Penjualan Marmite dihentikan di SG susuli 'cabaran bekalan'
Berita mengecewakan buat para penggemar Marmite di Singapura.
Gambar yang diambil pada 19 Mac 2024 ini menunjukkan sebotol Marmite, jenama milik syarikat barangan pengguna Britain, Unilever. (Gambar: AFP/Ben Stansall)
Sapuan ekstrak yis yang terkenal itu tidak lagi dijual di pasar raya selepas pengedarnya memutuskan untuk menghentikan penjualan jenama tersebut di negara ini.
"Kami memahami ramai pengguna kecewa dengan ketiadaan Marmite di pasar raya tempatan ketika ini," kata Unilever pada Selasa (28 Julai) sebagai jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.
"Berikutan cabaran bekalan yang berterusan, kami telah membuat keputusan yang sukar untuk menghentikan jenama Marmite di Singapura."
Unilever bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sifat cabaran bekalan yang dihadapinya.
Syarikat itu berkata ia menghargai sejarah panjang jenama tersebut serta hubungan erat yang telah terjalin dengan para pengguna sejak sekian lama.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua peminat Marmite atas sokongan mereka yang tidak pernah pudar."
ALTERNATIF LAIN?
Semakan ke atas beberapa pasar raya di Singapura mendapati Marmite tidak lagi dijual.
Cold Storage mengesahkan, ia tidak lagi menjual Marmite dan produk itu dihentikan kira-kira empat bulan lalu.
Pasar raya itu turut mendedahkan bahawa setakat ini pihaknya belum menerima sebarang pertanyaan atau maklum balas daripada pelanggan berhubung perkara tersebut.
Cold Storage turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang "bekerjasama dengan pembekal untuk mendapatkan stok alternatif".
Bagaimanapun, bilakah "stok alternatif" itu akan mula dijual masih belum dimuktamadkan. Menurut Cold Storage, pihaknya akan memberikan kemas kini apabila perkara tersebut sudah dimuktamadkan.
Cold Storage juga tidak menjelaskan produk yang akan dibawa masuk sebagai pengganti Marmite.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, FairPrice menyatakan ia sedang mempelbagaikan sumber bekalannya bagi mendapatkan "stok alternatif Marmite dari luar negara" untuk para pelanggan.
Sementara itu, Sheng Siong memaklumkan Marmite dan Bovril - ekstrak berasaskan daging lembu - kini tidak lagi tersedia di cawangannya.
HARGA MENINGKAT
Semakan Mediacorp pada pagi Rabu di platform e-dagang Lazada dan Shopee mendapati masih terdapat beberapa penjual yang menawarkan Marmite pada harga yang jauh lebih tinggi.
Dua botol Marmite seberat 250 gram dijual pada harga hampir S$48 di Lazada.
Sebagai perbandingan, sebotol Marmite 250 gram di RedMart - yang kehabisan stok pada Rabu - disenaraikan pada harga S$10.90.
Di laman FairPrice pula, botol seberat 100 gram dan 200 gram yang turut kehabisan stok masing-masing disenaraikan pada harga S$4.84 dan S$7.08.
Botol kaca Marmite berwarna hitam dan kuning yang ikonik itu turut dijual di Carousell.
Mediacorp mendapati sekurang-kurangnya dua iklan penjualan dipaparkan setakat pagi Rabu.
Kedua-duanya ditawarkan pada harga lebih tinggi daripada harga runcit biasa, dengan satu penjual menjual botol 250 gram pada harga S$20, manakala seorang lagi menjual sebotol Marmite pada harga S$50 tanpa menyatakan saiznya.
Pada November 2025, Reuters melaporkan Unilever sedang menimbangkan untuk menjual beberapa jenama bersejarah Britain, termasuk Marmite dan Bovril.
Langkah itu dipercayai merupakan sebahagian daripada rancangan syarikat barangan pengguna tersebut untuk keluar daripada beberapa perniagaan makanan dan memberi tumpuan kepada sektor kecantikan serta kesejahteraan.
Sekiranya diteruskan, penjualan itu akan menjadi pelupusan aset terbesar Unilever sejak Fernando Fernandez dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Februari 2025.
Beliau diberi mandat untuk mempercepatkan strategi pemulihan syarikat.
Syarikat barangan pengguna sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan tekanan terhadap margin keuntungan dan penyusutan jumlah jualan akibat gangguan rantaian bekalan serta kadar inflasi yang tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.