Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Perarakan Chingay 2021 akan diadakan secara maya

Perarakan Chingay pada tahun depan akan diadakan secara maya buat julung-julung kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Perarakan Chingay 2021 akan diadakan secara maya

Perarakan Chingay pada 2019. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 08:17PM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 08:20PM

SINGAPURA: Perarakan Chingay pada tahun depan akan diadakan secara maya buat julung-julung kali.

Edisi ke-49 perarakan itu yang bertema 'Light of Hope' atau 'Sinar Harapan' akan diadakan pada 20 Feb.

Perarakan itu akan disiarkan di televisyen, wadah media sosial dan melalui online mulai pukul 8.00 malam hingga 9.00 malam.

Dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA), Perarakan Chingay yang diadakan secara maya buat pertama kali di sini akan menampilkan lebih daripada 2,000 peserta dan 150 persatuan yang akan beraksi dalam program digital baru ini.

Salah satu daripada persembahan yang dapat dijangkakan adalah persembahan tarian 100 singa melibatkan kumpulan tarian tempatan dan luar negara dari lebih daripada 10 negara - termasuk sejauh San Francisco, Amerika Syarikat - yang turut akan menerapkan penggunaan CGI iaitu teknologi mencipta imej menggunakan komputer.

Teknologi itu akan turut digunakan untuk mencipta semula persembahan etnik tradisional semasa segmen kepelbagaian budaya untuk menampilkan perincian-perincian yang rumit yang tidak dapat diketengahkan semasa perarakan fizikal.

Chingay Digital 2021 juga mengalu-alukan penyertaan orang awam sebagai sebahagian daripada konsep ciptaan bersama yang menjayakan program itu bagi mempamerkan kepelbagaian bakat dalam masyarakat.

Anda boleh menghantar rakaman video anda sedang menyanyi, menari atau mempersembahkan bakat unik yang tersendiri. Selain itu, anda juga boleh menunjukkan daya cipta anda dengan mereka sendiri platform terapung atau kostum Chingay masing-masing menerusi program 'Let's Build A Float!' dan 'Sew (So) Stylo!', yang dijadual dilancarkan pada awal Disember.

Kiriman-kiriman terpilih akan dipamerkan dalam segmen Jalan Jalan with Chingay semasa pertunjukan selama sejam itu. Para peserta yang menyertai program itu turut berpeluang menerima hadiah!

Selain itu, cenderamata sempena Chingay 2021 akan dijual di kedai online Chingay Mama Shop mulai Januari tahun depan.

"Tema tahun ini menunjukkan bagaimana setiap orang dalam masyarakat mewakili kilauan cahaya yang membawa harapan dan kemesraan kepada satu sama lain.

"Ia mencerminkan kepercayaan utama kami bahawa jika kita bersatu sebagai satu masyarakat, kita akan tampil lebih teguh bersama," kata Ketua Pengarah Eksekutif PA Lim Hock Yu.

Untuk butiran lanjut mengenai Digital Chingay 2021, anda boleh lungsuri laman https://www.chingay.gov.sg/#.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan