Skip to main content

Gaya Hidup

Pengering rambut antara punca uban pada usia muda

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA - Penggunaan pengering rambut yang terlampau kerap merupakan salah satu punca rambut beruban walaupun pada usia muda.

Pegawai perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang menjelaskan suhu panas pengering rambut akan menyebabkan gangguan pada penghasilan melanin, lapor Sinar Harian.

"Uban terbentuk kerana folikel yang menjadi tempat tumbuhnya rambut memiliki sekumpulan sel yang disebut melanosit.

"Sel melanosit inilah yang berfungsi untuk menghasilkan melanin atau pigmen yang memberikan warna gelap kepada rambut," katanya pada Sabtu (12 Okt) di wadah X.

Menurutnya lagi, uban pada usia muda juga boleh disebabkan oleh kadar vitamin B12 yang rendah, lapor Sinar Harian.

"Selain vitamin tersebut, zat besi juga sangat diperlukan sebagai makanan rambut. Jadi, sangat disarankan untuk selalu mengambil makanan yang kaya vitamin B12 dan zat besi," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Samhan berkata, stres (tekanan), vitiligo dan merokok turut menjadi punca rambut beruban.

Katanya lagi, vitiligo adalah keadaan di mana sistem autoimun boleh merosakkan melanosit iaitu sel-sel yang menghasilkan pigmen untuk warna rambut.

Tambahnya, kajian yang dijalankan oleh J G Mosley di British Medical Journey pada 1996 mendapati bahawa perokok akan empat kali lebih pantas mengalami masalah rambut beruban.

"Merokok boleh mendatangkan serangan radikal bebas di dalam tubuh dan ia juga mampu menurunkan kadar melanin," katanya, seperti ditukil Sinar Harian.

Dr Ahmad Samhan berkata, mereka yang mengalami keadaan uban pramatang disebabkan kekurangan vitamin dan mineral, digalakkan mengambil vitamin melalui sumber makanan semula jadi seperti telur, makanan laut dan ikan salmon.

"Amalkan sajian kaya kalsium dan makanan tinggi tembaga termasuklah hati lembu, kacang almond, coklat hitam dan asparagus," katanya.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita