Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peranan penting tuan rumah saji juadah sihat semasa rumah terbuka Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Peranan penting tuan rumah saji juadah sihat semasa rumah terbuka Aidilfitri

(Gambar: Unsplash/Kecin McCutcheon)

Diterbitkan : 08 May 2022 07:33PM Dikemas Kini : 08 May 2022 07:38PM

KUALA LUMPUR: Kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara, teman atau menghadiri rumah terbuka pada Aidilfitri ini lazim dilakukan, dan pastinya akan dihidangkan dengan aneka juadah.

Justeru, dalam keterujaan menyambut raya, sama ada tuan rumah atau tetamu perlu merancang jenis juadah yang diambil dengan jumlah dan menu sihat bagi mengelak pelbagai masalah kesihatan, lapor BH Online.

Menurut Pakar Diet Hospital Columbia Asia Setapak, Siti Sarah Mohd Juzup, sebagai tuan rumah, perancangan menu perlu dilakukan dengan teliti supaya tetamu dapat menikmati hidangan juadah yang seimbang.

Sebagai tetamu pula, pemilihan makanan perlu diambil secara bijak dan teratur agar tidak melebihi keperluan diet seharian.

Ketika hari raya, perlu merancang berapa rumah terbuka yang ingin kunjungi dalam sehari. Dengan ini, kita dapat merancang berapa kalori yang terkumpul melalui hidangan di setiap rumah dikunjungi, tambah laporan BH Online itu lagi.

"Sekiranya berkunjung ke rumah terbuka pada waktu tengah hari, kita sepatutnya menikmati hidangan juadah mengikut kalori untuk makan tengah hari.

"Di rumah terbuka yang berikutnya, pastikan kuantiti makanan diambil kurang daripada rumah pertama dan begitulah seterusnya," katanya.

TUAN RUMAH PERLU PRIHATIN

Laporan BH Online menukil Cik Siti Sarah sebagai berkata, tuan rumah seharusnya menyediakan hidangan seimbang kepada tetamu, iaitu berasaskan lima kumpulan makanan iaitu karbohidrat, protein, sayur-sayuran, buah-buahan dan lemak.

Sediakan minuman rendah kalori seperti minuman air kosong. Pastikan air kosong sentiasa dihidangkan supaya tetamu boleh membuat pilihan.

Tuan rumah boleh juga mengasingkan susu dan gula untuk minuman seperti teh atau kopi.

Elakkan hidang minuman berkarbonat dan minuman manis.

TETAMU BIJAK BUAT PILIHAN MENU

Sebagai tetamu, pilihlah makanan rendah kalori seperti buah-buahan sebelum mengambil makanan yang lain.

Hadkan juga pengambilan makanan berlemak atau bersantan dan hanya ambil kuantiti sedikit sekiranya tiada pilihan seperti satu atau dua sudu makan.

Hadkan pengambilan makanan manis yang dihidangkan seperti dodol, wajik dan kek.

KUANTITI BERPADA-PADA

Kawal pengambilan makanan dengan menggunakan pinggan yang kecil. Cara ini mengelakkan pengambilan makanan yang banyak, menurut laporan BH Online itu.

Selain itu, makanan perlu diambil dengan kuantiti yang sedikit. Sebagai contoh untuk hidangan satu rumah, makan sebiji ketupat bersama seketul sahaja rendang ayam dan satu sudu makan kuah serta sayur.

"Bagi kuih raya pula, cukup sekadar satu atau dua biji kuih di setiap rumah dikunjungi. Pemilihan kuih raya perlu yang rendah kalori dan rendah gula.

"Elakkan pengambilan makanan secara berulang-ulang. Jangan lupa, makan secara perlahan supaya menikmati makanan yang diambil.

Perkara utama mesti diingat ketika ke rumah terbuka ialah elakkan kekenyangan terlampau supaya kalori diet seharian tidak lari daripada jumlah biasa," katanya.

Pemilihan jenis air minuman perlu dititikberatkan. Meminum air kosong boleh mengurangkan kalori seharian, selain elak minuman berkarbonat atau minuman manis.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan