Penjagaan kulit ketika cuaca panas semasa musim Haji
Musim Haji adalah perjalanan kerohanian yang cukup mendalam, tetapi ia juga menimbulkan cabaran fizikal yang unik - terutama sekali di tengah-tengah cuaca panas di Makkah.
Jemaah haji tahun ini berdepan cuaca panas sehingga 49 darjah Celsius. (Gambar: AFP)
Dengan banyak masa dihabiskan di luar dan perlunya menempuh kesesakan orang ramai, ia secara tidak langsung akan menjejas tubuh para jemaah, terutama sekali kulit mereka.
Bagi para jemaah, penjagaan kulit adalah penting demi keselesaan mereka serta mengelak keadaan kulit berkaitan haba yang boleh menjejas pengalaman mereka mengerjakan ibadah Haji.
Setiap tahun, Kementerian Kesihatan Saudi mengingatkan para jemaah supaya mengambil langkah bagi melindungi kulit mereka daripada haba dan kekeringan semasa mengerjakan ibadah Haji.
Menurut kementerian itu, beberapa masalah kulit yang sering dihadapi oleh para jemaah Haji termasuk dermatitis, lecet, selaran matahari dan jangkitan kulat seperti kurap dan tinea cruris.
Salah satu masalah kulit yang sering dilaporkan dan dialami oleh para jemaah adalah kulit melecet atau intertrigo, terutama sekali di bahagian seperti bahagian dalam paha, ketiak dan bawah payu dara.
Masalah kulit itu sering dialami oleh para jemaah yang mengalami penyakit kencing manis atau berat badan berlebihan (obesiti) dan lazimnya berlaku akibat geseran, haba dan peluh.
Selaran matahari atau 'sunburn' juga satu lagi masalah kulit yang sering berlaku, terutama sekali bagi para jemaah yang tidak terbiasa menghadapi sinar matahari ekstrem.
Pendedahan berpanjangan kepada matahari tanpa sebarang perlindungan boleh menyebabkan kemerahan, bengkak atau bahkan kulit melepuh.
Cuaca panas dan lembap semasa musim Haji mewujudkan persekitaran sesuai bagi jangkitan kulat seperti kurap yang lazimnya kelihatan seperti tompokan bulat yang berwarna gelap dan gatal-gatal - terutama sekali di tempat seperti kelengkang atau bahagian dalam paha.
Pakar dermatologi Dr Fatimah Sattof memberitahu Arab News: "Penjagaan kulit terutama sekali adalah penting sewaktu musim Haji disebabkan pendedahan berpanjangan dan secara langsung para jemaah kepada matahari, yang boleh menyebabkan kekeringan, pigmentasi dan bahkan barah kulit dalam kes-kes lebih ekstrem.
"Pendedahan kepada matahari adalah faktor utama dalam kerosakan kolagen, yang kerana ia menyebabkan kulit menjadi tipis dan keluar kedutan pada kulit.
"Justeru, penting untuk memastikan kulit sentiasa lembap - dengan minum air secukupnya dan menggunakan krim perlindungan," katanya.
Selain saranan perubatan, Dr Sattof menarik perhatian kepada beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan oleh para jemaah untuk melindungi kulit mereka.
"Pelembap bebas wangian lebih digalakkan kerana produk yang mengandungi wangian boleh menambah sensitiviti kulit," katanya.
Untuk mengelak kulit melecet:
- Pastikan bahagian yang merengsa bersih dan kering
- Pastikan terdapat pengudaraan yang baik dan pakai pakaian yang membolehkan kulit bernafas
- Sapu minyak atau bedak sebelum berjalan
Untuk merawat kulit yang mengalami selaran matahari:
- Pastikan anda berada dalam bangunan sebaik mungkin
- Mandi air sejuk untuk menghilangkan rasa kurang selesa
- Sapukan krim pelembap bebas wangian
- Guna ubat melegakan kesakitan jika perlu dan minum lebih banyak air
- Elak menyentuh luka lepuh; ia bertindak sebagai perlindungan semasa kulit pulih
Musim Haji pada tahun lalu menyaksikan suhu di Makkah mencecah setinggi 46 dengan 51 darjah Celsius, di mana ia menyebabkan lebih 2,760 kes strok haba dalam sehari.
Jurucakap bagi Pusat Kaji Cuaca Saudi, Hussein Al-Qahtani berkata ramalan cuaca menunjukkan suhu tinggi akan berlaku pada musim Haji tahun ini, dengan ia berpotensi melebihi 49 darjah Celsius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.