Skip to main content

Gaya Hidup

Peniaga jual kuih raya pada harga RM6 untuk ceriakan Aidilfitri golongan kurang berkemampuan

Peristiwa meruntun hati apabila pelanggan tidak dapat memenuhi permintaan anak kerana tidak cukup wang mendorong seorang peniaga untuk menjual kuih raya pada harga serendah RM6 (S$1.81) sebekas.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga jual kuih raya pada harga RM6 untuk ceriakan Aidilfitri golongan kurang berkemampuan

Antara jenis kuih raya yang dijual di gerai milik Cik Khairruni Ahmad Zabidi. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 21 Mar 2025 12:14AM Dikemas Kini : 21 Mar 2025 12:15AM
IPOH: Peristiwa meruntun hati apabila pelanggan tidak dapat memenuhi permintaan anak kerana tidak cukup wang mendorong seorang peniaga untuk menjual kuih raya pada harga serendah RM6 (S$1.81) sebekas.

Cik Khairruni Ahmad Zabidi, 64 tahun, berkata idea untuk menjual biskut raya pada harga yang murah tercetus setelah dia berbincang dengan anaknya Norhidayu Abdullah, 34 tahun, berikutan peristiwa yang menyentuh hati itu.

Menurut Cik Khairruni, lebih 100 jenis biskut raya yang dibuat bersama kakaknya Suhairah Ahmad Zabidi, 66 tahun, dan Norhidayu dijual di gerainya, yang terletak di lot parkir stesen minyak Shell, Jalan Raja Ashman.

"Biasalah pelanggan bila bawa anak-anak, ada anak yang peluk terus balang biskut namun oleh kerana harganya sekitar RM28 hingga RM35 sebalang, pelanggan tidak mampu nak bayar biskut yang dimahukan.

“Jadi saya jual biskut serendah RM6. Jika pelanggan ada RM50 (S$15.08) dengan biskut raya rahmah ini mereka boleh dapat hingga lapan bekas,” kata peniaga itu ketika ditemui Bernama pada Khamis (20 Mac).

Cik Khairruni mengatakan walaupun jumlah dalam satu bekas mengandungi 18 hingga 20 kuih, yang penting semua berpeluang membeli dan melakukan persiapan Aidilfitri biarpun keuntungannya tidak seberapa.

Menurut peniaga itu, ini adalah tahun kedua jualan kuih raya dengan harga rahmah itu dijalankan. Sejak 15 Mac, sekitar 7,500 bekas telah terjual. Antara kuih raya yang dijual termasuk biskut mazola, tart nenas, almond london, biskut nestum dan gandum, rempeyek dan banyak lagi.

"Semua biskut yang dihasilkan diadun sendiri dengan bantuan 15 pekerja dalam kalangan ibu tunggal untuk kita bantu jana pendapatan mereka. 

"Alhamdulillah, sambutan yang kita terima amat menggalakkan dan tahun ini pun saya tengok kebanyakan pelanggan yang hadir merupakan pelanggan sama pada tahun lepas," katanya.

Cik Khairruni yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun membuat kuih raya berkata dia amat mementingkan rasa dan kualiti produk.

"Tanggapan orang mungkin kuih raya kami murah sudah pasti kualitinya rendah tetapi ia setanding dengan kuih premium, itu antara maklum balas daripada pelanggan. Zaman sekarang orang nak berjimat jadi pelanggan bantu beli jualan saya dan saya pula bantu dengan jual pada harga murah," kata beliau.

Proses pembuatan biskut raya dilakukan setiap hari bergantung kepada jenis yang mendapat permintaan tinggi.

Sementara itu, Cik Khairruni mengatakan walaupun terdapat peningkatan kos bagi barangan, dia masih mengekalkan penjualan pada harga yang sama.

"Selain meneruskan kelangsungan hidup, perniagaan ini juga sebagai satu daripada cara untuk menampung kos perubatan Norhidayu yang mempunyai masalah kesihatan," katanya.

Seorang pelanggan, Hasbol Mustafa, 41, berkata sudah masuk tahun kedua dia membeli biskut raya di situ kerana terdapat banyak pilihan disamping harga yang murah.

"Apabila balik ke Ipoh pasti saya akan singgah untuk dapatkan stok kuih raya kerana sedap dan banyak pilihan tanpa perlu berkira mengenai harga. Mungkin sebab itu orang ramai masih memilih dan mencari biskut raya harga RM6 ini apabila menjelang Aidilfitri," kata Encik Hasbol.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita