Pengorbanan pekerja pembersihan, kelestarian kuih tradisional Melayu antara finalis Pesta Anugerah TV & Filem New York
Dua episod dalam siri BERITA Jelajah adalah antara liputan berita yang disenaraikan sebagai finalis Pesta Anugerah TV & Filem New York.

BERITAmediacorp: Pengorbanan seorang pekerja pembersihan ibarat wira tidak didendang di tengah-tengah COVID-19. Usaha melestarikan kuih-muih tradisional Melayu di tengah-tengah perubahan cita rasa generasi muda.
Dua episod dalam siri BERITA Jelajah adalah antara liputan berita yang disenaraikan sebagai finalis Pesta Anugerah TV & Filem New York.
Pesta Anugerah TV & Filem New York mengiktiraf pelbagai kandungan dari lebih 50 negara. Liputan dan karya yang dicalonkan itu bertanding dalam 14 kategori, termasuk Program Berita dan Laporan/Rencana Berita.
Dua episod daripada siri khas media sosial BERITA Jelajah, turut dipertandingkan dan berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat akhir kategori Laporan/Rencana Berita.
Salah satu episod daripada siri tersebut memaparkan pengorbanan seorang pekerja pembersihan, Encik Abdul Majid Shahab yang keluar bekerja di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19. Sedang ramai penduduk Singapura dinasihatkan supaya #dudukrumahsaja semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan pada Mei tahun lalu, Encik Abdul Majid adalah antara para pekerja barisan hadapan yang keluar bekerja untuk menjaga kebersihan Singapura.
Wartawan dan kru BERITAmediacorp mengikut Encik Abdul Majid - bermula sebelum subuh untuk merakam beliau melakukan tugas seharian, yang menjadi semakin penting sedang aspek kebersihan dititikberatkan di tengah-tengah pandemik.
Bagi satu lagi episod, BERITAmediacorp membawa penonton Jelajah mencari penjual kuih tradisional Melayu yang masih mendapat tempat dalam hati masyarakat sedang trend seperti kafe moden semakin popular dalam kalangan anggota muda masyarakat Melayu.
Wartawan BERITAmediacorp turut menyingsing lengan untuk mencuba sendiri membuat kuih-muih tradisional itu yang namanya mungkin agak asing disebut terutama dalam kalangan generasi muda.
Anda boleh menonton lebih banyak video dan laporan BERITA Jelajah di Facebook dan Instagram.
Tahun ini, Mediacorp secara keseluruhannya membolot 22 anugerah daripada Pesta Anugerah TV & Filem New York. Kebanyakannya dimenangi oleh dokumentari-dokumentari terbitan CNA.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.