Perlu kembali ke tempat kerja? Ini 12 gaya ideal untuk wanita ke pejabat...

Gambar hiasan. (Gambar: Pexel/Unsplash/Pinterest)
SINGAPURA: Mulai Januari 2022 ini sehingga 50 peratus pekerja yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk bertugas di pejabat. Jika anda salah seorang daripadanya, inilah masanya untuk kemas kini pakaian yang ada di dalam almari tu!
Tanpa disedari mungkin terdapat kemeja, dress, skirt atau seluar yang tidak muat lagi atau sudah bertukar warna. Untuk membuat persediaan sebelum masuk ke pejabat, apa kata anda peruntukan sedikit pendapatan untuk membeli pakaian yang baru.
Tidak perlu belanja berhabis-habisan atau membeli label berjenama untuk menggantikan pakaian lama. Cukuplah dengan jenama sederhana yang mampu dimiliki. Beli apa yang perlu, yang penting menepati kewangan yang sudah diperuntukan, versatil untuk digayakan pada bila-bila masa termasuk untuk ke pejabat!
Tidak kira apa pun jawatan, pastikan anda mempunyai penampilan yang sempurna bila ke pejabat. Imej dan penampilan memainkan peranan yang penting. Biarpun ada kalanya kelihatan selekeh sedikit tetapi jika bijak membuat padanan, anda pasti akan tampil hebat seperti ‘golongan celik fesyen’!
Apa juga pilihan pakaian, anda tidak perlu bergaya terlalu ‘over’ sehingga menarik perhatian lain. Dengan adanya sedikit sentuhan stail pasti ia akan membuat mood harian anda lebih ceria dan positif sepanjang bertugas.
Maka, sebelum anda masuk pejabat, berikut kami kongsikan tip penggayaan asas dan mudah.
SUT YANG SEMPURNA
Inilah antara pakaian yang wajib dimiliki jika anda bertugas di pejabat. Penting untuk memilih sut yang menepati potongan atau ukuran bentuk tubuh agar ia kelihatan terletak dan cantik.
Rona tanah, hitam, kelabu, beige atau krim merupakan antara yang mudah digayakan. Tapi, kalau berani tak salah juga untuk padankan seluar warna beige dengan sut merah atau hijau terang!
DRESS HITAM
Inilah rona yang digemari ramai kerana ia mudah dipadankan dengan apa saja.
Dress hitam merupakan gaya kasual dan juga formal bila dipadankan dengan sut atau kardigan. Sesuai dipakai untuk ke persidangan atau majlis makan malam.
Olahkan gaya dengan aksesori dan tumit tinggi, ia pasti dapat mengubah stail keseluruhan, membuat anda tampil lebih menawan dan profesional.
GAYA BERHIJAB
Untuk gaya Muslimah pula, elakkan daripada memilih tudung yang mempunyai corak yang sarat seperti hiasan manik dan labuci berkilauan.
Sebaliknya cuba padankan tudung yang bermotif dengan blaus yang tidak bercorak. Padanan warna dan corak juga harus diutamakan agar warna tudung anda tidak bercanggah dengan motif atau rona blaus yang digayakan.
POTONGAN PAKAIAN
Elak dariada memakai pakaian yang ketat bila ke pejabat. Penampilan yang berkeyakinan dan berjaya terletak bukan pada corak, potongan atau label pakaian. Sebaliknya, ia datang dari keseimbangan yang tepat.
Penting untuk memilih pakaian di mana blaus atau kemeja saling melengkapi padanan seluar atau skirt agar tidak tampil keterlaluan dan dapat memberi keselesaan.
SELUAR
Jika menggayakan kemeja longgar, pastikan seluar yang dipadankan tidak gelobor. Elakkan juga daripada memadankan dengan seluar yang potongannya seperti sarung nangka.
Sebaliknya pilihlah potongan crop atau straight cut yang selesa.
Bagi yang gemar memakai seluar yang labuh pula, elak dari sampai menyapu lantai. Pastikan untuk sarungkan tumit tinggi yang bertutup.
SKIRT DAN BLAUS
Feminin, manis dan sopan bila berlengan panjang dengan skirt labuh. Tidak hanya terhad kepada muslimah, wanita yang tidak berhijab turut boleh menggayakan trend pakaian ini.
Ia pasti dapat memberi keselesaan kerana anda akan berada di pejabat berhawa dingin selama lapan hingga sembilan jam sehari. Jadi tidak perlulah hendak sarungkan baju panas jika rasa sejuk!
MOTIF CORAK
Jangan takut untuk bergaya dengan blaus atau seluar bercorak untuk ke pejabat. Ia sedikit sebanyak dapat menceriakan gaya anda daripada kelihatan polos.
Jika sebelum ini anda jenis yang selalu ingin berada dalam ‘zon’ selamat, kini cuba sesuatu yang berbeza dengan gaya blaus atau seluar berbunga, corak petak, jalur dan sebagainya. Tapi, janganlah sampai corak dan warnanya keterlaluan sampai bercanggah seperti badut.
BLAUS PUTIH SERBA BOLEH
Seperti warna hitam, baju yang berona putih juga sangat versatil. Ia mudah digandingkan dengan apa saja. Tidak kiralah sama ada anda berseluar jalur, denim, corak kotak dan sebagainya, blaus putih dapat melengkapkan gaya keseluruhan. Tapi anda haruslah menjaga blaus putih dengan baik dan patuh cara mencucinya agar warnanya tidak bertukar menjadi kuning kekuningan.
GAYA HARI JUMAAT
Selalunya majikan akan memberi kelonggaran untuk kod pakaian ke pejabat pada hari Jumaat. Tapi ia tidak bermakna anda ambil lewa atau bergaya asal boleh dengan seluar jeans yang koyak atau tampil rugged.
Jika ingin bergaya dengan jeans, pastikan potongan dan coraknya sesuai dan padankan dengan blaus atau kemeja. Elak daripada bergaya dengan T-shirt yang lusuh.
TATARIAS RINGKAS
Walaupun wajib menggunakan pelitup, ia tidak bermakna anda ke pejabat tanpa tatarias asas seperti berbedak dan lipstik di bibir.
Cuba bayangkan bila anda tanggalkan pelitup untuk makan tengahari bersama rakan sekerja. Wajah akan kelihatan pucat dan lesu tanpa bedak dan olesan lipstik. Luangkan lima minit untuk berdandan sebelum ke pejabat.
KASUT DAN BEG
Ramai yang akan memilih warna hitam kerana menganggapnya sebagai warna yang selamat. Namun bagi yang ingin tampil bergaya ia tidak terhad kepada rona kasut atau beg yang gelap dan formal saja.
Apa kata pada tahun baru ini anda tukar citarasa untuk memiliki kasut pump berwarna terang atau kasut jenis loafers.
Untuk beg pula cuba gayakan beg selimpang atau beg yang bercorak warna terang.
AKSESORI
Padankan dress atau blaus yang ringkas dengan aksesori ‘statement’. Contohnya, gelang, rantai atau anting-anting berwarna-warni.
Tanpa anda sedari aksesori ini dapat serlahkan gaya keseluruhan, membuat anda tampil lebih menarik. Tapi, elakkan dari serabutkan aksesori dengan gaya pakaian yang bercorak.
Sebaliknya aksesori ‘statement’ lebih cantik bila digayakan dengan pakaian yang tidak bercorak. Barulah ada kontras.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.