Penggunaan meluas robot seperti manusia cetus kebimbangan
Dengan rambut pendek yang diwarnakan cokelat, robot yang persis seperti manusia dinamakan Erica kelihatan berbual dengan seorang lelaki. 'Gelagatnya' itu membuat ramai tergamam.

Robot yang dinamakan Erica semasa diuji. (Gambar: Gabriel Bouys/AFP)
MADRID: Dengan rambut pendek yang diwarnakan cokelat, robot yang persis seperti manusia dinamakan Erica kelihatan berbual dengan seorang lelaki. 'Gelagatnya' itu membuat ramai tergamam.
Robot itu sebenarnya sebahagian daripada penyelidikan robotik yang mengkaji cara-cara mesin sepertinya mampu digunakan dalam kegiatan seharian manusia.
"Anda katakan tadi tentang pengurusan projek. Boleh anda jelaskan lebih lanjut," kata Erica, yang memainkan peranan sebagai seorang pengurus syarikat.
Robot sepertinya tidak dapat memahami inti dalam satu perbualan, tetapi ia mampu mengesan kata-kata kunci dan memberi jawapan yang sesuai. Namun, wujudnya robot seperti ini membuat para pekerja berasa tergugat sehingga mencetuskan kontroversi.
Satu cara membuat robot-robot ini dapat diterima dengan lebih baik, kata para penyelidik, adalah membuat robot kelihatan seperti manusia. Dalam masyarakat-masyarakat menua, orang ramai akhirnya akan menyedari "robot-robot mampu membantu manusia", kata Hiroko Kamide, seorang ahli psikologi yang pakar dalam hubungan antara manusia dengan robot.
Penggunaan robot-robot dalam sebuah keluarga ataupun di tempat kerja memerlukannya "dilengkapi dengan pelbagai fungsi di samping berupaya berinteraksi" dengan manusia, tanpa dianggap satu ancaman terhadap pengguna, kata Philippe Soueres, ketua jabatan robotik di sebuah makmal milik Institut Sains CNRS di Perancis.
LEBIH BAIK TIDAK TERLALU MENYERUPAI MANUSIA?
Oleh sebab itu, robot perlu bergerak dengan cara yang fleksibel walaupun ia bersifat mekanik dan segera berhenti beroperasi sekiranya sesuatu berlaku secara tiba-tiba, tambahnya.
Inilah sebabnya orang ramai memilih "sistem modular yang dibentuk seperti tubuh manusia" yang bertujuan supaya dapat lebih mudah disesuaikan dalam sekitaran manusia.
Misalnya, robot persis manusia dinamakan Atlas, yang dihasilkan Boston Dynamics, boleh beroperasi di pelbagai jenis permukaan.

Di Madrid, Marc Raibert, pengasas syarikat Amerika Syarikat, memaparkan satu video yang menunjukkan Atlas melakukan aksi 'backflip' (melompat ke belakang).
Seolah-olah bimbang akan kegunaan robot-robot seperti ini pada masa depan, Amnesty International menuduh Atlas dibiayai agensi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, menyifatkannya sebagai "robot pembunuh" yang digunakan dalam perang pada masa akan datang.
Satu lagi contoh robot seperti manusia yang dicipta dan dipamerkan di Madrid adalah Talos, satu robot yang dihasilkan syarikat Sepanyol, Pal Robotics. Kemampuan untuk mengimbangi diri di atas satu papan turut diuji.
Ia mungkin bukanlah satu-satunya cara untuk berkomunikasi dengan manusia, namun "orang ramai akan lebih mudah menerima robot yang kelihatan seperti manusia kerana mereka boleh menjangkakan bagaimana robot ini akan bergerak dan memberi reaksi," kata Encik Kamide.
Namun, ada juga batasannya.
Mengikut teori "uncanny valley" Masahiro Mori merujuk kepada robot, yang dibentangkan pada 1970-an, ia menyatakan bahawa manusia akan dapat menerima robot secara positif sekiranya ia mempunyai ciri-ciri fizikal yang serupa seperti kita. Namun, manusia juga akan berasa terganggu sekiranya robot yang dihasilkan terlalu sama seperti manusia.
"Anda tidak akan boleh menghasilkan sesuatu yang persis seperti manusia" kerana ia tidak akan dapat diterima orang ramai, kata Miguel Salichs, seorang profesor di makmal robotrik Universiti Carlos III.
FAHAM MANUSIA
Di Jepun, robot-robot seperti Erica sudahpun digunakan sebagai penyambut tetamu. Namun, bagi salah seorang penciptanya, Hiroshi Ishiguro, seorang profesor di Universiti Osaka, robot seperti Erica "satu alat penting untuk memahami manusia".
Para penyelidik perlu memikirkan tentang bagaimana manusia boleh berinteraksi dengan robot yang kelihatan seperti mereka.
"Kami boleh memahami manusia dengan menggunakan robot," kata Ishiguro, yang menghasilkan robot-robot yang kelihatan seperti para selebriti yang sudah meninggal dunia, atau "patung bergerak".
Beliau percaya robot kelihatan sepeti manusia adalah cara terbaik untuk mempertingkat interaksi antara robot dengan manusia.
Bagi Jurgen Schmidhuber, presiden syarikat pemula kecerdasan buatan NNAISENSE, robot - sama ada mereka robot yang kelihatan seperti manusia atau tidak - ia akhirnya akan menjadi sebahagian daripada masa depan kita.
Robot-robot tidak hanya akan mengikut cara manusia hidup, tetapi akan membantu menghuraikan masalah-masalah dengan adanya kecerdasan buatan, kata beliau.
Duduk di kerusinya, Erica mengangguk kepalanya. Menarik atau menyeramkan, mungkin hanya masa yang akan menentukan kesan kewujudan robot-robot bak manusia itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.