Penjualan Hermes jatuh 42% setelah cawangan merata dunia ditutup angkara COVID-19
Syarikat barangan mewah Perancis, Hermes, mengumumkan bahawa penjualannya menjunam 42 peratus pada suku kedua tahun ini sedang pandemik virus korona itu memaksanya menutup kedai-kedai di merata dunia dan menggantung pengeluaran buat masa ini.

2 wanita membawa beg jenama kertas Hermes (Gambar: AP Photo/Mark Lennihan)
SINGAPURA: Beg tangan ikonik, Birkin, mungkin merupakan produk mewah paling tahan lama semasa krisis yang melanda sekarang, namun pengeluarnya sendiri tidak terlepas daripada kesan wabak COVID-19. Syarikat barangan mewah Perancis, Hermes, mengumumkan bahawa penjualannya menjunam 42 peratus pada suku kedua tahun ini sedang pandemik virus korona itu memaksanya menutup kedai-kedai di merata dunia dan menggantung pengeluaran buat masa ini.
"Krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang bermula pada awal tahun ini dan masih berlarutan, menguji kekuatan model perniagaan kami," kata Axel Dumas, Pengerusi Eksekutif Hermes dalam satu kenyataan.
Di Asia (tidak termasuk Jepun), penjualannya merosot 9 peratus tetapi sedang beransur pulih, dirangsang oleh pembukaan semula kedai-kedai di tanah besar China. Namun, Hermes menyatakan bahawa kegiatan di Hong Kong dan Macau tetap lemah ekoran penguatkuasaan semula langkah-langkah kawalan sempadan.
Walaupun penjualan di Jepun merosot 23 peratus, Hermes menyatakan bahawa "kebangkitan khususnya dinamik disebabkan oleh kesetiaan para pelanggan tempatan". Penjualan memberangsangkan, khususnya melalui wadah baru hermes.com/jp/ja .
Penjualan di Amerika Syarikat adalah yang paling teruk terjejas, menjunam 42 peratus, manakala Eropah sangat terjejas oleh kemerosotan pada aliran pelancong. Di Eropah (tidak termasuk Perancis), penjualannya merosot 36 peratus manakala negara asal Hermes, Perancis mengalami penyusutan 38 peratus.
Bagaimanapun, saluran online Hermes ibarat sinar harapan bagi syarikat itu, di mana penjualannya melonjak ke paras dua angka di seluruh Asia. Penjualan online pada separuh pertama tahun ini meningkat lebih 100 peratus di China, dengan pertumbuhan terus mengukuh walaupun setelah kedai-kedai dibuka semula di negara itu, lapor Jing Daily.
Sebagai menunjukkan tanda keyakinan, Hermes turut mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan tenaga kerjanya sebanyak 300 orang, kebanyakannya dalam bidang pengeluaran. Jumlah tenaga kerja syarikat itu kini seramai 15,698 orang.
Walaupun terdapat ketidakpastian ekonomi, geopolitik dan kewangan di seluruh dunia, Hermes mengesahkan "sasaran bercita-cita tinggi untuk menjana pertumbuhan pendapatan" dalam jangka sederhana.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.