Perantau Indonesia pulang beraya naik feri dari Melaka
Terminal Feri Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana di Melaka, menjadi antara tumpuan perantau yang mahu pulang ke Indonesia. (Gambar: Bernama)
Tinjauan Bernama mendapati pintu masuk laluan laut ke Dumai dan Bengkalis, Indonesia dari Melaka mula dipenuhi perantau Indonesia, pelancong luar negara serta warga Malaysia berketurunan dari negara seberang itu, sejak pukul 7.00 pagi malah ada yang tiba seawal 5.00 pagi untuk menaiki feri yang berlepas ke Dumai pada 10.00 pagi.
Kesibukan di terminal feri itu juga dapat dilihat apabila terdapat majikan yang menghantar pekerja mereka sama ada secara individu atau berkumpulan pulang untuk beraya.
Bagi Nor Hazlinda Mohd Wipah, 27 tahun, dia memilih beraya di kampung sebelah ibunya di Pekan Baru, memandangkan kali terakhir pulang adalah pada 2019 iaitu sebelum penularan pandemik COVID-19.
"Ini pengalaman kali pertama saya beraya di negara orang kerana menemani ibu yang sudah lama tidak pulang beraya di kampungnya di Indonesia dan itu sesuatu yang menyeronokkan walaupun terpaksa menempuh perjalanan lebih dua jam melalui laut dan lima hingga enam jam lagi bagi perjalanan darat," katanya yang menetap di Kuantan, Pahang.
Nor Hazlinda dan ibunya tiba di ICQS Melaka sekitar pukul 6.00 pagi dan terkejut dengan suasana di jeti tersebut yang dipenuhi perantau yang mahu pulang beraya.
"Saya agak selesa walaupun dijangka feri penuh hari ini kerana masing-masing pasti berebut tempat memandangkan kekerapan perjalanan feri agak terhad iaitu dua kali sehari sempena Hari Raya ini, pada pukul 10.00 pagi dan 2.00 petang," katanya.
Sementara itu, Ahmad Dariman Hariyanto, 35 tahun, pula, pulang beraya ke Bengkalis melalui pengangkutan laut sudah menjadi tradisinya sejak bekerja di Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu kerana lebih murah dan mudah.
"Setiap tahun terutamanya hari-hari terakhir Ramadan, memang feri akan penuh. Saya tempah tiket sejak dua minggu lepas dan mujur dapat kerana kapasiti feri sekitar 200 hingga 300 penumpang, bergantung kepada pengendali feri sama ada Kingdom atau Dinasty.
"Jadi kena datang awal kerana perlu melalui pemeriksaan kastam yang agak mengambil masa tetapi secara keseluruhannya, pengurusan dari kaunter hinggalah pelepasan, semuanya sangat lancar," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.