Penyelidik China cipta alat AI untuk ramal kekerapan barah hati berulang
Sekumpulan penyelidik China membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang mampu meramal risiko barah hati berulang dengan ketepatan pada kadar 82.2 peratus, menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal Nature, lapor Xinhua.
Alat AI yang dicipta berpotensi menangani cabaran utama dalam meramal berulangnya barah hati. (Gambar hiasan: iStock)
Barah hati adalah punca utama ketiga bagi kematian berkaitan barah di dunia, dengan kadar berulang selepas menjalani pembedahan setinggi 70 peratus. Meramalkan berulangnya barah tersebut menjadi cabaran utama dalam bidang perubatan.
Diketuai Profesor Sun Cheng daripada Universiti Sains dan Teknologi China, pasukan penyelidik itu membangunkan sistem pemarkahan TIMES, yang mengukur corak pengagihan spatial sel imun dalam persekitaran mikro tumor bagi menilai kemungkinan barah berulang. TIMES merupakan alat pertama di dunia yang mengintegrasikan data imun spatial untuk meramal kekerapan barah hati berulang.
Kajian itu menunjukkan bahawa susunan sel dalam tubuh, bukan hanya jumlahnya, mempengaruhi hasil rawatan. Dengan menggabungkan pelbagai teknologi dan analisis berasaskan AI, pasukan penyelidik membangunkan kaedah baharu bagi menilai keadaan sel dalam tubuh. Sistem itu dilatih menggunakan sampel tisu daripada 61 pesakit.
Para penyelidik juga telah membuka akses kepada versi online TIMES secara percuma, membolehkan pengguna di seluruh dunia memuat naik imej pewarnaan patologi untuk mendapatkan penilaian risiko segera.
Profesor Sun Cheng berkata pasukannya berhasrat menjadikan TIMES sebagai alat perubatan inovatif yang membantu doktor menambah baik rawatan secara peribadi, terutama di kawasan dengan sumber terhad.
Mereka kini sedang bekerjasama dengan rakan-rakan industri bagi menyeragamkan aplikasi klinikal sistem itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.