Pereka SG Faezah Shaharuddin ketengahkan budaya Melayu ke persada dunia menerusi perabot
Sebut sahaja Onde, Agar dan Biskut, kebanyakan rakyat Singapura mungkin terbayangkan kuih-muih dan biskut Melayu yang tidak asing lagi, bukannya perabot kontemporari.
Faezah Shaharuddin membesar dengan menyaksikan para petukang bekerja di bengkel-bengkel perabot di seluruh Asia Tenggara – pengalaman yang menurutnya membentuk “dunia visual” beliau. (Gambar: Rachel Loh)
- Faezah Shaharuddin, pengasas Studio Kallang dan peneraju Gamar, menghasilkan koleksi perabot diinspirasikan budaya Melayu dan Asia Tenggara.
- Beliau memilih nama koleksi seperti Onde, Agar dan Biskut untuk menonjolkan identiti budaya dalam reka bentuk kontemporari.
- Studio Kallang dan Gamar bekerjasama dengan petukang di Indonesia, menggunakan bahan tradisional seperti kayu jati untuk menghasilkan perabot.
- Faezah berharap karyanya bukan sahaja dijual, tetapi juga memberi makna dan mengangkat warisan budaya ke peringkat antarabangsa.
Pemilihan nama-nama tersebut dibuat dengan sengaja. Selama berdekad-dekad, dunia koleksi perabot sebahagian besarnya dibentuk oleh tradisi reka bentuk Eropah dan, sejak kebelakangan ini, gaya minimalis Jepun. Ketukangan Itali, tradisi seni hiasan Perancis dan gaya moden Scandinavia memainkan peranan dalam membentuk apa yang dianggap ramai pengumpul sebagai reka bentuk kontemporari halus (sophisticated). Namun, Cik Faezah memilih bahasa reka bentuk yang berbeza, dengan mengambil inspirasi daripada warna, kenangan dan unsur kehidupan seharian yang berakar pada warisannya sendiri.
"Saya mahu menggunakan perkara-perkara yang benar-benar mencerminkan pengalaman dan budaya saya, dan memastikan ia dihargai pada tahap yang sama," kata beliau.
Idea itu membawa Cik Faezah ke persada antarabangsa dalam tempoh lima tahun sejak menubuhkan Studio Kallang di Singapura. Namun, beliau menegaskan bahawa perabot hanyalah wadah untuk menyampaikan sesuatu yang lebih besar.
"Studio Kallang pada dasarnya merupakan usaha saya menggunakan perabot dan objek untuk mengekspresikan memori budaya."
BELAJAR UNTUK “MELIHAT”
Mendengar Cik Faezah menerangkan tentang Studio Kallang memberikan gambaran bahawa cara pemikirannya lebih menyerupai seorang seniman berbanding pereka perabot konvensional. Daripada menganggap kerusi, meja dan cermin sebagai hasil akhir semata-mata, beliau menganggapnya sebagai wadah untuk meneroka identiti dan budaya. Namun, hasil karyanya bukan untuk dipamerkan di dinding-dinding galeri, sebaliknya untuk ditempatkan dalam kediaman yang menjadi ruang kehidupan seharian.
Perspektif itu boleh dijejak kembali kepada tahun-tahun awal yang membentuk dirinya, ketika beliau banyak meluangkan masa di tempat penyimpanan kayu dan bengkel perabot di seluruh Asia Tenggara. Cik Faezah menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya mengembara di rantau tersebut bersama ibunya, Sharifah Maznah, yang mengasaskan perniagaan perabot vintaj Second Charm pada 2001.
"Beliau merupakan seorang wanita yang sangat hebat," kata Cik Faezah sambil ketawa.
Dengan mengenakan baju kurung, ibunya akan berunding dengan tegas bersama para pembekal, pemilik kilang dan petukang dalam industri yang sebahagian besarnya didominasi oleh golongan lelaki.
"Keadaannya sangat tidak menentu," kenangnya. "Tetapi saya memperingatinya sebagai pengalaman yang sangat kaya dari segi visual."
Jika gudang dan bengkel mendedahkannya kepada dunia warna dan bahan yang luas, pandangan hidupnya pula terbentuk di rumah. Ibunya pernah mengikuti pengajian PhD dalam Pengajian Asia Tenggara di London sebelum menubuhkan Second Charm, manakala bapanya mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Bersama-sama, mereka mewujudkan suasana keluarga yang menjadikan perbualan tentang sejarah, kesusasteraan dan budaya sama lumrahnya dengan perbincangan mengenai ketukangan serta kepentingan kayu jati dalam seni bina Asia Tenggara.
Apabila perniagaan perabot vintaj keluarga tersebut beralih kepada penghasilan koleksi mereka sendiri bersama para petukang di Indonesia, Cik Faezah semakin mendalami budaya produk Asia Tenggara. Kayu jati, rotan dan kayu padu bukan sekadar bahan untuk menghasilkan perabot, tetapi sebahagian daripada tradisi pertukangan dan cara hidup yang berkembang di rantau ini sejak berabad-abad lamanya.
Mengenang kembali, beliau menyedari tahun-tahun tersebut bukan sekadar membentuk penghargaannya terhadap perabot.
"Ia membentuk dunia visual saya," jelas beliau.
PERABOT SEBAGAI BAHASA
Walaupun membesar dalam perniagaan perabot, Cik Faezah pada awalnya tidak bercadang untuk menjadi pereka perabot. Sebaliknya, beliau mempelajari komunikasi visual di Universiti Washington di Seattle.
"Ramai orang menyangka saya belajar reka bentuk produk," kata beliau. "Tetapi sebenarnya saya belajar reka bentuk grafik."
Hanya selepas kembali ke Singapura semasa pandemik, beliau mula melihat bengkel dan bahan-bahan yang mengelilinginya sejak kecil daripada perspektif baharu.
Bengkel-bengkel yang pernah diterokainya ketika kecil, para petukang yang pernah diperhatikannya bekerja dan objek yang dahulunya dianggap biasa, tiba-tiba dilihat sebagai suatu bahasa visual yang kaya, yang dirasakan Cik Faezah jarang diberi tempat dalam reka bentuk kontemporari.
"Perabot, sebagai suatu produk, kebetulan menjadi medium saya."
Second Charm kemudiannya menjadi Gamar, perniagaan perabot komersial milik keluarganya. Di bilik pamerannya di Kallang Avenue, para pemilik rumah boleh menyesuaikan rekaan perabot bersama pasukan tersebut, dengan kira-kira 40 petukang di Indonesia menghasilkan perabot tersebut menggunakan tangan.
“Gamar adalah bahagian yang lebih praktikal,” kata beliau.
Namun, kedua-dua perniagaan itu kekal berkait rapat. Banyak koleksi Studio Kallang terus dihasilkan oleh para petukang di Indonesia yang sudah bekerjasama dengan Gamar selama berdekad-dekad. Ini membolehkan Cik Faezah bereksperimen dengan bentuk dan bahan baharu sambil memanfaatkan kepakaran pertukangan kayu yang sudah lama dibina.
Falsafah itu mungkin paling jelas dilihat menerusi koleksi-koleksinya. Daripada menggunakan nama Itali atau Perancis yang sering dikaitkan dengan rekaan kontemporari mewah, Cik Faezah memilih Onde, Agar dan Biskut, yang diinspirasikan daripada cita rasa dan kenangan zaman kanak-kanaknya.
Setiap koleksi menterjemahkan unsur-unsur yang dekat dengan hatinya itu ke dalam bahasa visual yang tersendiri. Siri Onde, misalnya, menampilkan bebola kayu bersaiz besar yang diinspirasikan daripada kuih bersalut kelapa itu, yang paling jelas dilihat pada cermin Onde. Koleksi Agar yang lut cahaya pula menggabungkan resin berwarna, kayu dan keluli tahan karat bagi membangkitkan gambaran lapisan pencuci mulut tersebut yang berkilauan, manakala Biskut memberi nafas baharu kepada biskut biasa menerusi bentuk arca yang lembut dan membulat.
“Saya rasa ada sedikit kecenderungan untuk mencabar acuan Barat dalam diri saya,” kata beliau sambil ketawa.
Bagi Cik Faezah, tujuannya bukan untuk menolak tradisi reka bentuk Eropah, tetapi untuk mempersoalkan mengapa tradisi tersebut sering dianggap sebagai penanda aras bagi rekaan kontemporari mewah, sedangkan Asia Tenggara kaya dengan budaya visualnya tersendiri.
Kehidupannya di New York mengukuhkan keyakinan tersebut. Di sebuah bandar yang menyaksikan pertemuan pelbagai budaya, Cik Faezah berkata lebih mudah baginya untuk melihat budaya visual Melayu bukan sebagai sesuatu yang khusus untuk kelompok tertentu, tetapi sebagai salah satu daripada pelbagai tradisi reka bentuk. Daripada mengurangkan unsur-unsur budayanya untuk disesuaikan dengan khalayak antarabangsa, kehidupan di bandar tersebut mendorongnya untuk lebih menonjolkan unsur tersebut.
Namun, persoalan sebenarnya ialah sama ada dunia reka bentuk antarabangsa juga dapat menerima pendekatan visual tersebut.
MELANGKAUI PERABOT
Namun, beliau tidak mahu mengembangkan perniagaannya semata-mata kerana peluang tersedia. Sebaliknya, beliau lebih gemar membiarkan setiap koleksi berkembang mengikut rentaknya sendiri, dengan keyakinan bahawa karya yang bermakna akan menemui pengikutnya seiring dengan waktu.
“Kami hanya bekerja keras dan menerima apa sahaja yang datang,” kata beliau.
Pendekatan yang tidak tergesa-gesa itu turut mencerminkan hubungan antara kedua-dua perniagaan tersebut. Gamar memanfaatkan pengetahuan pengilangan selama berdekad-dekad, kepakaran mengenai bahan serta hubungan yang sudah lama terjalin dengan para petukang di Indonesia. Studio Kallang pula dibina berlandaskan asas yang sama, namun meneroka persoalan yang berbeza dengan mengubah pengetahuan yang diwarisi kepada objek-objek yang meneroka memori, identiti dan rasa kekitaan.
Walaupun mempunyai tujuan yang berbeza, kedua-dua perniagaan tersebut terus menggunakan kayu keras tropika yang sudah sebati dengan kehidupan Cik Faezah sejak kecil. Kayu jati kekal menjadi bahan utama dan dihargai sejak turun-temurun di seluruh Asia Tenggara disebabkan oleh kekuatan, ketahanan dan sifat semula jadinya. Ia berakar umbi dalam tradisi perabot rantau ini serta pengetahuan pertukangan mereka yang mengusahakannya.
Ketika ditanya apa yang akhirnya diharapkan dapat dicapai menerusi kedua-dua perniagaan tersebut, Cik Faezah terdiam seketika sebelum menjawab.
“Pada akhirnya, kedua-duanya adalah perniagaan dan memang tujuannya untuk menjual barangan,” kata beliau. “Tetapi saya berharap ia juga dapat memberikan makna kepada orang ramai.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.