Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'A Perfect Planet' bawa penonton teroka kuasa semula jadi bentuk kehidupan dunia

"Dunia kita sudah diracuni, sehingga ke ambang malapetaka besar. Kita boleh mengelakkannya. Namun untuk melakukan demikian, kita perlu faham apa bencana itu dan bagaimana ia berlaku."

Anggaran Waktu Membaca:
'A Perfect Planet' bawa penonton teroka kuasa semula jadi bentuk kehidupan dunia

(Petikan skrin hak cipta: Moonraker Films/Silverback Films/NASA)

SINGAPURA: "Dunia kita sudah diracuni, sehingga ke ambang malapetaka besar. Kita boleh mengelakkannya. Namun untuk melakukan demikian, kita perlu faham apa bencana itu dan bagaimana ia berlaku."

Demikian ujar Sir David Attenborough dalam satu temu bual baru-baru ini bagi mempromosikan siri dokumentari terbaru terbitan BBC, A Perfect Planet (Sebuah Planet Sempurna).

Nama Attenborough tersohor dalam dunia penyiaran Britain dan cukup sinonim dengan rancangan-rancangan dokumentari. Suaranya yang ikonik menawan hati dan imaginasi penonton dari seluruh pelosok dunia untuk mengikut beliau meneroka alam semula jadi.

Kini, siri terbaru A Perfect Planet yang disampaikannya juga tiada tolok bandingnya.

Menerusi siri lima episod sepanjang sejam setiap satu, Attenborough membawa penonton meneroka enam benua untuk meninjau-ninjau dengan lebih dekat bagaimana kuasa-kuasa semula jadi memainkan peranan dalam melahirkan kehidupan di muka Bumi ini.

PENGGAMBARAN LEBIH 1,000 HARI

Meskipun hanya sepanjang enam episod, penggambaran A Perfect Planet sebenarnya memakan masa 1,113 hari sepanjang empat tahun.

"Dari Monsun India ke gunung-gunung berapi Hawaii, kepulauan pasang surut Bahamas hingga ke kedahsyatan musim sejuk Arctic, A Perfect Planet akan membawa penonton mengikuti pengembaraan visual yang merubah cara kita melihat Bumi yang kita diami ini," menurut kenyataan media oleh pihak penerbit.

Pengembaraan penonton akan terbahagi kepada lima episod bertema dengan setiap satu menumpukan perhatian kepada fenomena alam yang memainkan peranan yang berbeza dalam membolehkan kehidupan mekar di muka Bumi:

  • Gunung Berapi: Sering dianggap sebagai membawa bencana, magma dari kerak bumi membentuk tanah dan abu yang kaya dengan mineral yang mengayakan kandungan tanah.
  • Matahari: Fahami bagaimana haiwan mempunyai strategi tersendiri untuk terus bertakat dalam keadaan sinar mentari yang berdasarkan lokasi yang berbeza-beza di planet ini.
  • Cuaca: Cuaca mengawal pengaliran air tawar di seluruh planet, lantas membentuk corak kehidupan haiwan dan kerencaman spesies serta habitat.
  • Lautan: Hakikatnya, Bumi tidak mempunyai lima lautan berbeza, tetapi satu badan air yang saling terhubung dengan kuasa hebat yang sentiasa menggerakkannya.
  • Manusia: Episod penutup tirai ini meneliti dan mengajak penonton bermuhasabah tentang kesan dramatik ke atas alam sekitar yang dibawa oleh 'kuasa' global baru - tamadun manusia.

Para penonton juga boleh mengintai kerja-kerja di balik tabir penerbitan siri ini dalam satu episod khas berjudul "Making Of".

Jurukamera Rolf Steinmann di pinggir kawah Yasur, gunung berapi aktif di Vanuata bagi penggambaran. (Hakcipta gambar: Huw Cordey/Silverback Films 2019)

Jurukamera Rolf Steinmann di pinggir kawah Yasur, gunung berapi aktif di Vanuata bagi penggambaran. (Hakcipta gambar: Huw Cordey/Silverback Films 2019)

LEBIH PENTING DI TENGAH PANDEMIK

Dengan penguatkuasaan langkah-langkah sekatan sempadan bagi membendung pandemik COVID-19, siri A Perfect Planet ini sedikit sebanyak boleh mengubati rindu hati mereka yang suka mengembara ke luar negara.

Apakan tidak, penerbitannya melibatkan lebih 200 kru itu menjelajah 31 negara demi menyajikan babak-babak yang menarik buat penonton.

Lebih penting lagi, Attenborough juga berpandangan bahawa pandemik global yang melanda dunia sekarang telah membuat ramai orang lebih peka dan sedar tentang alam sekitar di sekeliling mereka.

Lantaran itu, memang tepat pada masanya untuk siri seperti A Perfect Planet menyampaikan mesej penting tentang alam sekitar.

"Apa yang menakjubkan tentang (pandemik) ini adalah ia membuat ramai daripada kita secara tiba-tiba sedar tentang dunia alam semula jadi dari sudut yang tidak pernah kita sedari. Dalam kesibukan hidup mengejar wang, terlari ke sana ke mari, kini ramai daripada kita yang terkurung di rumah," kata beliau.

"Kita kini sedar kebergantungan kita dari segi emosi dan intelektual kepada dunia semula jadi sepertimana kita tidak pernah sedari sebelum ini."

A Perfect Planet boleh anda saksikan setiap Ahad, 9.30 malam bermula 6 Jun di meWATCH dan Saluran 5. 

Jangan terlepas siri laporan khas BERITA Jelajah - Cinta Bumi.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan