Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peraduan menyanyi ini jadi penglipur lara, pengubat rindu pekerja Bangladesh pada keluarga, kampung halaman

Sejurus selepas terkurung selama lima bulan di sebuah dormitori di Kaki Bukit Road, rakyat Bangladesh Encik Hossain Md Kazi Mozummal dikenakan pula Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) pada 9 Sep.

Anggaran Waktu Membaca:
Peraduan menyanyi ini jadi penglipur lara, pengubat rindu pekerja Bangladesh pada keluarga, kampung halaman

(Dari kiri) Para pekerja asing Rocky Saha, Hossain Md Kazi Mozummal dan Pabitra Sutradhar menyertai peraduan menyanyi. (Gambar-gambar: Hossain Md Kazi Mozummal, Pabitra Sutradhar, Rocky Saha)

Diterbitkan : 21 Sep 2020 10:33PM Dikemas Kini : 21 Sep 2020 10:38PM

SINGAPURA: Sejurus selepas terkurung selama lima bulan di sebuah dormitori di Kaki Bukit Road, rakyat Bangladesh Encik Hossain Md Kazi Mozummal dikenakan pula Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) pada 9 Sep.

Seorang lagi penghuni dormitori The Leo, iaitu tempat tinggal Encik Kazi sebelum ini, dijangkiti virus COVID-19 dan lantaran itu beliau tidak boleh meninggalkan kediaman barunya. Encik Kazi dikenakan SHN dua minggu selepas beliau kembali bekerja.

“Sudah tentu saya tidak berasa senang hati. Empat hingga lima bulan lalu kita dikuarantin... Tiba-tiba ini pula berlaku, saya berasa seperti saya meringkuk dalam penjara,” kata teknisyen penyenggaraan berusia 31 tahun itu kepada Mediacorp pada Jumaat (18 Sep).

Meskipun berasa “bosan” pada awal tempoh kuarantin, kali ini beliau berpeluang memanfaatkan masa sepenuhnya ketika menjalani SHN di rumah – dengan berlatih untuk peraduan menyanyi yang diadakan secara online bagi para pekerja asing seperti Encik Kazi.

Peraduan bagi pekerja-pekerja asing dari Bangladesh itu dianjurkan oleh Encik Billal Khan, seorang penyelia tapak binaan yang menubuhkan kumpulan Facebook yang diberi nama “Overseas Foreign Workers Singapore” pada Julai.

Encik Billal, rakyat Bangladesh yang giat melakukan kerja-kerja sukarela di beberapa pertubuhan yang membantu pekerja asing seperti Transient Workers Count Too dan COVID-19 Migrant Support Coalition, ingin menyediakan maklumat kepada para pekerja mengenai perkembangan COVID-19 terkini dengan menterjemahkan berita ke bahasa Bengali.

Penganjur peraduan menyanyi, Encik Billal Khan, semasa menjalankan kegiatan sukarelanya. (Gambar: Billal Khan)

(Penganjur peraduan menyanyi, Encik Billal Khan, semasa menjalankan kegiatan sukarelanya. Gambar: Billal Khan)

Menerusi laman kumpulan Facebook tersebut, Encik Billal membangunkan rangkaian yang terdiri daripada 45 sukarelawan dari berbilang kerakyatan untuk mengagihkan barangan yang diderma seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada para pekerja yang tinggal di dormitori dan juga para pekerja pembantu rumah.

Encik Billal, 28 tahun, berkata bahawa beliau membuat keputusan untuk menganjurkan peraduan menyanyi itu setelah sesetengah daripada lebih 6,000 pengikut laman Facebook tersebut meminta untuk mengadakan kegiatan supaya mereka boleh menghiburkan diri di dormitori.

“Ramai yang mengirim pesanan di Facebook dan bertanya jika saya boleh melakukan sesuatu bagi mereka yang tinggal di dormitori. Mereka berkata mereka memerlukan kegiatan yang menyeronokkan dan menghiburkan dan meminta untuk mengadakan peraduan ini,” kata Encik Billal.

Lantaran itu Encik Billal meluangkan masa pada bulan lalu untuk berurusan dengan rangkaian kenalannya bagi memperoleh dana untuk peraduan online itu, dan cuba meyakinkan penyanyi-penyanyi profesional Bangladesh supaya menjadi pengadil.

Peraduan itu menerima sambutan di luar jangkaan Encik Billal dengan 184 pendaftaran sejak dibuka pada 14 September. Mereka tidak perlu membuat bayaran untuk menyertai peraduan itu.

Para peserta perlu menghantar rakaman video nyanyian mereka yang akan diadili “pengadil-pengadil misteri” dari Bangladesh yang akan menyenarai pendek 10 finalis.

Identiti para pengadil akan didedahkan apabila sampai ke peringkat 10 peserta terakhir yang akan distrimkan menerusi Facebook Live pada tarikh yang belum ditetapkan. Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai $500 dan juga terdapat hadiah-hadiah lain – kesemuanya sumbangan para penaja.

Encik Kazi berkata peraduan itu akan membantu untuk mengurangkan tekanan ke atas para pekerja yang sedang mengalami kesempitan wang dan prihatin terhadap keadaan orang-orang tersayang di kampung halaman masing-masing.

“Sesetengah daripada mereka ingin pulang ke rumah tetapi tidak boleh (berbuat demikian). Jadi semua orang berasa hampa. Peraduan ini adalah cara untuk mereka meluangkan masa melakukan perkara lain dan mengurangkan tekanan,” kata Encik Billal.

Encik Kazi, yang menyifatkan dirinya sebagai “penyanyi kamar mandi”, akan mendendangkan lagu daripada sebuah filem Bangladesh dari tahun 2000-an.

Lagu itu, yang menggambarkan kesayuan selepas pemergian orang tersayang, dipilih isterinya yang belum sempat bersua sejak Mac.

Seorang lagi pekerja, Encik Pabitra Sutradhar, pekerja binaan berusia 31 tahun, juga akan menyanyikan lagu tentang putus cinta.

Encik Pabitra, yang tinggal di domitori Westlite Mandai berkata bahawa beliau ingin menyanyikan lagu rakyat Bangladesh yang boleh dihayati para pekerja yang sama-sama terkurung di dormitori.

“Kebanyakan daripada mereka mempunyai pengalaman ini. Kita semua sedang bersedih. Kita semua tinggal bersendirian dan mereka rindu dengan isteri dan temanita masing-masing,” kata Encik Pabitra sambil menambah bahawa beliau juga merindui isterinya.

Isteri Encik Kazi dan Encik Pabitra masing-masing tinggal di Bangladesh.

Encik Pabitra berkata beliau meluangkan masa sejam dua dalam sehari untuk berlatih dan mendapatkan maklum balas daripada bapanya berusia 55 tahun, seorang penyanyi lagu rakyat di daerah Tangail di Bangladesh.

Tidak seperti dua peserta tersebut yang boleh berlatih di tempat kediaman mereka, seorang lagi rakyat Bangladesh, Encik Rocky Saha, terpaksa berlatih sambil bekerja.

“Saya tidak boleh bernyanyi dalam bilik kerana saya pemalu. Ada 14 orang di dalamnya. Saya hanya boleh bernyanyi ketika saya bekerja,” kata pekerja binaan berusia 32 tahun itu, yang juga tinggal di dormitori Westlite Mandai.

Encik Rocky, yang akan mendendangkan lagu patriotik Bangladesh, berkata bahawa beliau memilih lagu yang berupaya menambat hati para pendengar.

Namun Encik Rocky mengaku berasa gementar memandangkan ramai yang akan menonton persembahannya.

“Saya boleh bernyanyi asal boleh dengan senang hati ketika saya bersendirian, namun dalam peraduan itu, semua orang akan mendengar saya jadi saya perlu berhati-hati dan bernyanyi dengan baik,” katanya. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan