Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pengumpul ini warisi setem 62 tahun peringati ulang tahun pertama kemerdekaan M'sia

Setem 10 sen berimejkan Stadium Merdeka memang tidak ternilai harganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengumpul ini warisi setem 62 tahun peringati ulang tahun pertama kemerdekaan M'sia

Encik Mohd Sidek Roslan menunjukkan koleksi setemnya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Sep 2020 11:49AM Dikemas Kini : 01 Sep 2020 11:51AM

KULAI: Setem 10 sen berimejkan Stadium Merdeka memang tidak ternilai harganya.

Setem berusia 62 tahun, yang tertulis ‘Kemerdekaan Ulang Tahun Yang Pertama Persekutuan Tanah Melayu’ dan dikeluarkan pada tahun 1958 itu merupakan koleksi khas bagi memperingati ulang tahun pertama kemerdekaan Malaysia.

Pemilik setem tersebut, Mohd Sidek Roslan, 37 tahun, menyifatkan pewarisan setem berusia berabad lamanya daripada arwah bapanya Roslan Selamat itu tidak ternilai harganya.

Bapanya, yang juga seorang bekas tentera, mengumpul setem dari dalam dan luar negara sejak kecil lagi, kata Mohd Sidek yang berkongsi minat yang sama dengan bapanya.

Ketika ditemui Bernama di kediamannya baru-baru ini, pakar motivasi itu berkata bagi beliau, setem tersebut tercatat sejarah dan peristiwa yang membuatkannya terkenang akan kesusahan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika itu berjuang untuk membebaskan negara daripada dibelenggu penjajah.

“Mengikut sejarah, kita merdeka pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 dan proses untuk dapat kemerdekaan ambil masa yang lama. Setem ini kita bukan lihat daripada warna dan kecantikannya sahaja... tetapi peristiwa yang berlaku pada masa itu diterjemahkan dan diabadikan dalam setem.

“Setem ini ayah turunkan kepada saya dan mungkin nanti anak dan cucu-cicit saya kelak akan bertanya kepada saya tentang sejarah setem ini yang dikeluarkan sempena ulang tahun pertama kemerdekaan. Bagi saya, setem ini ada nilai sentimental tersendiri,” ujarnya.

Malah lebih menarik lagi, hobi yang diwarisi daripada bapanya itu turut membuatkannya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan setem yang dikeluarkan Pos Malaysia setiap kali sambutan bulan kebangsaan. 

“Saya juga ada setem sempena 10 tahun kemerdekaan dan pelbagai lagi dengan imej-imej Tunku Abdul Rahman sedang melaungkan ‘merdeka’ dan gambar Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

(Gambar: BERNAMA)

(Gambar: BERNAMA)

“Bagi saya memiliki setem ini membuatkan saya lebih patriotik kerana ada cerita-cerita dan sejarah yang tercatat di dalamnya,” katanya yang kini memiliki lebih 1,000 koleksi setem merentas zaman yang unik dan eksklusif.

Anak kelima daripada 10 beradik itu turut berkongsi petua untuk menjaga setem yang berusia puluhan tahun agar kualitinya terjaga.

“Setem ini seeloknya jangan disentuh dengan menggunakan jari dan perlu pakai penyepit dan harus disimpan dalam album.

“Cap di atas setem pula penting kerana ia menunjukkan nilai setem kerana cap adalah tarikh lahir setem berkenaan bila dikeluarkan,” kata lulusan Universiti Teknologi Malaysia itu. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan