Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Penkek 'souffle' selembut kapas ini jadi kegilaan ramai di S'pura

Ringan, gebu dan sangat lembut. Itulah yang boleh dikatakan tentang penkek 'souffle', yang berasal dari Jepun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ringan, gebu dan sangat lembut. Itulah yang boleh dikatakan tentang penkek 'souffle', yang berasal dari Jepun.

Di negara matahari terbit itu, ia dipanggil 'fuwa-fuwa', yang bermaksud gebu.

Penkek yang semakin popular dan digemari ramai di kota singa itu dihidangkan dengan beraneka makanan sampingan seperti sirap maple, buah-buahan dan ikan salmon. Rasanya pula enak dan tidak mengecewakan.

Bagi yang pernah bercuti di Jepun, anda mungkin pernah lalu di depan kedai-kedai yang menjual penkek 'souffle'. Setiap kali melihat gambar-gambar hidangan ini pasti akan membuka selera dan membuat anda rasa terliur.

Mungkin ada juga yang tertanya-tanya, apa bezanya dengan penkek klasik yang biasa Pankek 'souffle' tampil lebih ringan dan tebal serta teksturnya sangat lembut.

Bahan utama untuk membuatnya adalah dengan menggunakan telur. Telur haruslah jenis yang baik dan cara memukulnya memainkan peranan yang sangat penting untuk menghasilkan 'souffle' yang cantik dan gebu.

Kini terdapat banyak kafe yang menawarkan hidangan penkek 'souffle' tapi tak semuanya Halal. Bagi yang belum pernah menikmati sajian ini, kami senaraikan tiga tempat yang menawarkan penkek 'souffle' Halal.

1. FLIPPER'S PANCAKE

Kafe asal dari Jepun ini adalah yang pertama di buka di Singapura.

Selain cawangan di Ngee Ann City berhampiran Takashimaya, Flipper’s juga baru-baru ini sudah membuka cawangan keduanya di Bugis Junction.

Terkenal dengan aneka pankek 'souffle' yang enak, tidah hairanlah jika kafe ini tidak pernah lengang.

Penkek Kiseki yang terdapat di sini mempunyai tiga keping setiap set. Teksturnya gebu dan enak dipadankan dengan krim mentega maple yang dibuat sendiri.

Pankek gebu ini dihasilkan menggunakan tepung halus Jepun Kitahonami di Hokkaido, telur Hinata yang diimport khas dari Kanagawa, susu segar selain mentega Perancis.

Bila berada di kafe ini rasanya macam nak cuba semua dan sukar membuat pilihan.

Antaranya pankek 'souffle' plain Kiseki ($16.80). Pankek Hazelnut Chocolate ($21.80), Millennial Strawberry ($20.80), Hazelnut Chocolate ($21.80), Pankek Fresh Fruits with Honeycomb and Nut Butter ($21.80), Matcha Azuki ($20.80) dan lain-lain.

Bagi yang kurang minat dengan manisan, anda boleh mencuba set pankek souffle Egg Benedict ($21.80). Sajian ini mempunyai dua keping pankek yang disajikan dengan poached egg, udang segar serta avokado dan salmon.

Jika anda gemar keju pula, Classic Grilled Cheese Sandwich (Croque Madame) $14.80 dan Honey Souffle Pancake, ($22.80) menanti anda.

Selain aneka pankek, Flipper’s turut menawarkan salada, sup, aneka minuman seperti Rose Strawberry Milk, soda, float, latte dan banyak lagi.

Alamat: 391 Orchard Road, Ngee Ann City #B1-56 dan Bugis Junction, #01-97
Waktu Operasi : 11.00 pagi hingga 9.00 malam

2. FLUFF STACK

Bermula dengan satu cawangan di Suntec, kini jenama pankek ini berkembang pesat dan tumbuh bak cendawan dalam masa yang singkat. Fluff Stack kini mempunyai empat cawangan. Menawarkan kepelbagain pankek souffle, harga satu set bermula dari $8.80 dan dihidangkan dengan sampingan mentega madu, sirap maple dan krim Chantilly.

Selain penkek 'souffle' klasik, terdapat pelbagai pilihan perisa seperti Oolong 'Souffle' Pancake ($9.80), Hazelnut Chocolate 'Souffle' Pancakes ($13.80) dan Mango Passion fruits 'Souffle' Pancakes ($14.80).

Jika gemar dengan buah-buahan seperti mangga, hidangan mango passion menanti anda.

Bila melihat gambarnya di menu, anda pasti sudah boleh dapat bayangkan rasa dan kesegaran buah tempatan ini. Apatah lagi apabila ia digandingkan dengan 'souffle' yang lembut. Wow!

Yang terkini, untuk peminat durian seperti Musang King atau Mao Shan Wang anda juga pasti tidak mahu ketinggalan untuk mencuba Souffle Musang King with Sago & Gula Melaka ($17.50) yang mengandungi 100 peratus durian. Sajian yang cukup mengenyangkan walapun pankeknya ringan.

Di Fluff Stack juga pelanggan juga boleh tambah topping seperti Hazelnut Chocolate ($1.50), Gula Melaka Boba ($1.50), Coconut Sago ($0.80) dan buah-buahan ($2-$2.80) untuk lengkapkan pencuci mulut anda ini. Apa pun pilihan, yang penting perut kenyang dan hati senang!

Alamat: Suntec #B1-K4, Northpoint #02-115, Westgate #B1-K1/K4 dan Tampines 1 #01-31
Waktu operasi: 11.00 pagi hingga 9.30 malam

3. SWEET.REX

Terletak di pusat makanan Alexandra Village, apa yang membuat sajian 'souffle' di SweeT.Rex berbeza adalah harganya!

Dengan bajet $20, anda boleh menikmati bukan satu set tapi empat set pankek 'souffle'. Wow!

Walaupun tidak mempunyai banyak pilihan, ia berbaloi bagi yang terasa untuk menikmati pankek 'souffle' buat pertama kali tapi ingin berjimat. Setiap set dua keping penkek 'souffle' harganya bermula dari $5 hingga $5.50 sahaja! Boleh dinikmati dengan pilihan sos sirap maple, coklat, strawberi atau caramel.

Waktu menunggunya sekitar 15 minit dan adakalanya sehingga 30 minit jika ramai pelanggan. Sementara menanti, anda boleh ambil baunya dahulu jika tempat duduk anda terletak di depan gerai ini. 'Souffle' yang dihidangkan segar dari dapur, sesuai untuk sarapan pagi atau minuman teh petang.

Bagi yang gemar menikmati manisan selain pankek 'souffle', gerai ini juga terkenal dengan kek keju Basque Burnt Cheesecake dan Matcha Burnt Cheesecake. Selain itu terdapat juga tiramisu dan puding Teh Tarik. Harga kek dan puding juga berbaloi!

Alamat: 120 Bukit Merah Lane 1, Alexandra Village Food Centre #01-79
Waktu operasi: 10.00 pagi hingga 3.00 petang (Rabu-Ahad)

Yang mana satu menjadi pilihan anda? Tepuk dada, tanya selera.

BUAT SENDIRI PANKEK 'SOUFFLE' ANDA

Selain itu, bagi yang ingin mencuba kemahiran membuat pankek 'souffle' sendiri dari keselesaan rumah. Kami kongsikan resipi yang mudah untuk dicuba.

Bahan (untuk 10 keping):

2 biji telur premium (asingkan telur putih dan kuning)
½ cawan tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh esen vanilla
4 sudu makan gula
3 sudu makan susu sejat/segar
Sedikit mentega (untuk sapu)

Caranya:

1. Masukkan kuning telur, esen vanilla, susu dan dipukul hingga sebati. Kemudian masukkan tepung dan serbuk penaik dan dipukul hingga sebati. Ketepikan.

2. Gunakan mangkuk yang berasingan dan masukkan putih telur yang sudah diasingkan tadi (penting untuk memastikan tiada campuran titisan kuning telur). Pukul telur hingga kembang dan masukkan gula (sedikit demi sedikit). Pukul hingga putih telur menjadi gebu.

3. Masukkan adunan tepung tadi dan putih telur yang sudah dipukul. Adun campuran ini secara berkaup balik untuk memastikan adunan kekal gebu dan ringan.

4. Panaskan kuali leper, oleskan sedikit mentega dan tuangkan adunan dengan menggunakan sudip. Terbalikkan apabila satu bahagian sudah masak.

5. Enak disajikan segera bersama sirap maple, sos coklat atau sampingan seperti telur, salmon, salada dan lain-lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan