Skip to main content

Gaya Hidup

Pengunjung Taman Haiwan SG kini berpeluang lihat anak orang utan 'Ayaan'; dilahirkan secara caesarean

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2026 10:22PM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 12:46PM
SINGAPURA: Pengunjung ke Taman Haiwan Singapura kini berpeluang melihat Ayaan, seekor orang utan Sumatra berusia dua bulan.

Ayaan, yang namanya membawa maksud 'rahmat', dilahirkan melalui pembedahan caesarean pada 18 Mac selepas ibunya, Chomel, menjalani kehamilan berisiko tinggi akibat komplikasi 'plasenta previa'.

Ia adalah keadaan di mana uri menghalang saluran kelahiran, menjadikan kelahiran semula jadi terlalu berbahaya.

Prosedur itu dipercayai merupakan kes pertama seumpamanya yang didokumentasikan melibatkan orang utan, di mana kedua-dua ibu dan anak berjaya diselamatkan.

Ayaan dan Chomel, yang juga cucu kepada ikon zoo terkenal, Ah Meng, dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Kehamilan Chomel pada awalnya berjalan lancar sehingga Januari tahun ini apabila ia mengalami pendarahan sebanyak dua kali. Dia kemudiannya disahkan mengalami 'plasenta previa'.

Selepas pemantauan rapi sepanjang masa dan pemeriksaan 'ultrasound' pasukan doktor haiwan dan penjagaan haiwan memutuskan bahawa pembedahan caesarean yang dirancang pada Mac memberi peluang terbaik untuk menyelamatkan ibu dan anak.

Mandai Wildlife Group menyatakan pasukan tersebut mengambil masa dua bulan membuat persiapan bagi pembedahan tersebut, yang dijalankan ketika usia kandungan Chomel mencecah 233 hari.

Bekalan darah juga disediakan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pendarahan semasa pembedahan.

Penderma darah itu ialah sepupu dan anak angkat Chomel yang turut bernama Ah Meng.

Pasukan veterinar turut dibantu pakar bedah veterinar luar dan menerima konsultasi masa nyata daripada pakar obstetrik serta 'neonatal' manusia berikutan kerumitan kes itu dan persamaan anatomi antara manusia dan orang utan.

Proses kelahiran Ayaan mengambil masa 20 minit.

Anak orang utan itu pada mulanya mempunyai kadar oksigen dan degupan jantung yang rendah serta badan yang sejuk ketika disentuh.

Pasukan perubatan mengambil masa tujuh minit untuk menstabilkannya sebelum meletakkannya dalam inkubator sementara Chomel pulih daripada bius.

Mandai Wildlife Group menyatakan pembedahan caesarean bagi orang utan amat jarang dilakukan, dengan hanya kira-kira 12 kes direkodkan di Amerika Syarikat sepanjang dua dekad lalu.

Selepas pembedahan, Chomel mula menyusukan Ayaan dalam tempoh 24 jam.

Taman Haiwan Singapura turut berkongsi bahawa Chomel kini turut menyusukan seekor lagi anak orang utan, Lio, selepas ibu pertama kali Lio, Niu Li, menghadapi kesukaran menyusukan anaknya.

Ayaan kini 'diambil sebagai anak angkat' oleh SMRT, yang akan membantu menyokong penjagaannya serta usaha pemuliharaan Mandai Wildlife Group.

Orang utan tersebut akan dipamerkan secara bergilir-gilir - Chomel, Ayaan, Lio, Ah Meng dan Niu Li akan berada di ruang pameran dari Khamis hingga Ahad serta cuti umum, manakala orang utan jantan, Charlie dan Riau akan dipamerkan dari Isnin hingga Rabu.

Mandai Wildlife Group turut memaklumkan bahawa Chomel mungkin memilih untuk berada di kawasan yang lebih tenang ketika menyusukan anaknya.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita