Skip to main content

Gaya Hidup

Perkampungan Adat Melayu Seri Banian tawar suasana zaman silam

 Perkampungan Adat Melayu Seri Banian yang diasaskan seorang guru silat di sini menawarkan suasana kehidupan Melayu lama kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berada pada zaman dahulu kala sekali gus dapat mengetahui budaya Melayu lama.

Anggaran Waktu Membaca:
Perkampungan Adat Melayu Seri Banian tawar suasana zaman silam

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Oct 2020 09:10PM Dikemas Kini : 18 Oct 2020 09:17PM

PENDANG: Perkampungan Adat Melayu Seri Banian yang diasaskan seorang guru silat di sini menawarkan suasana kehidupan Melayu lama kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berada pada zaman dahulu kala sekali gus dapat mengetahui budaya Melayu lama.

Pengasasnya Encik Dil Akbar Jaafar, 40 tahun, berkata projek membina perkampungan di Kampung Bendang Bukit itu berkonsepkan Adat Melayu Nusantara yang terdiri daripada rumah serta adat dan budaya suku kaum Melayu terdahulu seperti Aceh, Banjar, Bugis, Jawa dan Minangkabau selain budaya orang Malaysia.

“Kampung Adat Melayu Seri Banian ini dibuat sudah setahun. Tercetusnya idea untuk membuka kampung ini sejak lima tahun dulu sebab saya sendiri sebagai guru silat pernah terlibat dalam program dan acara persilatan di beberapa negara termasuk Indonesia dan Singapura,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di perkampungan itu mendapati terdapat beberapa rumah Melayu lama yang memiliki identiti dan reka bentuk tersendiri yang menarik dan perbezaan reka bentuk itu berdasarkan struktur bumbung pada rumah tersebut.

Suasana di situ sememangnya terasa seperti pada zaman Melayu silam termasuk terdapat balairung seri yang dibina dengan reka bentuk Melayu Nusantara selain makanan tradisional juga disediakan kepada pengunjung dengan harga berpatutan sekiranya mereka berkeinginan menikmati makanan tersebut.

Encik Dil Akbar berkata tujuan utama perkampungan itu dibina adalah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Melayu Nusantara pada zaman silam apabila dapat mengumpulkan semua warisan Melayu itu di satu tempat bagi tatapan generasi muda kini.

Beliau berkata ‘Seri Banian’ merujuk kepada kampung yang berseri iaitu perkataan ‘Ban’ bermaksud kampung dalam Bahasa Siam manakala ‘Nian’ membawa makna sunyi dan dingin yang jika digabungkan ‘Seri Banian’ menjadikan ia penyeri kampung sunyi itu.

“Saya ada perancangan untuk buat konsep inap desa di rumah-rumah Melayu lama ini yang kini dalam proses menambah baik kemudahan asas seperti hendak pasang lampu tanpa elektrik seperti zaman dahulu pada rumah ini supaya pengunjung benar-benar merasai pengalaman berada pada zaman itu,” katanya.

Encik Dil Akbar berkata pada masa ini, kampung itu dibuka setiap hari kepada pengunjung seawal 10.00 pagi hingga 7.00 malam dengan dewasa dikenakan bayaran RM3 (S$1) manakala RM1 (S$0.30) bagi kanak-kanak. Sekiranya ingin menunggang kuda ataupun bergambar bersama kuda dikenakan caj RM5 (S$1.60).

“Pada setiap hari Jumaat dan Sabtu akan ada makanan Melayu Nusantara yang istimewa untuk pengunjung seperti sate Anta Berahi dan sate Meranging dan menu ini akan berubah dari semasa ke semasa untuk memberikan kelainan kepada pengunjung,” katanya.

Pada hari Jumaat dan Sabtu pengunjung boleh menikmati hidangan makanan sambil menonton persembahan silat serta muzik dan nyanyian tradisional Melayu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita