Skip to main content

Gaya Hidup

Peniaga S’pura azam popularkan kuih Terang Bulan Surabaya, buka kedai di East Village

Jika selama ini kita selalu menatap terang bulan di dada angkasa, kini ‘terang bulan’ boleh anda makan sambil tersenyum lebar! Terang Bulan yang kami maksudkan ini ialah sejenis kuih yang juga dipanggil ‘martabak manis’.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga S’pura azam popularkan kuih Terang Bulan Surabaya, buka kedai di East Village

(Gambar: Siti Nur Afiqah)

BERITAMediacorp: Jika selama ini kita selalu menatap terang bulan di dada angkasa, kini ‘terang bulan’ boleh anda makan sambil tersenyum lebar! Terang Bulan yang kami maksudkan ini ialah sejenis kuih yang juga dipanggil ‘martabak manis’.

Ia merupakan makanan asal Indonesia, tetapi kelihatan seperti kuih Apam Balik yang biasa terdapat di Singapura dan Malaysia. Antara orang yang kini mengasas dan mempopularkan Terang Bulan di Singapura ialah Cik Adita Tian Permata Sari yang tinggal di Bukit Panjang.

Bermula sebagai makan kegemaran, Cik Adita mula menjual martabak manis itu dari rumah pada Mei tahun lalu, termasuk menghantar ke rumah pelanggan. Dari situ, beliau kemudian menjualnya di pasar-pasar malam pula seperti Bazar Geylang Serai. Kini setelah sesingkat 9 bulan menjadi penjaja martabak manis atau Terang Bulan, beliau akhirnya ada kedainya yang tersendiri!

BERITAMediacorp dimaklumkan, kedai Terang Bulan Singapura itu bakal dibuka di East Village pada bulan depan (Mac 2018).  

Related article image

HAKIKAT SI ‘TERANG BULAN’

Kalau anda belum pernah makan kuih Terang Bulan, besar kemungkinan anda akan menyangka ia adalah apam balik. Namun anda silap! Sebenarnya apam balik dan martabak manis ibarat pelanduk dua serupa tetapi hakikatnya jauh berbeza.

Menurut Cik Adita yang berusia 27 tahun, martabak manis sebenarnya lebih tebal, lembut dan berminyak berbanding apam balik. Kalau apam balik lazimnya mengandungi kacang dan gula sahaja, martabak manis pula mengandungi susu pekat.

Malah, martabak manis yang dijual Cik Adita begitu berwarna warni dan ‘kaya’ sehingga dihiasi dengan oreo, coklat, keju, kacang, pisang, Nutella, Toblerone, Milo, jagung dan susu pekat! Melihat gambarnya sahaja sudah mampu membuka selera.

Misalnya menu yang dipanggil “Pizza TerBul 8 Flavours” ini, yang dihiasi dengan lapan taburan perisa, berharga S$13. 

Related article image

Cik Adita menjelaskan kepada BERITAMediacorp bahawa martabak manis lebih dikenali sebagai Terang Bulan atau ‘TerBul’ di Surabaya kerana bentuk kuih itu. Iaitu, menyerupai bentuk bulan purnama dan berwarna kuning. Malah ada lubang-lubang udara di permukaan kuih itu, persis ciri-ciri permukaan bulan!

“Saya membawa Terang Bulan ke Singapura supaya rakyat di sini tahu martabak manis ini juga dikenali sebagai ‘terang bulan’,” kata lulusan Institut Pengurusan Singapura (SIM) dalam bidang pengurusan perniagaan itu.  

MARTABAK MANIS S’PURA LAIN, BERBEZA DARI TERANG BULAN SURABAYA

Sebenarnya, Cik Adita berasal dari Surabaya dan hanya berhijrah ke Singapura ketika usianya 14 tahun. Setelah berpindah ke sini, sering kali beliau teringin memakan terang bulan yang asli.

Namun, beliau hampa kerana martabak manis yang dijual di Singapura tidak sama dengan yang dijual di Surabaya.

Inilah yang mendorongnya untuk belajar sendiri cara-cara membuat terang bulan dan mula bertatih untuk memulakan perniagaan dari rumah, pada usia 26 tahun. 

Related article image

(Cik Adita Tian Permata Sari - Peniaga kuih Terang Bulan ada Kedai sendiri di East Village mulai Mac 2018)

ULANG ALIK BELAJAR DARIPADA PAKAR DI INDONESIA

Lantaran berminat dalam bidang perniagaan, Cik Adita mengambil langkah berani dan meninggalkan kerjaya sepenuh masa sebagai seorang pegawai eksekutif pemasaran.

Ketika dalam fasa permulaan perniagaannya, cabaran utama Cik Adita adalah bagaimana mendapatkan resepi yang tepat untuk menghasilkan adunan yang benar-benar ‘menjadi’.

Untuk itu, Cik Adita kembali ke Indonesia untuk belajar daripada kenalan-kenalannya di sana tentang cara membuat Terang Bulan dan kemahiran lain.

Related article image

(Cik Adita semasa berada di Surabaya untuk belajar cara-cara membuat martabak manis asli) 

Dalam pada itu, Cik Adita masih menerima maklum balas bahawa martabak manisnya “terlalu tebal”. Ini kerana, menurutnya, sesetengah pelanggan masih berfikir Terang Bulan adalah Apam Balik dan sebaliknya.

Bagaimanapun beliau menganggap semua itu satu peluang untuk memperbaiki resipinya, sesuai dengan cita rasa rakyat Singapura.

“Kalau kita ke Indonesia, martabak manis yang dijual lebih tebal daripada apa yang saya jual. Tempat masaknya (kualinya) besar dan tebal,” jelas Cik Adita.

Namun demikian, “sebagai penjual, saya perlu membuat penyesuaian dengan cita rasa rakyat Singapura”, akui beliau.  

Related article image

PERLU LUASKAN JARINGAN, BERANI AMBIL RISIKO

Bagi memperkenalkan terang bulan kepada orang ramai, Cik Adita berusaha memperluaskan jaringan sosialnya.

“Pada mulanya, saya berikan 20 terang bulan percuma kepada pengikut saya di laman Instagram - TerangBulan.sg. Saya perlukan masukan (maklum balas) mereka dan bantuan mereka untuk mengongsi tentang terang bulan. Alhamdulillah pengikut saya di Instagram kian meningkat. Saya juga mendekati mereka yang berpengaruh di platform media sosial,” kongsi Cik Adita tentang strategi pemasaran yang diambilnya – sesuatu yang mungkin boleh diambil iktibar oleh bakal-bakal peniaga online lainnya.

Dalam tempoh kurang 10 bulan, beliau berjaya menarik lebih 8,000 pengikut Instagram. Beliau juga berkongsi kepada BERITAMediacorp tentang peri pentingnya aspek komunikasi menerusi media sosial.

“Mempunyai perniagaan di media sosial mencabar. Kami tidak dapat bersemuka dengan pelanggan. Kita hanya (berhubungan) melalui WhatsApp, Instagram atau telefon. Jadi, cara kita berkomunikasi itu penting. ‘Suara’ kita dalam mesej, cara kita menulis mesej. Kalau kita tersalah letak ‘emoticon’ misalnya, itu sudah memberi makna yang lain kepada para pelanggan. Selain itu, kita perlu pastikan apa yang digambarkan di media sosial sama dengan apa yang akan diterima pelanggan,” jelas Cik Adita.  

TAWAR PERKHIDMATAN DALAM MAJLIS PERKAHWINAN

Ternyata, formula adunan kuih dan strategi pemasarannya dalam memperkenalkan Terang Bulan menemui kejayaan.

Semasa menjual dari rumah, Cik Adita berjaya menjual antara 18 hingga 30 kotak Terang Bulan setiap hari. Para pelanggan boleh menempah pelbagai perisa yang ditawarkan. 

Dari rumah, Terang Bulan muncul pula tempat awam seperti di Bazar Geylang Serai dan LalooLalang.

Baru-baru ini Cik Adita sudah mula menawarkan perkhidmatan ‘live station’ yang menyajikan Terang Bulan di majlis-majlis perkahwinan. Menyaksikan bagaimana berwarna-warninya martabak manis itu dibuat, sudah cukup mempesonakan untuk membuatkan para jemputan berbaris untuk mencubanya.

Apakan tidak, Cik Adita memberitahu BERITAMediacorp, semasa satu ‘live station’ baru-baru ini, beliau menyediakan 100 keping TerBul, yang setiap keping dipotong lapan! Jadi, 800 keping ‘terjual’!

Yang pasti juga, beliau sedang meneroka dan memikirkan makanan lain dari Indonesia yang juga mungkin boleh diperkenalkan di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita