Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penyelidik uji cuba alat 'kunci rahang' untuk cegah kegemukan

Penyelidik di New Zealand mencipta sebuah alat yang boleh mengurangkan berat badan menggunakan magnet untuk mengunci rahang pesakit. Mereka menyifatkannya sebagai alat baru yang mampu mencegah kegemukan berlebihan meski para pengkritik menyamakannya dengan alat penyeksaan zaman pertengahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelidik uji cuba alat 'kunci rahang' untuk cegah kegemukan

(Gambar: University of Otago menerusi AFP)

Diterbitkan : 03 Jul 2021 11:07PM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 11:10PM

WELLINGTON: Penyelidik di New Zealand mencipta sebuah alat yang boleh mengurangkan berat badan menggunakan magnet untuk mengunci rahang pesakit. Mereka menyifatkannya sebagai alat baru yang mampu mencegah kegemukan berlebihan atau obesiti meski para pengkritik menyamakannya dengan alat penyeksaan zaman pertengahan.

Inovasi "pertama di dunia" itu membabitkan seorang doktor gigi memasang magnet dan selak berkunci pada geraham atas dan bawah pesakit, membolehkan rahang hanya terbuka seluas 2 milimeter.

Ketua penyelidik Paul Brunton, dari sekolah sains kesihatan Universiti Otago, berkata ini akan membataskan pengguna kepada pemakanan cair tanpa mengehadkan pernafasan atau pertuturan.

"Ia adalah alternatif yang tidak menganggu, boleh diterbalikkan, murah dan menarik berbanding prosedur pembedahan," katanya.

"Hakikatnya adalah, peranti ini tidak membawa sebarang kesan buruk."

Penyelidik menambah mereka telah "membangunkan alat mengurangkan berat badan pertama di dunia yang akan membantu memerangi wabak obesiti global".

Dalam kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal British Dental bulan ini, mereka berkata tujuh wanita masing-masing hilang berat badan secara purata 6.36 kilogram selama tempoh percubaan dua minggu menggunakan alat tersebut, yang dipanggil DentalSlim Diet Control.

Ia mendapati pesakit mengalami ketidakselesaan pada awalnya tetapi secara amnya alat itu "boleh diterima".

Tidak seperti pemasangan dawai dalam rahang, yang merupakan cara popular pada tahun 1980-an untuk mengehadkan individu kepada diet cecair, DentalSlim mempunyai fungsi keselamatan yang membolehkan alat tersebut dicabut jika berlakunya serangan panik atau tercekik.

Namun, fungi keselamatan itu tidak digunakan oleh mana-mana pesakit selama tempoh percubaan dua minggu.

Alat tersebut mencetuskan kontroversi di internet selepas ramai pengguna berpendapat ia tidak sesuai untuk digunakan dengan ramai pengguna online menuduh para penyelidik memalukan orang gemuk dan mempersoalkan etika kajian tersebut.

Seorang pengkritik menyebutnya "menjijikkan dan menjatuhkan maruah" sementara seorang lagi berkata ia berisiko menerapkan kebiasaan pemakanan yang tidak sihat.

"Daripada mencipta alat penyeksaan ini, kan lebih baik jika anda melakukan penyelidikan bagaimana karyawan perubatan secara konsisten gagal membantu pesakit berdasarkan skala BMI (indeks jisim badan) yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai," tulis seorang pengguna.

Para pengkaji mencatat dalam laporan mereka bahawa penyelidikan itu telah diluluskan oleh sebuah jawatankuasa etika dan dijalankan sesuai dengan garis panduan antarabangsa. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan