Penyelidik temui kaitan biologi antara daging merah & barah usus
Kurangkan memakan daging merah adalah nasihat perubatan yang biasa diberikan untuk mencegah barah usus. Namun, bagaimana ia menyebabkan sel-sel bermutasi masih belum jelas dan tidak semua pakar yakin terdapat kaitan yang kukuh.
(Gambar: Unsplash)
WASHINGTON: Kurangkan memakan daging merah adalah nasihat perubatan yang biasa diberikan untuk mencegah barah usus. Namun, bagaimana ia menyebabkan sel-sel bermutasi masih belum jelas dan tidak semua pakar yakin terdapat kaitan yang kukuh.
Satu kertas kajian dalam jurnal Cancer Discovery mengenal pasti corak kerosakan khusus DNA yang berlaku akibat pemakanan yang kaya dengan daging merah.
Kajian-kajian sebelum ini bagi mengenal pasti kaitannya pula, sebahagian besar adalah kajian epidemiologi, yang bermakna individu yang mengalami kondisi itu ditinjau mengenai amalan pemakanan mereka dan para pengkaji menemui kaitan dengan kejadian barah usus.
Namun dengan kekurangan kejelasannya, ini bermakna kaitannya tidak begitu mudah ditemui.
Pada 2019, sekumpulan pengkaji mengesahkan bahawa mereka mempunyai tahap keyakinan "rendah" bahawa mengurangkan pemakanan daging merah boleh menyebabkan kematian akibat barah.
Bagi mengatasi jurang pengetahuan ini, Giannakis dan rakan sekerjanya melakukan penjujukan data DNA daripada 900 pesakit barah usus yang diambil daripada 280,000 pekerja kesihatan yang menyertai kajian jangka panjang yang termasuk tinjauan gaya hidup.
KERJA PENYIASATAN
Kekuatan daripada pendekatan itu adalah orang ramai yang merakam diet mereka tidak mempunyai cara untuk mengetahui diagnosis barah mereka di masa hadapan. Ini berbanding dengan bertanyakan kepada orang ramai untuk mengingat semula tabiat pemakanan mereka setelah mereka jatuh sakit.
Analisis itu mendedahkan mutasi yang tersendiri - satu corak yang belum pernah lagi dikenal pasti namun menunjukkan sejenis kerosakan DNA bernama alkilasi.
Tidak semua sel yang mengandungi mutasi itu akan menjadi barah dan mutasi tersebut juga hadir dalam beberapa sampel usus yang sihat.
Mutasi sedemikian mempunyai kaitan ketara dengan pemakanan daging merah, yang diproses dan tidak diproses, sebelum pesakit didiagnosis menghidap barah, namun bukan bagi pemakanan ayam, ikan atau faktor-faktor gaya hidup lain yang dikaji.
"Dengan daging merah, terdapat kimia yang menyebabkan berlaku alkilasi" jelas Giannakis.
PEMAKANAN SECARA SEDERHANA DIGALAKKAN
Mengenal pasti pesakit yang sudahpun mula mengalami mutasi seumpama itu dapat membantu mengenal pasti siapakah berisiko tinggi menghidap barah, atau menghidap penyakit itu di peringkat awal.
Ini kerana jumlah kerosakan alkilasi kelihatan seperti biopenanda penakatan pesakit, yang mungkin boleh digunakan untuk memaklumkan kepada pesakit tentang prognosis mereka.
Giannakis juga menekankan bahawa pengajarannya bukan bagi orang ramai langsung tidak makan daging merah: "Saranan saya adalah amalkan pemakanan secara sederhana dan diet seimbang."
Kadar tinggi kerosakan alkilasi tumor hanya dilihat dalam kalangan pesakit yang memakan purata lebih daripada 150 gram daging merah setiap hari, iaitu sekitar dua hidangan atau lebih daripada itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.