Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penyertaan Anugerah Persuratan 2020 dibuka

Penyertaan bagi Anugerah Persuratan 2020 kini dibuka kepada rakyat atau Penduduk Tetap Singapura bagi karya-karya asli berbahasa Melayu yang dibukukan dan diterbitkan pada tahun 2017, 2018 atau 2019, sama ada di Singapura atau di luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penyertaan bagi Anugerah Persuratan 2020 (AP2020) kini dibuka kepada rakyat atau Penduduk Tetap Singapura bagi karya-karya asli berbahasa Melayu yang dibukukan dan diterbitkan pada tahun 2017, 2018 atau 2019, sama ada di Singapura atau di luar negara.

Perubahan itu diumumkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), selaras dengan usahanya untuk mewujudkan budaya membaca yang lebih bertenaga dan memperluas, akses kepada bahan-bahan bacaan yang bermutu.

Anugerah yang diadakan secara dwitahunan itu juga adalah usaha berterusan MBMS untuk mengiktiraf para penulis watan yang bergiat dalam bidang persuratan Melayu.

Ia memberi pengiktirafan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu dan bernilai, meningkatkan dan memupuk perkembangan penulisan dalam kalangan penulis berbahasa Melayu, menggalak penerbitan karya yang bermutu serta memasyarakatkan bidang persuratan.

Tahun ini ia dikendalikan oleh Majlis Buku Singapura dan disokong Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Pengerusi MBMS, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata: “Anugerah Persuratan merupakan wadah penting untuk mengiktiraf penggiat karya penulisan tempatan bagi membantu membangunkan bidang bahasa, budaya dan sastera.

"Tiga unsur penting ini memainkan peranan sebagai pemersatuan, dan sebagai ramuan untuk membina kesedaran kolektif yang boleh mencorakkan hala tuju sesuatu bangsa.

"Bahasa, budaya dan sastera amat penting untuk mengukuhkan dan meningkatkan martabat sesuatu bangsa itu dalam komuniti bangsa-bangsa yang lain.”

4 JENIS HADIAH, ANUGERAH

Empat jenis hadiah dan anugerah bakal disampaikan pada majlis AP2020 yang akan berlangsung tahun depan.

Ia terdiri daripada Hadiah Persuratan, Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan.

Hadiah Persuratan tahun ini diperkemas kepada enam kategori, dengan kategori eceran digugurkan.

Enam kategori itu membawa hadiah S$3,500 setiap satu, merangkumi cerpen, esei sastera, novel, sajak, sastera kanak-kanak dan teater (untuk pentas).

MBMS juga membuka pencalonan bagi tiga anugerah khas, iaitu Anugerah Tun Seri Lanang, Anugerah Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan.

Anugerah Tun Seri Lanang mengiktiraf tokoh persuratan dan pejuang seni yang unggul pada mata masyarakat berbilang kaum dan budaya Singapura.

Anumerta Tun Seri Lanang pula diberikan bagi mengenang tokoh persuratan yang telah meninggal dunia. Semasa hayatnya beliau, menyumbang kepada usaha menyubur dan menyemarakkan bidang yang dihayati.

Anugerah Harapan diperuntukkan untuk penulis di bawah usia 40 tahun yang menampakkan potensi dalam bidang persuratan.

SAHUT CABARAN ANJURKAN AP2020

Pengerusi Jawatankuasa AP2020, yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim menyahut cabaran untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam masa-masa mencabar ini.

“AP2020, yang sudah teramanah kepada MBMS, bukan sahaja merupakan penganugerahan tertinggi untuk dunia persuratan kita, tetapi juga kebanggaan bersama demi mengikuti rentak perubahan, langsung meletakkan sastera kita di peta kesusasteraan Nusantara.”

Jawatankuasa AP2020 akan membentuk kumpulan panel penilai bagi menilai karya-karya sepanjang tahun penilaian dan sekumpulan lagi penilai untuk menentukan pemenang Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN

Para penulis dan penerbit yang berminat menghantar karya-karya mereka untuk dinilai harus mengisi borang penghantaran karya secara dalam talian selewat-lewatnya pada 12 November 2020, jam 6.00 petang. Semua penghantaran harus dibuat secara dalam talian.

Borang penyertaan bagi penghantaran online karya boleh didapati di laman ini.

Pencalonan untuk Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan juga harus dilakukan online selewat-lewatnya 12 November 2020, 6.00 petang.

Borang pencalonannya boleh didapati di laman ini

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa