Skip to main content

Gaya Hidup

Penjual roti benggali di Perlis ini bertanjak, mahu pelihara busana Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

KANGAR: Berniaga sambil mencari kelainan dengan kreativiti tersendiri dapat memberi nilai tambah kepada sesuatu produk yang dijual sekali gus dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Itu yang dilakukan oleh Encik Shaharizal Mukhtar, 40 tahun, yang segak bertanjak ketika menjual roti benggali pelbagai perisa menggunakan motosikal di sekitar Kangar dan Kuala Perlis bagi menyara keluarga beliau.

Anak jati Teluk Jambu, Bintong itu berkata beliau mendapat ilham berniaga roti dengan memakai tanjak pada April 2021 bagi menarik minat orang ramai khususnya generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara warisan busana Melayu itu.

“Niat saya ialah ingin kembangkan warisan ini kepada semua, kerana tidak ramai lagi yang sanggup memakai tanjak pada hari biasa kecuali pada majlis tertentu sahaja,” kata pemilik Tanjak Roti Benggali itu kepada Bernama di Kangar.

Beliau berkata perniagaannya itu mendapat sambutan menggalakkan, malah ada pelanggan yang sudah menjadi sahabatnya.

“Dahulu, saya pernah berniaga roti dengan seorang kawan menggunakan van namun sukar mendapat pelanggan kerana pergerakan terbatas, tidak boleh masuk ke kawasan pedalaman dan lorong perumahan.

“Sejak beralih menggunakan motosikal alhamdulillah sambutan diterima sangat baik kerana lebih mudah masuk ke kawasan kampung dan dekat dengan pelanggan,” katanya.

Shaharizal menjual tiga jenis roti iaitu roti benggali biasa, roti benggali gandum dan roti ban lembut yang diperoleh daripada pembekal di Pulau Pinang.

“Bagi memastikan roti yang dijual memenuhi selera penduduk setempat, saya mengolah kembali perisa kepada lebih 10 jenis termasuk kaya, marjerin, strawberi, nanas, coklat dan vanila,” kata beliau yang menjual lebih kurang 240 bungkus roti sehari.

Shaharizal yang berniaga bermula 8 pagi hingga 8 malam berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya dalam bentuk francais kepada anak muda yang berminat serta bersedia berkongsi pengalaman dan rezeki kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita