Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penyakit berkaitan pemakanan meningkat seiring tersedianya daging merah: Kajian

Sedang perdagangan global bagi daging merah dan daging diproses meningkat, begitu juga dengan penyakit kronik yang dikaitkan dengan pemakanan daging, menurut dapatan satu kajian yang menilai data daripada 154 negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyakit berkaitan pemakanan meningkat seiring tersedianya daging merah: Kajian

Gambar fail daging merah (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 03:11PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 03:16PM

PARIS: Sedang perdagangan global bagi daging merah dan daging diproses meningkat, begitu juga dengan penyakit kronik yang dikaitkan dengan pemakanan daging.

Demikian menurut dapatan satu kajian yang menilai data daripada 154 negara pada Khamis (18 Nov).

Para penyelidik menumpukan pada kadar penyakit dan kematian daripada tiga penyakit yang dikait rapat dengan pengambilan daging merah dan diproses: barah kolorektum, kencing manis jenis-2 dan penyakit jantung.

Mereka menggunakan perangkaan import dan eksport daging daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetahui di mana di dunia ini daging merah dan daging diproses menjadi lebih mudah diperolehi.

Mereka kemudian membandingkan penemuan ini dengan data kesihatan daripada projek Global Burden of Disease.

"Pemakanan kian meningkat produk daging merah dan yang sudah diproses melalui perdagangan menyebabkan kenaikan mendadak penyakit tidak berjangkit berkaitan diet," menurut kesimpulan kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British itu.

Kesan buruk diet yang kaya dengan daging merah dan daging diproses sudah diketahui umum.

Namun perdagangan antarabangsa produk itu juga mempunyai kesan yang meluas terhadap iklim, melalui pelepasan gas rumah hijau, dan kehilangan kepelbagaian bio, melalui habitat yang semakin mengecil, menurut kajian itu.

"Beberapa inisiatif antarabangsa dan garis panduan kebangsaan untuk diet mampan secara jelas menangani kesan limpahan perdagangan daging rentas negara," menurut mereka.

Menurut kiraan mereka, kematian berkaitan melonjak hampir 75 peratus di merata dunia antara 1993 dengan 2018, dengan variasi utama mengikut wilayah geografi.

Sedang mereka menganggarkan kenaikan 55 peratus dalam kematian berkaitan di negara-negara maju, kadar kenaikan di negara membangun adalah lebih seganda: iaitu 157 peratus.

"Kadar yang lebih tinggi ini adalah kerana banyak negara membangun di seluruh dunia secara meluas bergantung kepada import daging merah dan yang sudah diproses untuk memenuhi permintaan daging mereka yang meningkat ekoran pembangunan bandar dan pertambahan pendapatan yang pesat," menurut kajian itu.

Sepanjang tahun-tahun yang diteliti oleh kajian itu, negara membangun menambah import manakala negara kaya menambah eksport, menurut dapatan kajian.

Kajian itu mencadangkan bahawa untuk mencapai diet yang lebih sihat dan lebih mampan, dialog antarabangsa harus melibatkan kedua-dua badan kesihatan dan perdagangan, sambil memetik Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Perjanjian perdagangan serantau WTO mempercepatkan aliran daging merah dan diproses antara negara," menurutnya, dan mencadangkan ia boleh menyelaraskan dengan agensi kesihatan dan makanan PBB untuk menambah baik dasar perdagangan masa depan.

Oleh kerana ia adalah di tahap pemerhatian, kajian itu boleh mencadangkan tetapi tidak mengesahkan hubungan punca-akibat antara perdagangan daging dengan penyakit berkaitan diet.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan