Skip to main content

Gaya Hidup

Penuntut politeknik tahun akhir Georgina Dobson jurai 987 STAR Mediacorp

Anggaran Waktu Membaca:
Penuntut politeknik tahun akhir Georgina Dobson jurai 987 STAR Mediacorp

Georgina Pattarida Dobson bersama dua DJ 987, Joakim Gomez dan Sonia Chew, hos pertandingan 987 STAR Mediacorp 2025. (Gambar: Adrian Lee, King Kong Media Production)

SINGAPURA: Alunan suara baharu bakal menghiasi gelombang udara tidak lama lagi: Pemenang pertandingan 987 STAR Mediacorp 2025, pelajar tahun akhir pengajian psikologi dari Politeknik Temasek Georgina Pattarida Dobson.

Dobson pada Sabtu (31 Mei) menewaskan tiga finalis lain – Lex Whitlock, Nicolette Callie Wee dan Shaniah Kiew – dalam pusingan akhir selama dua jam, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai S$5,000, ihsan Fisherman's Friend, dan kontrak dengan Mediacorp 987.

Menurut profil LinkedIn Dobson, beliau juga presiden kelab juruacara di Politeknik Temasek.

Dihoskan oleh DJ 987 Sonia Chew dan Joakim Gomez, pencarian untuk personaliti radio seterusnya itu bermula pada awal April. Pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat yang sedang berkembang, dan sebagai batu loncatan bagi mereka menceburi industri hiburan, seperti yang ditawarkan kepada pemenang peraduan serupa sebelumnya, iaitu DJ radio Ann Nicole, Kimberly Wang dan Chew sendiri.
10 finalis terbaik pertandingan 987 STAR Mediacorp 2025. (Gambar: Adrian Lee, King Kong Media Production)
Dalam pusingan akhir yang diadakan secara langsung di 313@Somerset pada Sabtu (31 Mei), empat finalis terbaik bersaing dalam beberapa cabaran yang direka untuk menonjolkan ketrampilan mereka atas pentas, kehebatan vokal, kebolehan bertindak spontan dan karisma mereka.

Misalnya dalam cabaran Wheel Of Flavors, setiap peserta memutarkan roda yang menampilkan lapan perisa Fisherman's Friend. Setiap perisa mengandungi soalan yang bermula dengan "anda lebih suka", mencabar para finalis untuk menjawab dengan kreativiti, jenaka dan keyakinan.

Dalam cabaran lain yang menguji kemahiran mereka sebagai pengacara - daripada pengenalan diri yang bijak hingga ke perbualan yang menarik dan membina hubungan - setiap peserta ditugaskan untuk menemu bual pemuzik tempatan WhyLucas dan Shazza secara langsung, memaparkan kebolehan mereka untuk beramah mesra dengan kedua-dua artis serta penonton.

Juri pertandingan terdiri daripada personaliti tempatan Xiao Ming dari SGAG, Ketua Pegawai Bakat Mediacorp Doreen Neo, pasangan DJ Mediacorp dari Class 95 - Justin Ang dan Vernon A, serta Pengarah Program 987 Mediacorp Janice Lim.

Para peserta dinilai berdasarkan "penyampaian vokal, kreativiti, keaslian dan penglibatan dengan penonton", menurut Mediacorp dalam satu kenyataan media pada Sabtu (31 Mei).

Ketua pengembangan dan audio Mediacorp, Simone Lum, mengucapkan tahniah kepada Dobson atas "prestasi yang benar-benar menonjol, yang memaparkan semangat 987 STAR Mediacorp – kreativiti, keaslian dan hubungan kukuh dengan para penonton".

Penonton boleh menonton semua episod 987 STAR Mediacorp menerusi Mediacorp Entertainment di YouTube dan mewatch, dan menikmati sorotan menarik di TikTok Mediacorp 987.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita