa ; $75/kanak-kanak
Ahli Parlimen WP, Sylvia Lim, turut mengambil bahagian dalam aktiviti merentas sempadan bersama penduduk Paya Lebar (GRC Aljunied) dalam lawatan durian istimewa. Berlangsung pada 12 Julai, program lawatan itu hampir sama dengan lawatan yang diketuai Pritam Singh — termasuk makan tengah hari bufet durian (dengan varieti premium Musang King dinyatakan), persinggahan membeli-belah, dan makan malam di restoran Cina.
Walaupun tiket lawatan sehari pada Julai itu sudah pun habis dijual, satu lagi lawatan dijadualkan pada 2 Ogos 2025 — dan pendaftaran kini dibuka. Menariknya, lawatan kali ini terbuka kepada semua, bukan hanya untuk penduduk Paya Lebar.
Lawatan durian 2 hari ke Melaka bersama AP Yuhua, Grace Fu
Harga: bermula daripada $248/dewasa
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu, akan turut serta dalam percutian 2 hari 1 malam bersama penduduk Yuhua (GRC Jurong East–Bukit Batok) dari 26 hingga 27 Julai sebagai Ahli Parlimen kawasan undi mereka.
Walaupun tarikan utama termasuk lawatan bandar, pelayaran sungai dan jamuan durian Musang King, mirip program Encik Xie , butiran lain bagi lawatan ini masih belum jelas. Harga tiket ialah $298 untuk bilik tunggal, dan $248 seorang bagi bilik berkongsi dua atau tiga orang. Semua tiket juga sudah habis dijual.
Lawatan sehari durian ke JB bersama Gerald Giam, AP Bedok Reservoir–Punggol
Harga: $95/dewasa; $88/kanak-kanak
Jenis durian dalam bufet tidak dinyatakan, namun peserta boleh menikmati Mao Shan Wang tanpa had dengan bayaran tambahan $10 seorang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.