Penyelidik UKM berjaya hasilkan ekstrak ulam raja bagi cegah demensia
(Gambar: NParks)
KUALA LUMPUR: Demensia merupakan satu keadaan kesihatan yang menjejaskan daya ingatan, berfikir serta kemampuan melakukan kegiatan harian, dan lazimnya dialami oleh mereka yang sudah lanjut usia.
Setakat ini juga demensia tidak mempunyai penawar.
Bagaimanapun, kajian sekumpulan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati demensia dapat dicegah dari awal dengan pengambilan ulam raja atau nama saintifiknya Cosmos caudatus.
“Kajian kami sebelum ini berkaitan jus buah tropika, menunjukkan kesan perlindungan terhadap demensia. Ini mendorong kami melihat pada kebaikan ulam-ulaman, dan kami dapati ulam raja adalah ulam terbaik kerana mengandungi kadar polifenol yang tinggi,” kata ketua penyelidik Profesor Dr Suzana Shahar kepada Bernama.
PERTAMA DI DUNIA
Jelas Dr Suzana yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, polifenol adalah agen pencegah kecelaruan fungsi kognitif (MCI) atau keadaan prademensia yang cukup berkesan kerana mampu meningkatkan tahap antioksidan dalam darah dan membina sel neuron yang baharu.
“Polifenol ini penting dari segi penjagaan kesihatan otak kerana pigmen dalam ulam raja ini mampu menembusi sistem peredaran darah dalam otak serta merangsang sel-sel di bahagian dorsolateral prefrontal cortex (bahagian otak yang dikaitkan dengan kawalan kognitif), sekali gus meningkatkan fungsi kognitif global,” jelasnya.
Menurutnya, polifenol sukar ditemukan dalam buah-buahan dan sayur-sayuran lain.
“Ada produk kesihatan lain yang memanfaatkan polifenol, namun biasanya untuk merawat penyakit kencing manis dan hipertensi. Kami adalah pasukan penyelidik pertama (di dunia) yang berjaya menghasilkan produk sebegini,” katanya.
Menurutnya, menerusi kajian yang bermula pada 2017 dan menggunakan geran Kementerian Pendidikan Tinggi, pasukannya menghasilkan ekstrak ulam raja dalam bentuk cecair yang kemudian diadun dengan quercetin dan quercitrin serta ekstrak buah-buahan beri bagi dijadikan produk makanan kesihatan tambahan.
“Kami berjaya pasarkan produk yang dinamakan MindLumina ini pada November 2023 menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat swasta, iaitu Aurora Health Sdn Bhd,” kata beliau.
UJIAN KLINIKAL DUA TAHUN
Mengulas lanjut, Dr Suzana berkata penghasilan MindLumina menempuhi proses yang ketat, termasuk ujian klinikal melibatkan sukarelawan selama dua tahun bermula 2018.
“Pada peringkat awal, pasukan penyelidik bekerjasama dengan Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia bagi menghasilkan serbuk ulam raja yang kemudiannya dipatenkan dan dilesenkan di bawah Aurora Health.
“Kemudian kami kumpulkan 48 orang warga emas berusia 60 ke atas di sekitar Lembah Klang bagi menjalani ujian klinikal ini. Kesemua mereka mengalami MCI namun berada dalam keadaan sihat dan tidak menghidapi sebarang penyakit serius seperti buah pinggang atau hati,” jelasnya.
Beliau berkata sukarelawan terbabit dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu yang mengambil ekstrak serbuk ulam raja dalam bentuk kapsul dan satu lagi mengambil plasebo (kapsul tanpa ekstrak ulam raja).
Menurut Dr Suzana, mereka yang mengambil kapsul ekstrak ulam raja mengalami peningkatan rangsangan fungsi otak berkaitan daya ingatan berbanding kumpulan yang mengambil plasebo.
JAGA PEMAKANAN
Dr Suzana bagaimanapun berkata wujud keperluan menjalankan kajian seumpama itu dengan melibatkan saiz sampel lebih besar serta tempoh kajian yang lebih lama bagi mengukuhkan dapatan penyelidikan.
Produk MindLumina yang menerima Anugerah Emas bagi kategori Perubatan dan Penjagaan Kesihatan pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2022 (PECIPTA 2022), boleh didapati di farmasi sekitar Lembah Klang serta sesuai untuk mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun beliau menasihati mereka yang mempunyai masalah kesihatan serius mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Pada masa sama, Dr Suzana mengesyorkan masyarakat mengamalkan pengambilan ulam-ulaman bagi mencegah demensia, selain mencontohi gaya hidup warga emas di Jepun yang banyak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran hijau serta aktif melakukan senaman fizikal dan mental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.